Halaman

Ahad, 8 April 2012

Ingat Allah

Berkait dengan lupa allah, ini adalah perbuatan yang bukan tidak disengajakan tetapi perbuatan yang disengajakan. Hal ini terjadi apabila terlalu mencintai dunia, mengejar kehidupan dunia, mementing dan mengutamakan kebendaan atau material. Kehidupan yang melebihkan kebendaan daripada menyuburkan kerohanian kepada Allah.

Orang seperti ini asyik sibuk dengan mencari harta kekayaan. Sudah kaya ingin kaya lagi. Tamak, haloba dan rasa tidak cukup dengan segala yang diperolehnya. Disebabkan rutin hariannya sibuk dengan bekerja, mencari harta dan kekayaan maka dia lupa kepada Allah.

Lupa hendak ingat Allah. Lupa hendak berzikir kepada Allah. Lupa hendak beribadah kepada Allah dan lain-lain yang berkait dengan lupa kepada Allah. Termasuk juga lupa mengingati kematian dan hari akhirat. Padahal apabila sentiasa melazimkan diri dengan mengingati kematian dan hari akhirat boleh mendorong diri untuk sentiasa mengingati Allah pada setiap masa, tempat dan keadaan.  

Sebagai hamba-Nya, kita tidak patut lupa kepada Allah. Tidak patut lupa hendak berzikir dan mengingati-Nya. Tidak patut lupa hendak beribadah dan berdoa kepada-Nya. Sebaliknya kita mestilah mengingati Allah di mana jua berada dan ketika.

Mengingati Allah itu menjadikan kita sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan-Nya, melakukan semua perintah-Nya dan meninggalkan semua larangan-Nya, berbakti kepada-Nya, berbakti dan berjuang menegak dan mendaulatkan agama-Nya yakni Islam. Kita juga akan sentiasa sedar untuk memastikan Islam diperjuang, dibela dan dipertahankan daripada ancaman, kecaman, penghinaan yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam yang ingin memadamkan cahaya Islam daripada terus bersinar di muka bumi.

Firman Allah s.w.t.:
... فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلاَ يَضِلُّ وَلاَ يَشْقَى (١٢٣) وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى (١٢٤)
Maksudnya: …Maka barangsiapa mengikuti petunjuk-Ku ia tidak akan sesat dan celaka. Dan barangsiapa berpaling tadah, tidak ingat kepada-Ku maka baginya kehidupan yang sempit dan kami akan membangkitkan di hari kiamat dalam keadaan buta.
(Tha-ha: 123-124)

Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang mengikuti Allah dan mengikut petunjuk-Nya adalah mereka yang menuju jalan iman dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Manakala orang yang lupa kepada Allah dan hidup sesat adalah mereka yang berada di jalan kufur, sesat dan kecalakaan di dunia dan di akhirat.

Sekian, Wallahu’alam.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!