Halaman

Isnin, 5 September 2011

Islam Pilihanku

رَضِيتُ بِاللهِ رَبًّا وَبِالإِسْلامِ دِينًا وِبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا وَرَسُوْلا
"Maksudnya: Aku telah rela dengan Allah sebagai Tuhanku, dan aku dengan Islam sebagai agamaku, dan dengan Muhammad sebagai Nabi dan Rasulku."

Aku mesti menjaga Islam yakni agamaku dengan baik. Aku mesti bersangka baik dengan Islam. Sememangnya Islam itu agama yang benar, lurus, logik, sempurna dan syumul. Aku mesti buang jauh-jauh rasa keraguan daripada wujud dalam hatiku terhadapnya. Aku mesti kagum dan pandang tinggi kepada agama ini.

Firman Allah s.w.t.: 

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الإِسْلاَمُ
Maksudnya: Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.
(Ali-Imran: 19)

Firman Allah s.w.t.:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلاَ تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ (٢٠٨)
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.
(Al-Baqarah: 208)

Aku bukan sahaja mengucap dua kalimah syahadah tetapi aku mesti beramal dengannya dan mengamalkan segala aspek ajaran yang terkandung dalam Islam. Aku mesti beramal dengan amalan yang berlandaskan syarak yakni al-quran dan al-hadis. Aku mesti mengamalkan segala ajaran Islam sehingga yang kuterdaya dan termampu. Aku mesti beramal dengan amal fardhiyah dan jama’ie.

Aku hidup bukan sendirian tetapi hidupku bersama masyarakat. Aku ada ibu, ayah, adik-beradik, jiran tetangga, kawan, sahabat, dan masyarakat. Aku berharap agar kami semua memahami Islam dengan baik dan mengamalkan cara hidup mengikut manhaj Islam. Oleh hal yang demikian, aku mesti melakukan amalan yang berhubung dengan fardhu ain dan juga fardhu kifayah. Meskipun amalan itu fardhu kifayah aku juga mesti bersegera dan tidak berlengah untuk melakukannya serta tidak patut aku nyatakan sudah ada orang atau jemaah lain yang lakukan supaya berasa terlepas daripada tanggungjawab itu. Aku mesti tidak boleh bersikap demikian.

Aku nyatakan ini kerana kita hidup bermasyarakat. Kita mesti tolong-menolong, bantu-membantu, toleransi dan bekerjasama kepada orang yang memerlukan bantuan dan pertolongan, dan orang yang sedang menghadapi kesulitan dan kesusahan. Kita mesti menunjukkan contoh masyarakat Islam yang baik. Hal ini kerana kita juga hidup bersama masyarakat bukan Islam. Kita juga mesti bersikap baik kepada mereka.

Agama Islam mengajar perkara-perkara yang baik. Ajarannya tidak sama dengan ajaran agama-agama lain yang ada di dunia ini. Lainnya ialah kita mesti mengabdikan diri yakni menyembah kepada Allah Yang Maha Esa. Dalam surah al-Ikhlas jelas menyatakan sifat ketuhanan. Kita tidak boleh mensyirikkan Allah. Oleh hal yang demikian, Islam telah menyelamat dan membebaskan kita daripada syirik kepada Allah, daripada menjadikan makhluk-makhluk sebagai sekutu-sekutu kepada Allah, dan daripada menjadi hamba kepada makhluk-makhluk.

Firman Allah s.w.t.:

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ (١) اللَّهُ الصَّمَدُ (٢) لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ (٣) وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ (٤)
Maksudnya: Katakanlah: Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.
(Al-Ikhlas: 1-4)

Sesungguhnya kita adalah hamba Allah. Allah adalah Tuhan yang menciptakan sekalian alam. Sehubungan dengan itu segala benda yang ada di alam ini, iaitu di langit dan di bumi adalah hamba Allah Yang Esa. Allah Maha berkuasa terhadap ciptaan-Nya. Segala ciptaan-Nya di dalam kekuasaan-Nya. Oleh sebab itu kita mesti merasakan bahawa Allah adalah raja segala raja. Allah Yang Maha berkuasa.

Kerjaan Allah kekal abadi. Kerajaan Allah tidak akan musnah, jatuh dan runtuh. Namun, kerajaan manusia akan musnah dan tidak kekal selama-lamanya. Jika manusia menyedari hakikat ini sudah tentu mereka akan merendah diri, dan hina di hadapan dan di pandangan Allah. Apabila merasakan diri dan jiwa ini milik Allah maka sudah tentu Islam akan menjadi pilihannya. Kita mesti memilih Islam sebagai agama yakni cara hidup kita kerana makhluk-mahkluk lain seperti langit, bumi, matahari, bintang, gunung, laut, angin dan lain-lain adalah hamba-hamba Allah yang menyerah diri dan patuh kepada Allah. Mereka tidak ingkar walaupun mereka antara makhluk ciptaan Allah yang besar saiznya berbanding kita. Manusia yang menjadi penghuni bumi ibarat sebiji permata yang dicampakkan ke padang pasir yang luas seluas lautan tidak bertepi dan jatuh ke padang pasir itu kemudian sudah tentu permata itu dilihat kecil sekali, mungkin juga tidak kelihatan dan sukar dicari.

Firman Allah s.w.t.:

أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ (٨٣)
Maksudnnya: Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepada-Nya-lah menyerahkan diri segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan suka maupun terpaksa dan hanya kepada Allahlah mereka dikembalikan.
(Ali-Imran: 83)

Firman Allah s.w.t.: 

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الإِسْلاَمِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنْ الْخَاسِرِينَ (٨٥)
Maksudnya: Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu)daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.
(Ali-Imran: 85)

Alhamdulillah, syukurku kepada Allah kerana Islam adalah agamaku. Aku merasakan ketenangan, kebahagaiaan, ketenteraman, keselamatan dan kesejahteraan. Tiada lagi kesedihan, ketakutan, kerisauan, kebimbangan, keraguan, kesangsian dan kehinaan. Aku berasa begini kerana kebergantunganku dengan Allah terjamin seperti yang pernahku baca dalam al-Quran.

Firman Allah s.w.t.: 

بَلَى مَنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَلَهُ أَجْرُهُ عِنْدَ رَبِّهِ وَلاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ (١١٢)
Maksudnya: (Tidak demikian) bahkan barangsiapa yang menyerahkan diri kepada Allah, sedang ia berbuat kebajikan, maka baginya pahala pada sisi Tuhannya dan tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.
(Al-Baqarah: 112)

Sekian, Wallahu’alam.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!