Halaman

Rabu, 15 September 2010

Bersederhanalah Kamu

Mengertilah bahawa dengan bersederhana kita akan bersikap berpada-pada dalam percakapan, tingkah-laku, bekerja, beribadah, belajar, berfikir dan banyak lagi.

Dalam bahasa arabnya disebut wasatiah yang bermaksud menyepadukan keperluan dunia dan akhirat. Keperluan untuk dunia dan akhirat dilakukan dengan seimbang. Tidak keterlaluan mencari keperluan dunia saja sehingga melupakan akhirat. Begitu juga tidak keterlaluan mencari keperluan akhirat sehingga mengabaikan keperluan dunia.

Islam mengajar penganutnya agar bersederhana, tidak keterlaluan sama ada terhadap hal-hal duniawi atau ukhrawi. Kedua-duanya dilakukan dengan sama rata, seimbang, pertengahan dan sederhana.

Taknaklah masa rajin, bersemangat… kita buat sesuatu dengan penuh beriya-iya… dengan gairah… tapi bila tak bersemangat jadi malas… kerja terbengkalai… terhenti macam tu saja… ibarat hangat-hangat tahi ayam atau melepaskan batuk di tepi tangga.

Ingatlah bahawa ketika mendapat sesuatu yang menggembirkan kita bersyukur tetapi apabila mendapat sesuatu yang menyedihkan maka kita bersabar menerima takdir Allah. Apabila bersikap sederhana maka semasa mendapat kemenangan atau kejayaan kita tidak terlalu gembira. Selain itu, jika menghadapi kekalahan atau kegagalan maka tidak terlalu sedih. Inilah yang dikatakan sikap bersederhana. Semasa senang atau susah kita tetap mengingati Allah.

Sabda Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam:

عَنْ أَبِى يَحْيَ صُهَيْبِ بْنِ سِنَانٍ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ وَلَهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَلِكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ. (رواه مسلم).
Maksudnya: Abu Yahya Suhaib bin Sunan Radhi Allahu ‘Anh meriwayatkan Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: sungguh menghairankan keadaan seseorang mukmin semua urusannya membawa kebaikan. Kelebihan ini hanya diterima oleh orang mukmin sahaja, iaitu, apabila dikurnia kebaikan dia bersyukur ini adalah kebaikan untuknya dan apabila ditimpa keburukan, dia bersabar dan ini juga adalah kebaikan untuknya.

Kehidupan ini ibarat roda. Tak selamanya kita berada di atas. Adakalanya kita akan jatuh. Jadi, pada masa jatuh, kita mesti bangun. Jatuh, bangun. Jatuh, bangun. Jatuh, bangun lagi. Jangan berputus asa.. jangan mengalah.

Oleh itu, setiap perkara mesti bersederhana barulah hati menjadi tenang dan hidup sentiasa bahagia.

Orang yang bersederhana itu sekiranya seorang hartawan maka tanpa rasa risau, bimbang, berat hati dan takut harta sedikit dia merupakan orang yang sangat pemurah. Begitu juga tidak merasakan ingin menambahkan kekayaan dengan tamak haloba, dengki dan inginkan kekayaan orang lain.

Firman Allah:

وَالَّذِينَ إِذَا أَنفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَلِكَ قَوَامًا (الفرقان: ٦٧)
Maksudnya: Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.

Orang yang bersederhana itu sekiranya seorang fakir atau miskin maka takkan berpeluk tubuh meminta pemberian orang. Dia akan berusaha mengubah nasib dirinya kepada yang lebih baik. Dia tidak dengki terhadap orang kaya kerana kekayaannya tetapi mempunyai semangat yang kuat untuk menjadi seperti orang kaya tersebut. Dia juga tidak menyimpan dendam terhadap orang yang menindas, mencela dan menghinanya.

Firman Allah:

الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنْ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ  (آل عمران: ۱۳٤)
Maksudnya: (yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema'afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.

Oleh itu, sekali lagi inginku ulangi semula bahawa setiap perkara mesti bersederhana barulah hati menjadi tenang dan hidup sentiasa bahagia.

Apabila kita mengamalkan sikap wasatiah maka semua pekerjaan akan dirancang dan dilaksanakan mengikut kemampuaan, keperluan, secara berterusan dan seimbang agar dapat menghasilkan natijah yang sempurna dan padu.

Sabda Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللهِ أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ. (رواه البخارى ومسلم).
Maksudnya: ‘Aisyah Radhi Allahu ‘Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: Allah Subhanahu Wa Taa’la mengasihi amalan-amalan yang berkekalan walaupun sedikit.

Dan wasiat Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam:

عَنْ عَمْرِو بْنِ الحَرْثِ: ...وَخَيْرُ الْأُمُوْرِ أَوْسَطُهَا. (رواه البيهقى).
Maksudnya: ‘Amru bin al-Harith meriwayatkan: …dan sebaik-baik urusan ialah wasatiah.

Oleh hal yang demikian, marilah kita mengamalkan sifat mahmudah ini dalam kehidupan seharian. Dengan bersederhana, hati menjadi tenang dan hidup bahagia di dunia dan di akhirat.

Sekian, Wallahua’alam.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!