Halaman

Selasa, 25 Oktober 2011

Bawa Resmi Padi, Semakin Berisi Semakin Tunduk

Makna peribahasa ini ialah semakin banyak ilmu atau semakin tinggi pangkat, semakin merendah diri. Peribahasa ini termasuk dalam golongan bidalan. Temanya ialah sikap, perangai dan perbuatan seseorang.

Fokus pada peribahasa ini ialah “resmi padi”. Resmi berkait dengan sifat semula jadi, sifat khas bagi benda, adat, perangai dan tabiat. Padi pula adalah antara termasuk kumpulan tumbuh-tumbuhan yang ada di muka bumi. Padi diusahakan oleh petani dua kali setahun. Padi ditanam di kawasan tanah pamah. Penanaman padi boleh dikatakan agak sukar kerana perlukan panas dan lembap sepanjang tahun yang seimbang.

Daripada padi maka adanya beras. Beras menghasilkan nasi. Masyarakat di nusantara menjadikan nasi sebagai makanan asasi mereka lagi pula nasi mengandungi karbohidrat. Berbalik kepada resmi padi, isi padi ialah beras. Apabila padi sudah menguning maka menandakan padi telah masak dan boleh ditua. Pada mas itu, secara realitinya padi yang berisi lebih-lebih lagi jika banyak akan menjadi tunduk. Hal ini kerana isi yang banyak itu mempunyai berat maka padi tidak dapa berdiri dengan tegak. Ini adalah sifat semula jadi yang berlaku kepada padi.

Walaupun isi padi banyak namun padi hanya kelihatan tunduk. Oleh itu, kaitannya ialah seseorang yang boleh memberi manfaat kepada orang lain atau seseorang yang sangat diperlukan oleh masyarakat tidak menggunakan kesempatan yang ada untuk kepentingan dirinya, berlagak, sombong dan meninggi diri. Bahkan dia tidak mementingkan dirinya sendiri dan dia sanggup hidup susah agar orang disekelilingnya menikmati kesenangan terlebih dahulu.

Sebagai kesimpulan saya ingin mengajak diri saya sendiri dan anda semua agar menjadi seperti resmi padi. Tidak merugi dan merendahkan darjat diri kita sedikit pun. Secara praktikalnya inilah sikap yang sepatutnya diamalkan oleh insan yang bergelar penuntut ilmu. 

P/s: Dalam banyak-banyak peribahasa Melayu, peribahasa 'Bawa Resmi Padi, Semakin Berisi Semakin Tunduk' adalah antara peribahsa yang paling saya suka.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!