Halaman

Khamis, 25 Oktober 2012

Suka Duka

Dalam kehidupan ini ada cerita suka dan cerita duka. Cerita-cerita ini silih berganti. Juga menjadi pengalaman hidup yang sangat berharga dan yang mematangkan diri. Begitulah qadha’ dan qadar yang telah ditentukan oleh Allah kepada setiap makhluk-Nya.

Marilah kita melihat alam ini sebagai iktibar dan pengajaran. Contohnya, di tempat yang sering mengalami cuaca panas dan sejuk. Manusia perlukan cuaca panas tetapi kadang-kadang merungut kerana terlalu panas. Manusia juga perlukan hujan tetapi kadang-kadang merungut kerana hujan yang turun tiap-tiap hari menyukarkan aktiviti seharian.

Cuba bayangkan matahari yang memanaskan bumi sehingga hendak keluar rumah pun terasa sukar tetapi apabila awan datang menghalang cahayanya terus sampai ke bumi maka reduplah tempat itu. Rasa legalah di hati. Bolehlah berjalan dengan senang. Kalau tidak terpaksalah berjalan di tempat-tempat yang redup. Kadang-kadang terpaksa juga menempuh di kawasan yang panas. Maka terpaksalah bertahan untuk sampai ke destinasi yang dituju.

Oleh hal yang demikian, setiap sesuatu yang berlaku ada tempoh dan waktunya. Seterusnya, bagaimana pula kita menempuhnya. Sama ada bersyukur atau lalai ketika suka. Sama ada bersabar atau berputus asa ketika duka.

Begitu juga dengan kisah Nabi Ismail ketika hendak dikorbankan oleh ayahnya Nabi Ibrahim atas perintah Allah. Nabi Ismail dan Nabi Ibrahim taat kepada perintah Allah serta melaksanakannya dengan ikhlas kerana-Nya. Nabi Ismail yang juga merupakan anak yang taat kepada ayahnya tidak membantah ayahnya melaksanakan perintah Allah itu.

Tetapi tatkala Nabi Ibrahim cuba menyembelih Nabi Ismail, Allah telah menebus Nabi Ismail dengan seekor kibasy. Beginilah keadaannya apabila seseorang itu taat dan ikhlas dalam melaksanakan perintah Allah.

Semoga dalam suka ada kebaikan dan dalam duka pun ada kebaikan.

Wallahu’alam.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!