Halaman

Rabu, 9 Disember 2009

Mengamalkan Ilmu


Sesungguhnya ilmu dicari dengan berusaha untuk mendapatkannya. Dalam masa mencari ilmu terdapat pelbagai rintangan dan halangan yang perlu ditempuh. Antara halangan yang wujud itu selain daripada masalah peribadi, keluarga, kewangan dan seumpamanya terdapat juga halangan daripada musuh-musuh yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar seperti iblis, syaitan dan hawa nafsu. Halangan-halangan ini adalah antara punca untuk menggagalkan usaha mencari ilmu.

Segala usaha mencari ilmu akan berjaya jika diri mempunyai semangat yang kuat, kental, tidak berputus asa dan bersungguh-sungguh. Oleh sebab itu sifat-sifat ini amat penting bagi seorang penuntut ilmu. Apabila diamati dengan sungguh-sungguh maka betapa susahnya untuk mendapatkan ilmu. Jadi, orang yang berjaya mendapatkan ilmu bermakna dia telah berjaya melalui rintangan dan halangan tersebut.

Usaha-usaha penuntut ilmu tidak hanya berlegar-legar dalam proses mencari ilmu sahaja malah mesti mengamalkan ilmu yang ada padanya. Ilmu yang diamalkan akan menjadi lebih bermakna pada dirinya. Ilmu tersebut akan menjadi perhiasan bagi dirinya. Pada masa itu juga ilmunya menjadi bermanfaat bagi dirinya. Orang yang beramal dengan ilmunya ialah orang yang menghargai ilmu yang dipelajari.

Kehidupan orang yang beramal dengan ilmunya akan menjadi indah di dunia dan di akhirat. Ketika di dunia ilmu itu yang diamalkan menjadi benteng bagi dirinya daripada melakukan maksiat dan dirinya selalu terdorong untuk mentaati segala perintah Allah. Ketika di akhirat pula dia akan mendapat rahmat Allah kerana amalannya yang didasarkan dengan ilmu yang benar membolehkan dia masuk ke syurga Allah. 

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!