Halaman

Jumaat, 23 November 2012

Jangan Ikut Nafsu

Dalam diri kita ada nafsu. Dengan nafsu kita ada perasaan ingin makan, tidur, kahwin, rumah, kereta, duit, jadi orang kaya, hidup senang dan lain-lain. Namun, sekiranya nafsu tidak dikawal maka nafsu tidak akan pernah merasa puas. Hal ini samalah seperti yang terdapat dalam hadis Rasulullah s.a.w.:

وعن ابنِ عباسٍ وأَنَسِ بن مالكٍ رضي الله عنهما أَنَّ رسولَ الله صلى الله عليه وسلم قال: لَوْ أَنَّ لابْنِ آدَمَ وَادِيًا مِنْ ذَهَبٍ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَادِيَانِ، وَلَنْ يَمْلأَ فَاهُ إِلاَّ التُّرَابُ، وَيَتُوْبُ اللهُ عَلَى مَنْ تَابَ. (متفق عليه)

Maksudnya: Dari Ibnu Abbas dan Anas bin Malik radhiallahu 'anhuma bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Andaikata seorang anak Adam, yakni manusia itu memiliki selembah emas, ia tentu menginginkan memiliki dua lembah dan sama sekali tidak akan memenuhi mulutnya kecuali tanah, iaitu setelah mati dan Allah menerima taubat kepada orang yang bertaubat. (Muttafaq 'alaih)

Cuba bayangkan, sebelum memiliki sesuatu pasti benda yang diingini itu akan terbayang-bayang dalam ingatan. Selagi tak dapat selagi itulah teringat. Teringin sangat. Namun, apabila benda yang diingin itu sudah dimiliki maka terasa ingin menambah lagi satu. Rasa tak cukup. Nak lagi.  Dah dapat satu nak dua. Dah dapat dua nak tiga pula. Begitulah seterusnya.

Kadang-kadang ada juga apabila benda yang dimiliki itu telah buruk, lama, rosak dan tidak cantik maka timbul perasaan jemu dan bosan terhadap benda tersebut. Mulalah inginkan yang baru, cantik dan lebih bagus. Yang lama ditinggalkan, yang baru dicari.

Contoh lain yang berkait dengan ikut nafsu ni seperti ketika makan. Rasa macam-macam nak makan. Nak makan coklat, aiskrim, kek, biskut, burger, ayam goreng, sate, buah-buahan, minum air jus dan lain-lain. Samalah ketika pada bulan puasa. Ketika nak hampir berbuka puasa macam-macam makanan rasa nak dibeli di bazar ramadhan. Macam-macam nak.

Kalau ikut nafsu, memang tak pernah rasa puas dan cukup. Macam-macam benda yang diingini. Beginilah keadaannya apabila mengikut nafsu. Oleh hal yang demikian, nafsu mestilah diurus dengan bijak dan baik. Kalau ikutkan sangat kehendak dan keinginan nafsu bimbang nanti nafsu akan menyesatkan kita daripada jalan Allah. Firman Allah s.w.t.:

وَلاَ تَتَّبِعِ الْهَوَى فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ (٢٦)
 
Maksudnya: Dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat kerana mereka melupakan hari perhitungan.

Sesungguhnya setiap penyakit itu ada ubat atau penawarnya. Begitu juga dengan masalah, setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Di sana, mungkin terdapat banyak jalan penyelesaian bagi penyakit ikut nafsu seperti bersifat zuhud, qanaah, tawaduk, ikhlas, redha, istiqamah, taqwa dan sebagainya. Namun begitu, pada kesempatan ini saya hanya ingin memfokuskan kepada bersyukur dan bersabar. 

Bersyukurlah kepada Allah atas segala nikmat-Nya. Bersabarlah dengan ujian hidup ini sama ada senang atau susah. Kalau tidak bersyukur maka akan menjadi kufur kepada-Nya. Kalau tidak bersabar maka akan kalah dan lemah dalam menghadapi ujian hidup. Bersyukurlah dengan merasakan bahawa apa-apa yang dimiliki telah cukup seperti bersifat qanaah. Bersabarlah bahawa tidak semua keinginan itu mesti dipenuhi atau dimiliki dengan segera atau sekiranya keinginan itu tidak tercapai maka tidak timbul rasa kecewa dan berputus asa.

Ingat, jangan ikut hawa nafsu nanti buruk padahnya. Namun demikian, mestilah mengutama dan mendahulukan iman ketika hendak membuat sesuatu perkara. Hanya hamba Allah yang taat kepada-Nya sahaja yang tidak akan mengikut nafsu tapi ikut perintah Allah. Baik suruhan-Nya mahupun larangan-Nya. Wallahu’alam.

Dalam kitab Hadith 40 karangan Imam Nawawi, hadith yang ke-41 menyatakan:

عَنْ أَبِيْ مُحَمَّدٍ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لاَيُؤْمِنُ أَحَدَكُمْ حَتَّى يَكُوْنَ هَوَاهُ تَبَعًا لِمَا جِئْتُ بِهِ. حَدِيْثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ. رَوَيْنَاهُ فِيْ كِتَابِ الْحُجَّةِ بِإِسْنَادٍ صَحِيْحٍ.
 
Maksudnya: Dari Abu Muhammad Abdillah bin Amr bin ‘Ash radhiallahu ‘anhuma dia berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:  Tidak beriman salah seorang di antara kalian hingga hawa nafsunya (kemahuan dan kecenderungannya) mengikuti ajaran yang aku bawa. (Hadits hasan shahih dan kami riwayatkan dari kitab Al Hujjah dengan sanad yang shahih).

Sekian, wallahu‘alam.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

terima kasih sahabatku..

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!