Belajar sebab nak beramal atau belajar sebab nak periksa.
Belajar mesti sebab nak beramal. Dengan belajar baru tahu cara nak beramal dengan betul dan sempurna. Kalau tak belajar bagaimana nak beramal dengan betul dan sempurna.
Beramal tanpa ilmu boleh menyebabkan amalan itu rosak, tidak sah dan diterima oleh Allah. Sebabnya ada kesalahan ketika beramal. Sebab itu kalau nak beramal mesti dengan ilmu, mesti belajar.
Kalau belajar tapi tak beramal dengannya pun tak boleh sebab ilmu yang tidak diamalkan akan hilang dan lupa. Bila tak beramal dengan ilmu yang dipelajari maka ilmu itu tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Hal ini menyebabkan pemilik ilmu itu dalam kerugian.
Bak kata peribahasa arab:
الْعِلْمُ بِلا عَمَلٍ كَالشَّجَرَ بِلا ثَمَرٍ
Ilmu yang tidak diamalkan ibarat pohon yang tidak berbuah.
Adapun peperiksaan, dalam buku Belajar dengan cekap dan berkesan yang ditulis oleh Prof. Dr. Khalid Mohamed Nor menyatakan peperiksaan atau ujian bertujuan untuk mengukur pengetahuan dan kemahiran penggunaan sesuatu subjek.
Pada pandangan saya peperiksaan adalah untuk menunjukkan prestasi sama ada meningkat atau menurun. Kalau pelajar itu bersungguh-sungguh ketika belajar, rajin belajar, memberi tumpuan ketika guru mengajar dan mengulangkaji pelajaran pasti pelajar itu akan berjaya. Pasti pelajar itu mendapat keputusan peperiksaan yang baik dan cemerlang.
Keputusan peperiksaan yang ditunjukkan kepada ibu bapa menjadikan mereka mengetahui tentang keadaan anak-anak mereka ketika di sekolah. Ibu bapa dapat membuat kesimpulan daripada keputusan peperiksaan yang diperoleh oleh anak-anak mereka tentang kesungguhan dalam menuntut ilmu atau leka dan lalai sehingga mengabaikan pelajaran seperti banyak bermain di sekolah dan di rumah.
Oleh hal yang demikian, belajar pun mesti ada peperiksaaan untuk dijadikan sebagai penilaian prestasi dan sikap pelajar terhadap pelajaran. Walau bagaimanapun, pelajar tidak boleh menjadikan peperiksaan sebagai matlamat utama ketika belajar kerana untuk menggelakkan daripada akan mengambil sikap belajar sebab nak dapatkan sijil, kerja yang bergaji tinggi dan jawatan tinggi semata-mata.
Selain itu, jika terlalu memberatkan belajar sebab nak periksa maka perkara yang sering terjadi ialah pelajar kuat membaca dan menghafal pelajaran ketika hendak menghadapi peperiksaan sahaja. Selepas peperiksaan tamat, ilmu pelajaran yang dibaca dan dihafal dilupakan oleh pelajar. Budaya ini terjadi kerana hendak lulus peperiksaan atau mendapat keputusan yang paling cemerlang antara rakan-rakan mereka. Oleh hal demikian, secara realitinya budaya menuntut ilmu seperti pembacaan yang luas, hafalan yang banyak dan kajian yang mendalam tidak wujud dalam kalangan pelajar. Oleh sebab itu, pelajar tidak boleh bersikap belajar sebab nak periksa.
Walau bagaimanapun, sebab peperiksaan termasuk antara perkara yang penting ketika belajar adalah supaya pelajar tidak belajar dengan sambil lewa. Manakala ilmu dan amal bergerak seiring supaya pelajar menjadi seorang yang bertanggungjawab terhadap ilmu yang dipelajarinya kerana merasakan itu adalah termasuk dalam suatu tuntutan atau kewajipan bagi insan yang bergelar pelajar.
عَنْ أَمِيْرِ المُؤْمِنِيْنَ أبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلىَ اللهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إلى اللهِ ورَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ. (رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ و مُسْلِمُ)
Maksudnya: Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu. (HR Bukhari dan Muslim).
Sekian, Wallahu’alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan