Halaman

Selasa, 11 Mei 2010

Membina Lelaki Sejati

Artikel ini diambil daripada Himpunan Risalah, Al-Syahid Hasan bin Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna rh.a.

Disiarkan dalam bilangan ke-17, akhbar Ikhwan al-Muslimin bertarikh 20 Jamadil Awal 1353 Hijrah.

Melalui artikel sebelum ini anda dapat saksikan Pertubuhan Ikhwan al-Muslimin merupakan jamaah yang terkehadapan dalam menjalankan program-program umum dan membina institusi yang berguna seperti masjid, sekolah, unit kebajikan, pengajian umum, ceramah, khutbah, nasihat dan kelab-kelab yang mengisi program berbentuk ceramah dan amali.

Namun suatu bangsa yang sedang berjuang ke arah kebangkitan semula dan berhadapan dengan zaman peralihan yang kritikal. Suatu bangsa yang mahu membina masa depannya di atas landasan yang mantap. Masa depan yang menjamin kesejahteraan dan keselesaan buat generasi baru. Bangsa yang mahu menuntut hak dan harga diri mereka yang telah dirampas. Bangsa ini sebenarnya memerlukan pembangunan yang berbeza.

Bangsa ini sebenarnya memerlukan pembangunan jiwa dan pemurnian akhlak. Anak bangsanya perlu dididik agar memiliki sifat kelelakian yang sebenar. Agar mereka mampu menghadapi segala rintangan di sepanjang jalan serta sedia menanggung segala kesulitan.

Lelaki adalah formula hidup sesebuah bangsa dan menjadi faktor utama yang menentukan kebangkitan mereka. Sejarah manusia sebenarnya adalah sejarah kelahiran lelaki-lelaki yang berketrampilan dan memiliki jiwa serta kemahuan yang tinggi. Kekuatan atau kelemahan sesebuah bangsa diukur sejauhmana bangsa ini mampu melahirkan lelaki-lelaki yang memiliki sifat-sifat kelelakian yang sebenar. Saya yakin dan sejarah membuktikan bahawa seorang lelaki mampu untuk membina sebuah bangsa jika dia memiliki sifat kelelakian yang sebenarnya. Dalam masa yang sama dia juga mampu menghancurkan bangsa ini jika sifat kelelakiannya dihalakan ke arah kehancuran bukan ke arah pembangunan bangsanya.

Sesebuah bangsa juga terpaksa melalui zaman-zaman peralihan sepanjang hidupnya sama seperti zaman-zaman peralihan yang terpaksa dilalui oleh setiap individu. Ada kalanya seorang manusia dibesarkan oleh ibu bapa yang kaya dan penyayang. Orang ini tidak pernah berhadapan dengan masalah yang mengganggu fikirannya atau menghiris hatinya. Dia juga tidak pernah diminta melakukan sesuatu yang memenatkan dan menyulitkan. Dalam masa yang sama, ada seorang lagi yang terpaksa membesar dalam keadaan yang sukar. Dia dibesarkan oleh ibu bapa yang miskin dan tidak berupaya. Setiap kali menjelang pagi, pelbagai masalah akan bermain di kepalanya. Pelbagai kerja yang perlu dilakukannya. Maha suci Allah yang melahirkan manusia dengan nasib yang berbeza.

Kita ditakdirkan untuk lahir dalam generasi yang sedang menjadi habuan pelbagai bangsa lain. Generasi yang sedang berjuang bermati-matian untuk hidup. Kemenangan pasti akan memihak kepada pihak yang kuat dan terkehadapan.

Suasana yang ada juga memaksa kita menghadapi peninggalan masa silam yang sangat getir dan kita merasai kepahitannya. Kitalah yang bertanggungjawab memecahkan belenggu dan halangan serta menyelematkan diri kita dan anak-anak kita. Di samping itu kita perlu mengembalikan kemuliaan dan kegemilangan kita serta menghidupkan semula tamadun dan ajaran agama kita.

Takdir juga telah menentukan kita terpaksa menempuhi era peralihan yang sengit. Di zaman di mana pelbagai gelombang fikiran, aliran fahaman dan kepentingan peribadi mencorak individu, bangsa, kerajaan, pertubuhan dan dunia seluruhnya. Akibatnya fikiran dan jiwa manusia menjadi keliru dan tidak menentu. Manusia ibarat pengemudi kapal yang hanyut di tengah gelombang, tercari-cari arah tujunya. Malangnya tiada sebarang petanda yang dapat dilihat dengan jelas. Segala-galanya kelihatan kelam. Di sepanjang jalan, di tengah malam yang gelap gelita ini kedengaran suara sayup-sayup memekik memanggilnya. Hanya ada satu perkataan sahaja yang tepat menggambarkan situasi manusia di ketika itu iaitu “gawat”.

Begitulah kita ditakdirkan untuk berhadapan dengan semua situasi ini. Ia meminta kita supaya berusaha menyelamatkan bangsa ini yang sedang diancam bahaya.

Sebuah bangsa yang sedang dilanda masalah seperti masalah kita ini, sebuah bangsa yang sedang bangkit melaksanakan tugas seperti tugas kita ini, sebuah bangsa yang sedang memikul tanggungjawab seperti tanggungjawab kita ini, bangsa ini tidak boleh sama sekali mengubat hatinya dengan ubat pelali atau bergantung hanya kepada impian dan angan-angan. Sebaliknya mereka perlu mempersiapkan diri untuk mengharungi perjuangan yang panjang dan sengit. Pertembungan yang hebat antara hak dan batil, antara yang berguna dan yang tidak, antara pemilik dan perampas, antara orang yang mengikut arus dan yang menongkah arus, antara orang yang ikhlas dan orang yang khianat. Bangsa ini perlu memahami bahawa jihad bererti bersusah payah dan bersusah bererti berpenat lelah. Jihad bererti berakhir masa untuk berehat kecuali setelah selesai perjuangan ini. Pada pagi esoknya barulah mereka boleh bergembira.

Persediaan yang diperlukan oleh bangsa ini dalam mengharungi jalan yang berliku ini hanyalah dengan jiwa yang beriman, tekad yang jitu, kejujuran, kesediaan berkorban dan berani menghadapi kesusahan. Tanpa persediaan ini mereka tidak akan mampu menang dan kegagalan pasti memihak kepada mereka.

Walaupun situasi kita hari ini adalah seperti yang anda tahu. Malangnya kita masih memiliki jiwa yang layu, lemah dan manja. Pipinya begitu halus hingga bias terluka dihembus bayu. Jari jemarinya bisa terguris disentuh sutera. Para pemuda dan pemudi kita yang merupakan generasi harapan di masa hadapan lebih tertarik dengan fesyen mewah atau makanan yang sedap atau hiasan yang menawan atau kenderaan mewah atau kerjaya yang hebat atau gelaran yang tiada nilainya. Walaupun ia bermakna mereka terpaksa menggadai segala kebebasan diri mereka atau kehormatan mereka atau terpaksa hilang segala hak bangsa mereka.

Lihatlah golongan muda ini, raut wajah mereka memperlihatkan semangat muda mereka. Gaya mereka memperlihatkan ketangkasan mereka. Air muka mereka begitu jernih. Mereka menempuh pintu ketua jabatan sambil borang permohonan kerja tersisip di lengan mereka. Anda dapat lihat bagaimana mereka akan menggunakan apa sahaja cara. Mereka akan meminta bantuan yang berpangkat rendah dan tinggi. Mereka akan menggunakan perantaraan kerani dan pegawai kementerian untuk mencapai hasrat mereka bagi memperoleh kerja. Saudara pembaca yang dikasihi, apabila pemuda ini bernasib baik, apabila apa yang dicitakannya tercapai dan berjaya menjawat jawatan rasmi ini, apakah dia akan bersedia meninggalkan kerja ini demi mempertahankan harga dirinya walaupun terpaksa berhadapan dengan seksaan?

Hari ini, diri kita memerlukan rawatan yang rapi, perubahan yang menyeluruh dan pemulihan dalam pelbagai aspek akibat semangat kita telah yang luntur, akhlak kita yang tercemar dan sikap mementingkan diri kita. Harapan besar yang diimpikan oleh para penggerak perubahan di tambah pula dengan situasi kritikal yang melanda umat ini menuntut kita supaya segera memulihkan diri kita. Kita bina semula roh kita setelah sekian lama ia dilanda kemarau dan setelah pelbagai peristiwa menggugat kekebalan dan keutuhannya. Tanpa kekuatan rohani dan pemulihan jiwa ini kita tidak akan mampu melangkah ke hadapan walau selangkah.

Jika anda dapat memahami hakikat ini dan anda bersetuju bersama saya bahawa inilah ukuran sebenar yang menentukan kemajuan sesebuah bangsa, ketahuilah matlamat utama yang disasarkan oleh pertubuhan Ikhwan al-Muslimin ialah pentarbiyahan yang sebenar. Mendidik umat ini supaya memiliki peribadi yang mulia dan akhlak yang luhur dan agung. Di samping itu, ia menghidupkan semula semangat yang akan merangsang sesebuah bangsa untuk mempertahankan maruah mereka, bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kegemilangan mereka, bersedia mengharungi segala susah payah demi mencapai cita-cita mereka.

Anda mungkin bertanya apakah cara yang digunakan oleh Ikhwan al-Muslimin untuk memulihkan semula jiwa manusia serta memantapkan akhlak mereka? Apakah Ikhwan pernah menggunakan kesemua cara ini? Sejauhmana kejayaan mereka?

Bertemu lagi di lain masa, dengan izin Allah.


Sumber: Himpunan Risalah, Al-Syahid Hasan bin Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna rh.a.

"Membina Ummah Berkualiti"

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!