Pertama
sekali sukacitanya ingin saya memetik sepotong ayat daripada wahyu Allah
s.w.t.. Firman-Nya:
رَبَّنَا
لاَ تُؤَاخِذْنَآ إِنْ نَسِينَآ أَوْ أَخْطَأْنَا
Maksudnya: Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa
atau kami tersalah.
(Al-Baqarah: Ayat 286)
Kita memang tidak dapat lari daripada sifat lupa. Oleh itu, tidak
menjadi mustahil kalau kita melakukan sesuatu perbuatan kerana terlupa. Sesungguhnya
apabila terbuat sesuatu kerana terlupa maka hal yang demikian dimaafkan.
Contohnya, seseorang yang lupa berwudhuk dan ia besolat dengan
sangkaan ada wudhuknya, maka ia tidak berdosa. Namun begitu, hendaklah ia
mengulangi kembali solatnya setelah ternyata bahawa solat yang dahulunya dalam
hadas.
Begitu juga dengan orang yang terlupa hendak mendirikan solat,
hendaklah dilakukannya setelah ia ingat. Hal ini berdasarkan kepada hadis
Rasulullah s.a.w., iaitu:
مَنْ
نَامَ عَنْ صَلاَةٍ أَوْ نَسِيَهَا فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا
Maksudnnya: Barangsiapa meninggalkan solat kerana tertidur atau kerana
terlupa maka hendaklah ia mengerjakan solat itu apabila ia teringatnya.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Contoh lain pula seperti makan atau minum ketika berpuasa pada siang
ramadhan kerana terlupa maka puasanya tidak batal dan dia mesti meneruskan
puasanya. Sesungguhnya makanan atau minuman yang telah masuk ke dalam
kerongkongnya itu adalah rezeki yang diberikan oleh Allah kepadanya.
Hal ini ada dijelaskan dalam hadis Rasulullah s.a.w.. Dari Abu
Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:
مَنْ
نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ فَلْيَتِمَّ صَوْمَهُ، فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ
اللهُ وَسَقَاهُ
Maksudnya:
Barangsiapa yang terlupa bahawa dia sedang berpuasa lalu dia sedang berpuasa
lalu dia makan atau mimun maka hendaklah
dia menyempurnakan puasanya, sesungguhnya Allahlah yang telah memberinya makan
dan minum.
(Riwayat Muslim no. 1155 dan al-Bukhari no. 1831)
Begitu juga dengan orang yang berpuasa sekiranya bersetubuh dalam
keadaan lupa maka hal itu tidak membatalkan puasa. Hukum ini diqiyaskan dengan
makan dan minum kerana terlupa.
Begitu juga dengan orang yang lupa membayar zakat fitrah, maka ia
tidak berdosa tetapi ia wajib mengqadha`kan zakatnya itu. Hal ini bermakna bahawa
kewajipan zakat fitrah itu tidak gugur daripadanya dan tetap wajib dibayarkan
walaupun sudah melewati batas waktu akhir yang ditentukan (iaitu solat Aidilfitri).
Contoh-contoh ini boleh juga dikaitkan dengan hadis Rasulullah s.a.w..
Dari Ibn ‘Abbas radhiayallahhu ‘anhuma, bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
إِنَ
اللهَ قَدْ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوَا
عَلَيْهِ.
Maksudnya: Sesungguhnya Allah s.w.t. mengangkat (tidak akan dikira
sebagai dosa) dari umatku apa yang mereka tidak sengaja, terlupa dan terpaksa.
(Riwayat Ibnu Majah dan al-Baihaqi dan lainnya)
Demikianlah kemaafan yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada umat nabi
Muhammad s.a.w. sekiranya melakukan sesuatu perbuatan dengan secara tersilap,
terlupa dan paksaan. Hal ini menunjukkan bahawa sekiranya perkara tersebut berlaku
maka tiada dihukumkan kesalahan atau berosa. Sesungguhnya Islam adalah agama yang mudah, agama yang tidak menyusah dan menyulitkan umatnya serta agama yang adil untuk semua.
Wallahu’alam.
Rujukan:
Al-Quran terjemahan
Kitab Hadis 40, Imam Nawawi
Kitab Fiqh Manhaji, Dr. Mustafa Al-Khin, Dr. Mustofa Bugha & Ali
Asy-Syarbaji
Kitab Keindahan Islam, Dr. Abdul Basit Abd Rahman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan