Halaman

Khamis, 31 Mei 2012

Pagi Yang Baik Dan Mulia

Sekarang adalah musim cuti persekolahan semester pertama. Walaupun cuti tidak bermakna belajar, membaca, menulis, menghafaz dan mengulang kaji pelajaran pun bercuti. Jadi, sepanjang cuti persekolahan pelajar mesti tetap menggunakan masa untuk belajar.

Sehubungan dengan itu, pada hari ini saya ingin membicarakan tentang masa, tempoh dan waktu belajar. Persoalannya ialah bilakah masa hendak mulakan pelajaran? Berapa lamakah tempoh belajar? Dan bilakah waktu hendak belajar?

Sebenarnya inilah yang ingin saya bicarakan. Saya rasa dengan mengajukan soalan tersebut akan menjadi mudah untuk difahami.

Sebenarnya masa, tempoh dan waktu belajar boleh sahaja ikut jadual seperti belajar di sekolah. Kalau di sekolah jadual waktu belajar bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 1.15 tengah hari. lebih kurang macam tu la.

Pada saya waktu belajar yang sesuai dan terbaik adalah pada waktu pagi. Boleh sahaja bermula selepas subuh. Ada juga orang yang dah mula belajar sebelum subuh lagi. Ada juga pada 1/3 malam. Selepas qiamullail belajar. Tapi ni jarang dilakukan kerana bukannya senang nak bangun seawal begini. Walau bagaimanapun, pada 1/3 malam itu adalah waktu yang terbaik.

Pada waktu itu sangat sunyi, hening dan tenang. Kalau solat, berdoa dan berzikir pada waktu itu boleh mendatangkan khusyuk dan ketenangan. Pada waktu itu juga adalah waktu doa mustajab. Selain itu, kalau belajar dan menghafaz senang nak fokus  dan mengingat. Tapi waktu ni ramaikah yang mampu lakukan?

Baiklah, jika tidak mampu kita cuba usahakan belajar selepas subuh atau pada pukul 7.00 pagi.

Sekiranya belajar pada pukul 7.00 pagi dan berakhir pada pukul 1.00 tengah hari maka masa yang diambil adalah selama 6 jam. Suatu tempoh yang agak lama juga. Sebenarnya tidak mengapa belajar dalam tempoh yang lama. Inilah yang terbaik untuk memperolehi dan memberhasilkan ilmu.

Sebenarnya kalau dikira masa itu belum tentu lagi betul-betul belajar selama 6 jam kerana ada masa nak makan, minum, rehat, ke tandas, buang hajat, bersembang, dan sebagainya. Jika dicampur tolak darab bahagi masa yang digunakan tidaklah sampai 6 jam.

Seterusnya berkait dengan waktu belajar pada waktu pagi ialah waktu ini adalah terbaik untuk belajar kerana otak berkeadaan segar, cerdas dan aktif. Manakala fizikal pula berkeadaan bertenaga, cergas dan kuat. Di samping itu emosi diri yang bersemangat, ceria, gembira dan tenang pada waktu pagi. Ini penting untuk mendapatkan fokus dan daya ingatan yang optimum ketika belajar.

Waktu pagi memang masa yang sesuai dan terbaik untuk belajar, membaca, mendengar, menulis, menghafaz dan hal-hal yang berkait dengannya. Waktu ini adalah baik untuk mendapatkan fokus tumpuan yang sepenuhnya dan kalau menghafaz mudah ingat.

Kalau hafaz waktu malam mesti rasa mengantuk. Jadi, lebih baik hafaz waktu pagi. Sebab benda-benda yang menghafaz benda yang berat, yang dirasai otak. Otak akan rasa ada suatu tekanan ketika menghafaz. Jadi, sebab itlulah waktu pagi sesuai untuk menghafaz.

Sebenarnya selain waktu pagi, waktu selepas maghrib dan isyak pun masa yang terbaik juga untuk menghafaz. Masa yang tak sesuai tu seperti tengah hari, lepas asar (sepatutnya waktu riadah) dan ketika rasa mengantuk dan nak tidur sangat. Macam mana nak hafaz kalau rasa mengantuk dan tidur sangat. Sudah tentulah asyik fikir nak tidur saja.

Berkait dengan waktu pagi tadi, sekiranya waktu pagi ini digunakan betul-betul dan bersungguh-sungguh untuk belajar sehingga ke tahap maksimum maka hasilnya nanti pun akan maksimum juga. Insya-Allah. Ini usaha kita untuk memperolehi dan memberhasilkan ilmu.

Oleh itu, jangan buang masa, jangan malas, jangan tidur, jangan berlengah dan jangan putus asa pada waktu pagi. Belajarlah, berusahalah, bekerjalah, bersemangatlah, bersungguh-sungguhlah, beringatlah tentang kebaikan dan keuntungannya.

Seperkara lagi, bila waktu tengah hari otak akan jadi letih, lesu dan susah hendak berfikir. Badan pun sama juga rasa penat. Mata pula rasa nak pejam, rasa mengantuk dan nak tidur. Semangat pun mula menurun, rasa malas melebihi rasa rajin dan mulai menguasai diri. Dalam masa yang sama juga otak berfikir tentang tidur dan nak berehat. Jadi, sekiranya wujud simptom-simptom ini maka usaha-usaha untuk belajar terpaksa dihentikan seketika. Kalau belajar pun belum tentu dapat diterima oleh otak. Lagi pun masa ni memang masa yang sesuai dan terbaik untuk berehat sekejap atau qailullah.

Oleh, itu, sebelum masa beredar dan berlalu ke waktu tengah hari maka belajarlah dengan bersungguh-sungguh pada waktu pagi. Dapatkan sebanyak ilmu. Dapatkan untuk menguasai, memahami, dan mendalami ilmu. Semoga dengan usaha-usaha ini kita menjadi orang yang berjaya, berguna dan beruntung di dunia dan di akhirat.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!