Oleh : Ridzuan Awang
Orang yang berilmu mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi
Tuhan dan masyarakat. Al-Quran menggelarkan golongan ini dengan pelbagai
gelaran mulia dan terhormat yang menggambarkan kemuliaan dan ketinggian
kedudukan mereka di sisi Allah SWT dan makhluk-Nya.
Mereka digelar sebagai "al-Raasikhun fil Ilm" (Al Imran : 7),
"Ulul al-Ilmi" (Al Imran : 18), "Ulul al-Bab" (Al Imran :
190), "al-Basir" dan "as-Sami’ " (Hud : 24),
"al-A’limun" (al-A’nkabut : 43), "al-Ulama" (Fatir : 28),
"al-Ahya’ " (Fatir : 35) dan berbagai nama baik dan gelaran mulia
lain.
Gelaran ini digandingkan Allah SWT dengan ayat-ayat yang membicarakan
dasar-dasar akidah tauhid dengan antaranya menghubungkan kitab suci al-Quran
dan fenomena alam sebagai "wasilah" atau "ayat" bagi
mengenal dan mengakui-Nya.
Ia sekaligus menunjukkan bahawa daya usaha untuk memperoleh ilmu melalui
pelbagai saluran dan pancaindera yang dikurniakan Allah SWT membimbing
seseorang ke arah mengenal dan mengakui ketauhidan Rabbul Jalil.
Ini memberi satu isyarat dan petunjuk yang penting bahawa ilmu mempunyai
hubungkait yang amat erat dengan dasar akidah tauhid. Orang yang memiliki ilmu,
tidak terhad kepada ilmu pengajian Islam semata-mata - sepatutnya mengenal dan
mengakui keesaan Allah SWT dan keagungan-Nya.
Hasilnya, orang yang berilmu akan gerun, tunduk, kerdil dan hina
berhadapan dengan kekuasaan dan keagungan Allah SWT . Ibn Mas’ud pernah berkata
"bukanlah dinamakan berilmu dengan hanya banyaknya (meriwayatkan) hadis,
tetapi berilmu yang sebenar ialah (melahirkan) banyaknya perasaan gerun (kepada
keagungan Allah).
Akidah murni mereka begitu jelas terserlah melalui bidang penyelidikan
dan pengamalan kepakaran masing-masing. Mereka tunduk dan beriman kepada
kekuasaan Allah SWT. Ini sekali lagi membuktikan bahawa perkara akidah dan roh
fitrah Islam merentasi semua aspek kehidupan manusia khususnya para ilmuan dan
cendekiawan yang terlibat secara langsung dalam kajian dan penyelidikan alam
"kauniyyah" dan manusia.
Dalam surah ali Imran ayat ke-18, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan
bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang
sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan dan malaikat-malaikat
serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian);
tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana".
Ketika menafsirkan ayat ini, Ibn Kathir membuat suatu rumusan yang
menarik bahawa apabila Allah SWT menggandingkan "diri-Nya" dengan
para malaikat dan orang yang berilmu tentang penyaksian "keesaan Allah SWT
dan kemutlakan-Nya sebagai Tuhan yang layak disembah", ia adalah suatu
penghormatan agung secara khusus daripada-Nya kepada orang-orang yang berilmu
yang sentiasa bergerak di atas paksi kebenaran dan menjunjung tinggi prinsip
ini serta berpegang teguh dengannya dalam semua keadaan dan suasana.
Rakaman penghormatan ini kekal sebagaimana kekalnya kitab wahyu ini
sebagai peringatan kepada golongan berilmu bahawa mereka amat istimewa di sisi
Allah SWT . Mereka diangkat sebaris dengan para malaikat yang menjadi saksi
Keesaan Allah SWT. Mereka memikul amanah Allah SWT kerana mereka adalah pewaris
para nabi.
Oleh yang demikian mereka perlu memiliki dan beramal dengan sifat-sifat
yang jelas melalui perkataan yang dituturkan, tindakan yang diambil, perbuatan
yang dilakukan, sikap yang ditunjukkan, dan seruan yang dibuat. Sifat dan sikap
yang tidak selari dengan kemuliaan dan ketinggian kedudukan mereka boleh
mencacatkan kewibawaan dan penghormatan masyarakat umum.
Sifat ikhlas, berani, dan tegas serta sentiasa istiqamah harus sebati
dengan orang yang berilmu. Orang yang berilmu tidak sangat mengharapkan
ganjaran, sanjungan, dan pujian manusia. Keikhlasan mereka adalah hasil
daripada ramuan kecintaan dan keyakinan kepada prinsip kebenaran yang menjadi
tonggak pegangan mereka.
