قال
رسول الله صلى الله عليه وسلم: المؤمن القوي خير وأحب إلى الله من المؤمن الضعيف، وفي كلٍ خيـر، احرص على
ما ينفعـك، واستعن بالله ولا تعجز، وإن أصابك شيء، فلا تقل:
لو أني فعلت كذا لكان كذا، ولكن قل: ما قدر الله وما شاء فعل، فإن لو تفتح عمل الشيطان
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Orang
mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada orang
mukmin yang lemah, pada masing-masing itu ada kekuatan.
Bersungguh-sungguhlah terhadap perkara yang memberi manfaat kepada kamu.
Mintalah pertolongan daripada Allah dan jangan lemah. Jika sesuatu
menimpa kamu maka jangan kamu kata: kalau aku buat begini tentu akan
jadi begini. Tetapi ucapkanlah Allah telah menentukan dan Dia telah
lakukan apa yang Dia kehendaki, kerana sesungguhnya `kalau’ itu membuka
peluang syaitan bertindak." (Hadis riwayat Muslim, Ibn Majah dan Ahmad)
Seorang
mukmin yang sejati memiliki keperibadian yang unggul. Dia dapat
menghimpunkan dalam dirinya segala sifat-sifat kebaikan. Dia seorang
yang berilmu, penyantun, penyabar, kuat, berani, pemurah, menjaga
kehormatan diri, sanggup berjuang dan lain-lain lagi.
Hadis
ini menegaskan salah satu sifat tersebut iaitu kekuatan. Kekuatan
seorang mukmin tergambar dalam pemikiran, keimanan, keazaman, kehendak
dan kesihatannya. Dengan memiliki kekuatan seseorang itu akan dapat
melaksanakan segala perintah Allah dan menahan dirinya dari melanggar
larangan-Nya di samping dia berusaha untuk menghalang sebarang maksiat
yang berlaku di hadapannya. Sekiranya dia hanya berdiam diri terhadap
kemungkaran di hadapannya tentu sekali keimanannya belum cukup kuat.
عن
أبي سعيد قال سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول "من رأى منكم منكرا فليغيره بيده. فإن لم يستطع
فبلسانه. ومن لم يستطع فبقلبه. وذلك أضعف
الإيمان".
Daripada Abu Sa`id katanya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : "Sesiapa
yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya,
sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dengan lidahnya dan sesiapa
yang tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman." (Hadis riwayat Muslim)
Rasulullah
s.a.w. mengajar umatnya supaya melengkapkan diri dengan kekuatan dan
menyuruh umatnya sentiasa berdoa supaya terhindar dari sifat lemah:
عن
أنس بن مالك يقول:
كان
رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم يقول: "اللهم إني أعوذ بك من العجز والكسل، والجبن والبخل والهرم،
وأعوذ بك من عذاب القبر، وأعوذ بك من فتنة
المحيا والممات".
Daripada Anas bahawa Rasulullah s.a.w. selalu berdoa:
Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada kelemahan, kemalasan, sifat
penakut, kebakhilan, tua yang nyanyuk. Dan aku berlindung dengan
daripada azab kubur, dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah
kehidupan dan kematian. (Hadis riwayat Abu Daud)
Kekuatan
amatlah penting dalam kehidupan setiap individu muslim dan mereka
sebagai satu umat. Oleh itu mereka dituntut untuk menyediakan dan
mempersiapkan segala bentuk kekuatan untuk mendepani segala cabaran.
Allah s.w.t. berfirman:
وَأَعِدُّوا
لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ
رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ
وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا
تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ
شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ
لَا تُظْلَمُونَ
"Dan
sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis
kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang
lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan
musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak
mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu
belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu
dan kamu tidak akan dianiaya." (al-Anfal: 60)
Jalan yang mesti dilalui untuk menjana kekuatan diri
‘Bersungguh-sungguhlah
terhadap perkara yang memberi manfaat kepada kamu’ memberi isyarat
betapa perlunya individu muslim mencari sumber kekuatan dirinya.
Antara sumber kekuatan yang boleh disebutkan di sini ialah:
Pertama,
mengikhlaskan niat dalam segala tindak tanduk. Keikhlasan akan memberi
kekuatan dan memudahkan kita melaksanakan perintah Allah s.w.t. dan
menjauhi segala larangan-Nya.
Kedua, menafikan semua kekuatan selain dari kekuatan Allah. Inilah yang sering dilafazkan oleh seorang mukmin dengan zikirnya:
لا
حول ولا قوة إلا بالله
Ketiga,
melengkapkan dengan ilmu terutamanya ilmu al-Qur’an, tafsir, hadis, tauhid dan
sirah. Termasuk juga dalam sumber kekuatan ialah ilmu-ilmu yang membantu kita
membangunkan sumber insan dan menguruskan kehidupan dunia.
Keempat,
melakukan amalan soleh sama ada dalam bentuk ibadat atau memberi khidmat kepada
masyarakat, atau menunaikan kewajipan terhadap Allah, diri sendiri dan juga
kepada orang lain. Amalan soleh mempunyai makna yang luas merangkumi setiap
perkara yang mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t dan mendatangkan
keredaan-Nya. walaupun berbudi kepada tanah atau belas kasihan kepada haiwan.
Kelima,
tidak merasa lemah dalam menghadapi apa-apa situasi.
Keenam,
mencari sumber rezki yang halal supaya tidak bergantung dengan orang lain.
Dengan mempunyai pendapatan dan pencarian hidup yang sendiri, seseorang itu
dapat menghindarkan diri dari meminta-minta dan meraih simpati daripada orang
lain. Semuanya itu bertentangan dengan sifat kekuatan yang dikehendaki oleh
hadis ini. Mencari rezki bererti menunaikan hak diri sendiri, ahli keluarga
yang kita wajib menyediakan nafkah perbelanjaan untuk mereka. Dengan mempunyai
harta kita dapat menunaikan hak-hak kehartaan seperti zakat, sedekah dan
memberi pinjaman kepada orang yang memerlukan iaitu al-qardh al-hasan.
Selain itu, kita dapat meneyelamatkan diri kita dari harta yang tidak halal
kerana itu akan menjejaskan hubungan kita dengan Allah yang maha kuat dan
perkasa, tempat kembali segala kekuatan dan tidak kekuatan yang sebenarnya
melainkan kekuatan-Nya.
Hadis
ini memberi pengajaran bagaimana merawat penyakit-penyakit jiwa bagi menghalang
ketidaktepatan, keraguan dan kerisauan. Apabila kita tersasar dari mencapai
matlamat yang telah dirancangkan, tidak sepatutnya kita menyesal kerana apa
yang kita usahakan itu tetap dikira sebagai usaha kita. Kegagalan seharusnya
dibaiki dengan perancangan yang lebih teliti dan efektif, bukan dengan cara
mengandai-andaikan apa yang telah berlalu.
Kesimpulannya,
hadis ini memberi dorongan kepada kita menghimpunkan antara kekuatan rohani,
fizikal, jiwa dan emosi kemudian mengaitkan kesemua perkara ini dengan keimanan
kepada Allah s.w.t. dan menyerahkan kepada qadha’ dan qadar.
Kerjasama
mestilah diwujudkan dalam masyarakat Islam. Orang mukmin yang kuat perlu
mengerakkan saudara mereka yang lemah supaya sama-sama berganding bahu membina
dan memperkasakan kekuatan umat.
(Syarah hadis disediakan oleh Ust Muhammad
Hanief Awang Yahya untuk www.darulkautsar.net )
Diambil dari: http://www.darulkautsar.net/article.php?ArticleID=459
Tiada ulasan:
Catat Ulasan