Halaman

Ahad, 8 April 2012

Media Massa Yang Berat Sebelah

Apabila penggunaan media yang berat sebelah dan tidak adil maka pihak yang tidak mempunyai kemudahan tersebut pasti akan teraniaya, tertindas dan dizalimi. Ini tidak adil kerana pihak tersebut tidak dapat membela dan mempertahankan dirinya.

Media yang tidak adil itu telah menyerang pihak yang lemah secara bertubi-tubi tanpa memberi peluang sedikit pun untuk menjelas dan menerangkan hal yang sebenarnya. Jadi, rakyat yang menonton, mendengar dan membaca daripada media yang dikuasai oleh kerajaan yang memerintah pasti akan terpedaya dan terpengaruh dengan dakyah yang diada-adakan.

Rakyat yang lemah daya intelek, lemah dalam membuat penilaian yang positif pasti mudah percaya dengan berita-berita yang disiarkan itu. Mereka sudah tentu percaya bulat-bulat berita yang diterima tersebut.

Hal ini berbeza dengan mereka yang sentiasa mencari maklumat daripada pelbagai sumber dan sentiasa memastikan sumber berita itu adalah daripada sumber yang benar, tepat dan sahih, dan bukan fitnah, rekaan dan yang tidak pasti. Sepatutnya kita sebagai pengguna media massa mesti mengambil berita daripada dua pihak, iaitu pihak yang membuat kenyataan dan pihak yang menafikan kenyataan. Ini barulah adil.

Seringkali apabila membaca surat khabar yang pro kerajaan mesti menyatakan terhadap pihak pembangkang yang membuat sesuatu perkara sebenarnya bermotifkan politik. Apa-apa perkara yang dibuat mesti dikatakan ada motif politik sehingga ke tahap ada yang mengatakan agama dipolitikkan. Mereka mengatakan pihak pembangkang telah mempolitikkan agama. Kenyataan itu menunjukkan seolah-olah pihak pembangkang telah melakukan suatu kesalahan yang  sangat besar dan berdosa.

Bagaimanapun, kalau pihak kerajaan buat apa-apa program tidak pula digambarkan ada motif politik. Boleh dikatakan setiap hari di televisyen ada sahaja berita yang menyiarkan kerajaan UMNO BN yang terdiri daripada PM dan menteri-menterinya berkempen dan mengajak rakyat mengundi mereka pada pilihanraya akan datang. Yang tidak adilnya ialah kalau pihak kerajaan secara terang-terangan berkempen di kaca tv tidak pula dikatakan ada motif politik.

Ini memang tidak adil! Media yang berat sebelah.

Adapun agama dan politik memang tidak boleh dipisahkan. Ini memang jelas. Orang yang jahil agama saja yang akan menyatakan tiada politik dalam agama. Sesungguhnya pemahaman yang mengatakan politik tidak ada dalam agama itu adalah daripada ajaran sekular.

Kita sebagai muslim mestilah menolak fahaman sekular ini kerana fahaman ini memisahkan antara agama dan kehidupan. Agama suku, dunia atau politik suku. Fahaman sekular mengajar urusan agama duduk di masjid dan pejabat agama sahaja manakala urusan politik di luar masjid dan ulama tidak boleh campur tangan. Islam tidak ajar seperti demikian. Islam adalah agama yang menyeimbangkan antara keperluan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya fahaman sekular ini boleh merosakkan akidah dan menjurus kepada murtad. Oleh itu, kita mesti mengatakan dan beramal bahawa dalam agama ada politik. Jadi, tidak timbul isu kalau buat apa-apa bermotifkan politik.

Kita mesti menjaga agama kita. Manakala negara yang kita diami ini pula mestilah diperintah oleh pemerintah yang adil, yang tidak melakukan dosa besar dan berterusan dengan dosa kecil. Kita mesti memilih pemimpin yang bertaqwa, yang takut kepada Allah, yang alim ilmu agama, yang tahu hukum-hakam agama, yang tahu syariat Islam, yang tahu al-Quran dan Hadis. Tujuannya adalah supaya pemimpin itu dapat memimpin kita ke arah kebaikan di dunia dan di akhirat, serta menjaga, mempertahan dan memperjuangkan Islam dengan baik.

Semoga dengan sikap keprihatinan kita terhadap Islam mampu mengubah keadaan yang tidak adil ini bertukar kepada adil. Oleh itu, marilah kita memilih pihak yang benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam menegakkan kebenaran dan keadilan.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!