Orang yang berilmu amat menjunjung tinggi prinsip kebenaran. Mereka
tidak menafikan kebenaran dari pihak lain dan tidak pula membolot kebenaran
untuknya secara mutlak. Kebenaran yang menjadi pegangan mereka bukan diukur
daripada keluarnya perkataan atau perakuan hanya daripada mulut atau kelompok
mereka sahaja. Bahkan kebenaran itu boleh juga datang daripada orang lain.
Berlapang dada dan merendah diri adalah akhlak murni orang yang berilmu.
Kebenaran yang sejati adalah apabila datangnya daripada nas al-Quran
al-Karim dan as-Sunnah an-Nabawiyyah. Keikhlasan Imam Malik mendorongnya
menegah Khalifah al-Mahdi dan al-Rashid daripada mengangkat kitab karangannya
al-Muwatta’ sebagai undang-undang dasar kerajaan. Imam al-Syafei pernah
menyatakan bahawa :"Sesiapa yang mendapati hadis Rasulullah s.a.w. (yang
sahih) yang bercanggah dengan pendapatku, maka menjadi kewajipannya untuk
mengikuti nas hadis sahih tersebut dan meninggalkan pendapatku".
Keberanian orang yang berilmu adalah hasil kegerunan dan keyakinan teguh
kepada kekuatan dan kekuasaan Tuhan Rabbul Jalil. Firman Allah SWT yang
bermaksud :
"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah)
Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya
Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun."- Surah Fatir : ayat 28
Mereka percaya penguasa kuat, tetapi mereka lebih yakin bahawa Allah
Maha Berkuasa atas sekelian makhluk-Nya. Kehinaan di sisi manusia kerana
mempertahankan prinsip kebenaran dipandang lebih baik dan mulia daripada
kehinaan di sisi Allah SWT kerana mengenepi kebenaran dek kerana untuk menarik
perhatian atau mendampingi manusia. Orang yang berilmu boleh hilang kehormatan
diri di sisi masyarakat umum jika tidak bersikap sedemikian.
Ketegasan orang yang berilmu pula adalah didorong oleh kesungguhan untuk
mempertahankan prinsip kebenaran yang diamanahkan oleh Allah SWT. Mereka amat
yakin bahawa menyatakan kebenaran dan perkara hak adalah amanah Allah SWT
sekalipun mereka mengetahui risikonya amat besar.
Sebaliknya menyembunyikan kebenaran dan hak adalah suatu
"jenayah" berat di sisi Allah SWT yang boleh memusnahkan kewibawaan
dan kemuliaan dirinya. Orang yang berilmu amat yakin dengan pesanan Rasulullah
SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang disoal tentang sesuatu ilmu, lalu ia
menyembunyikannya ia akan dikekang mulutnya pada hari kiamat dengan kekangan
dari api neraka"
(Hadis Riwayat Tirmizi)
FAKTA
Tokoh Islam Dalam Pelbagai Bidang
- Sains - Abu Abdullah al-Battani :((858 – 929 M); Abd-al
Rahman Al-Sufi : (903 - 986 M), Abu Al-Kasim Al-Zahravi : (936 – 1013 M), Abu
Ishaq Ibrahim Ibn Yahya Al-Zarqali : (1028 - 1087 M )
- Kimia - Abu Musa Jabir Ibn Hayyan : (750-803 M), Abbas
Ibn Firnas : meninggal (888 M)
- Perubatan - Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdallah Ibn Sina :
(981 – 1037 M), Abu Marwan Ibn Zuhr : (1091- 1161 M)
- Pelayaran - Abu 'abd Allah Muhammad Ibn 'abd Allah
Al-lawati At-tanji Ibn Battutah : (1304 – 1368 M)
- Astronomi dan matematik (Muhammad Ibn Musa Al-Khawarizmi
: (780 – 850 M), Abu Jafar Muhammad ibn al-Hasan Khazin : (lahir 900 M )
- Optik - Abu Ali Hasan Al Haitham :(Lahir 965 M. )
-Sains politik - Abu Al-Hasan Ali Ibn Muhammad Ibn Habib
Al-Mawardi : (Lahir 972 – 1058M)
-Muzik - Abu Bakr Muhammad Ibn Yahya al-Saigh Ibn Bajjah
(Lahir 1082 M)
( Sumber : Berita Minggu 12 Feb 2006 dengan sedikit pindaan )
Diambil dari: http://www.darulkautsar.net/article.php?ArticleID=507
Tiada ulasan:
Catat Ulasan