Berkait dengan lupa allah, ini adalah perbuatan yang bukan tidak
disengajakan tetapi perbuatan yang disengajakan. Hal ini terjadi apabila
terlalu mencintai dunia, mengejar kehidupan dunia, mementing dan mengutamakan
kebendaan atau material. Kehidupan yang melebihkan kebendaan daripada
menyuburkan kerohanian kepada Allah.
Orang seperti ini asyik sibuk dengan mencari harta kekayaan. Sudah kaya
ingin kaya lagi. Tamak, haloba dan rasa tidak cukup dengan segala yang
diperolehnya. Disebabkan rutin hariannya sibuk dengan bekerja, mencari harta
dan kekayaan maka dia lupa kepada Allah.
Lupa hendak ingat Allah. Lupa hendak berzikir kepada Allah. Lupa hendak
beribadah kepada Allah dan lain-lain yang berkait dengan lupa kepada Allah. Termasuk
juga lupa mengingati kematian dan hari akhirat. Padahal apabila sentiasa
melazimkan diri dengan mengingati kematian dan hari akhirat boleh mendorong
diri untuk sentiasa mengingati Allah pada setiap masa, tempat dan keadaan.
Sebagai hamba-Nya, kita tidak patut lupa kepada Allah. Tidak patut
lupa hendak berzikir dan mengingati-Nya. Tidak patut lupa hendak beribadah dan
berdoa kepada-Nya. Sebaliknya kita mestilah mengingati Allah di mana jua berada
dan ketika.
Mengingati Allah itu menjadikan kita sentiasa bersyukur dengan segala
kurniaan-Nya, melakukan semua perintah-Nya dan meninggalkan semua larangan-Nya,
berbakti kepada-Nya, berbakti dan berjuang menegak dan mendaulatkan agama-Nya
yakni Islam. Kita juga akan sentiasa sedar untuk memastikan Islam diperjuang,
dibela dan dipertahankan daripada ancaman, kecaman, penghinaan yang dilakukan
oleh musuh-musuh Islam yang ingin memadamkan cahaya Islam daripada terus
bersinar di muka bumi.
Firman Allah s.w.t.:
... فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلاَ يَضِلُّ وَلاَ يَشْقَى (١٢٣) وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي
فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى (١٢٤)
Maksudnya: …Maka barangsiapa mengikuti petunjuk-Ku ia tidak akan sesat
dan celaka. Dan barangsiapa berpaling tadah, tidak ingat kepada-Ku maka baginya
kehidupan yang sempit dan kami akan membangkitkan di hari kiamat dalam keadaan
buta.
(Tha-ha: 123-124)
Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang mengikuti Allah dan mengikut
petunjuk-Nya adalah mereka yang menuju jalan iman dan kebahagiaan di dunia dan
di akhirat. Manakala orang yang lupa kepada Allah dan hidup sesat adalah mereka
yang berada di jalan kufur, sesat dan kecalakaan di dunia dan di akhirat.
Sekian, Wallahu’alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan