Halaman

Selasa, 7 September 2010

Ramadhan Yang Berbaki: Adakah Masih Ada Peluang?

Alhamdulillah, malam tadi saya berkesempatan, berpeluang, berdaya dan berkemampuan pergi ke masjid. Alhamdulillah, saya dapat mengerjakan solat fardhu dan terawih secara berjemaah. Saya berkata demikian sebab dah banyak hari saya miss untuk mengimarahkan masjid. Sejak belakangan ni tiap-tiap malam saya kena bantu ayah berniaga di pasar malam. Jadi, saya menjadi sukar hendak menghidupkan malam dengan solat sunat terawih.

Alhamdulillah, seperti di tempat-tempat lain selepas 4 rakaat solat terawih, jemaah akan disajikan dengan tazkirah selama antara 15  hingga 20 minit. Alhamdulillah, tazkirah yang disampaikan oleh ‘ustaz muda’ yang dikenali dengan panggilan Ustaz Muhammad Hafizzuddin itu dapat saya dengar dari mula hingga akhir. Kebiasaannya kalau siang letih berniaga tentu pada sebelah malam saya juga akan letih dan mengantuk. Tapi kali ni saya kurang letih maka saya dapat fakus semasa mendengar tazkirah.

Jadi, antara mesej yang dapat saya ambil ialah kita masih ada peluang melakukan amalan-amalan soleh pada Ramadhan yang masih berbaki ini. Kita masih berkesempatan untuk memperbaiki ibadah puasa mahupun memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Janganlah kita menyatakan bahawa lagi beberapa hari saja nak raya mungkin tak sempat untuk beramal ibadah. Oleh itu, ada tiga perkara yang boleh kita lakukan pada 10 akhir Ramadhan. Amalan-amalan tersebut juga adalah amalan yang suka dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Antaranya adalah:

Beriktikaf
Beriktikaf di masjid. Diriwayatkan bahawa pada 10 Ramadhan yang terakhir Rasulullah selalu beriktikaf di masjid. Hal ini kerana baginda tidak mahu terlepas untuk mendapatkan kelebihan Lailatul Qadar. Hadis sahih melaporkan bahawa Nabi Muhammad bersungguh-sungguh melakukan iktikaf pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Oleh itu, kita digalakkan beriktikaf di masjid terutamanya pada bulan Ramadhan. Selain itu, beriktikaf pada 10 malam akhir Ramadhan akan mendapat kelebihan yang tinggi. Jadi, beriktikaflah walaupun sebentar.

Berdoa
Nabi Muhammad berkata, “Tiga jenis orang yang tidak ditolak doa mereka iaitu orang yang berpuasa sehingga ia berbuka, pemimpin yang adil dan orang yang dizalimi. Allah mengangkat doanya merentasi awan lalu dibuka pintu-pintu langit. Tuhan berkata kepadanya, “Demi keagunganku, aku pasti menolongmu walaupun selepas masa berlalu.” (direkodkan oleh Ahmad dan Tirmizi)

Berdoalah ketika sahur, selepas solat fardhu, sebelum berbuka puasa, semasa bekerja, belajar, dan jika ada hajat. Doa pada bulan Ramadhan dimakbulkan oleh Allah. Orang yang beriman tidak akan melepaskan peluang ini kerana mereka yakin dengan janji Allah. Jadi, perbanyakkanlah betrdoa kepada Allah.

Bersedekah
Bersedakah tidak menjadikan kita jatuh miskin malah dimurahkan rezeki oleh Allah. Ini adalah janji-Nya. Dengan bersedekah kita dapat membantu golongan yang memerlukan seperti fakir, miskin, anak-anak yatim, orang sakit, orang susah dan sebagainya. Sedekah boleh dilakukan dengan memberi makanan, pakaian, duit dan sebagainya. Ibnu Abbas melaporkan Nabi Muhammad paling pemurah dalam bulan Ramadhan terutamanya apabila sering dikunjungi oleh malaikat Jibril bagi bertadarus al-Quran.

Mudah-mudahan dengan tiga amalan ini dapat menampung kekurangan pada ibadah puasa yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan yang hampir ke penghujungnya.

Sekian, Wallahua’alam.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!