Halaman

Khamis, 31 Mei 2012

Akses Internet Tiap-Tiap Hari

Sekarang ni susah benar saya nak buat tak online tiap-tiap hari. Maksudnya sekarang ni setiap hari saya online internet.

Dah jadi Tabiat. Kalau tabiat ni baik... ok alhamdulillah. Kalau tabiat ni negatif atau buruk dan memudharatkan... saya minta dijauhkan daripada melekat pada diri dan mesti diubah tabiat buruk tersebut.

Ini berkait dengan masa. Bagaimana menguruskan masa? Kalau dah tiap-tiap hari online, kemudian online pula berjam-jam maka sudah tentu secara logiknya dalam sehari masa yang digunakan untuk aktiviti online adalah lebih banyak darpada aktiviti-aktiviti lain. 

Jadi, bagaimana dengan aktiviti, kerja buat, gerak kerja, program dan amalan lain? Adakah terabai, tertangguh dan tidak terlaksana?

Fikir-fikirkan... sedang fikirkan... 

Kadang-kadang terfikir juga kalau demikian bilakah masa nak membaca buku, mengaji al-quran, menghafaz al-Quran, menghafaz hadis, menulis dan sebagainya? Bilakah nak buat perkara-perkara ilmiah tersebut?

Itu tak termasuk dengan hal-hal yang berkait dengan ibadah, amalan soleh yang mendatangkan pahala.

Pernah juga terfikir adakah dengan asyik online itu akan menjadi suatu amalan yang mendatangkan pahala atau perbuatan yang sia-sia? Jika sia-sia bagaimanalah keadaannya di akhirat? 

Bila fikir balik seolah-olah aktiviti itu lebih banyak kepada hal keduniaan. Sepatutnya aktiviti ke arah akhirat yang mesti banyak dilakukan dalam kehidupan seharian. Masa-masa yang diberikan itu sepatutnya lebih banyak digunakan untuk aktiviti, kerja buat, gerak kerja, program dan amalan yang berkait dengan kehidupan di akhirat.

Rasa insaf pula bila sebut tentang akhirat.

Baiklah, bagaimana kalau ubah tabiat online? lepas ni online sekali-sekala... kadang-kadang... jarang-jarang.

Tapi sebenarnya apakah yang saya lakukan semasa online dan untuk perkara apakah saya gunakan internet?

Sebenarnya saya gunakan internet untuk mencari maklumat, berita terkini dan lain-lain. Kebanyakannya menjurus kepada maklumat memandangkan internet adalah information technology (IT). Dalam bahasa Melayunya ialah teknologi maklumat. Jadi, ini bermakna internet bukanlah teknologi ilmu.

Saya juga gunakan internet untuk mencari maklumat tentang judul buku yang terbaru, yang sudah ada, dan yang dah lama ada di pasaran.

Lazimnya sebelum saya beli buku saya akan cari maklmuat di internet tentang buku yang hendak saya beli. Senang sikit buat macam ni. Dengan cara ni saya boleh tahu harga, penertbit dan penulis buku. Bila di kedai buku saya terus beritahu kepada penjual buku tentang buku yang hendak dibeli.

Sekiranya ditanya tentang latar belakang buku tersebut maka dengan mudah saya beritahu kepadanya kerana saya sudah ada maklumat tentang buku yang ingin dibeli.

Satu lagi dengan cara ini saya boleh buat bajet kewangan yang sepatutnya supaya buku yang dibeli tidak melebihi senarai yang dirancangkan. Maksudnya kalau tak buat senarai barang yang hendak dibeli bimbang akan rambang mata... main beli je... nampak ni nak beli.

Kadang-kadang sebelum nak membeli sesuatu barangan saya akan terlebih dahulu mencari maklumat tentang barangan tersebut. Cara ini memang banyak memudahkan saya. Saya juga berasa yakin ketika hendak membeli.

Ada juga ketika saya hendak ke sesuatu tempat yang tak pernah saya pergi maka saya akan mencari maklumat dan melihat peta. Kemudahan seperti google map, satelite dan sebagainya memang memudahkan. Jadi, sedikit sebanyak saya tahu arah dan jalan ke destinasi yang hendak dituju.

Saya juga gunakan internet untuk download kuliah agama. Sekarang ni di internet dah banyak. Tinggal nak cari nak download saja. Kita boleh cari di Mymaktabaty, Terengganukini, Darulkautsar.net, YouTube dan lain-lain lagi. Pada saya kalau cari benda yang baik mesti dapat benda yang baik juga. Begitulah sebaliknya.

Selain itu, saya gunakan internet untuk download buku-buku atau kitab-kitab yang berformat doc, pdf, djvu, software dan sebagainya. Kebiasaanya buku-buku agama. Kalau nak beli ratusan buku yang ada di pasaran memang tak mampu kerana memerlukan kewangan yang banyak. Jadi, melalui cara ini dapat download secara percuma. 

Lagi pun pemilik website dan blog yang menyediakan kemudahan itu mengizinkan pengguna internet download dengan percuma. Di samping itu pemiliknya berniat agar ilmu Islam itu dapat disebarkan kepada orang lain.

Demikianlah penggunaan internet dan aktiviti yang saya lakukan ketika online. Kemudahan-kemudahan yang terdapat di internet itu seboleh mungkin saya manfaatkan. Sekiranya terdapat perkara-perkara yang mensia-siakan masa maka pada saya, saya mesti jauh dan elakkan. Hal itu jika tak disedari boleh meleka dan melalaikan sehingga mengabaikan perkara utama dan penting yang mesti dan sepatutnya dilakukan dalam seharian.

Kesimpulannya, saya kena kurangkan online, online untuk perkara yang penting-penting saja, ubah tabiat buruk, gunakan internet untuk perkara yang baik, manfaat dan berfaedah saja dan mesti banyak menggunakan masa untuk perkara-perkara ilmiah, yang boleh menambahkan pahala, dan yang boleh meingkatkan iman dan taqwa. Insya-Allah.

Saya mesti usahakan... saya mesti lakukan... jangan cakap dan tulis saja. Saya mesti ada kekuatan dan kemampuan untuk berubah kepada yang lebih baik. Inilah muhasabah saya pada hari ini. Saya berharap agar hari ini adalah lebih baik daripada semalam, dan hari esok adalah lebih baik daripada hari ini.

Pagi Yang Baik Dan Mulia

Sekarang adalah musim cuti persekolahan semester pertama. Walaupun cuti tidak bermakna belajar, membaca, menulis, menghafaz dan mengulang kaji pelajaran pun bercuti. Jadi, sepanjang cuti persekolahan pelajar mesti tetap menggunakan masa untuk belajar.

Sehubungan dengan itu, pada hari ini saya ingin membicarakan tentang masa, tempoh dan waktu belajar. Persoalannya ialah bilakah masa hendak mulakan pelajaran? Berapa lamakah tempoh belajar? Dan bilakah waktu hendak belajar?

Sebenarnya inilah yang ingin saya bicarakan. Saya rasa dengan mengajukan soalan tersebut akan menjadi mudah untuk difahami.

Sebenarnya masa, tempoh dan waktu belajar boleh sahaja ikut jadual seperti belajar di sekolah. Kalau di sekolah jadual waktu belajar bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 1.15 tengah hari. lebih kurang macam tu la.

Pada saya waktu belajar yang sesuai dan terbaik adalah pada waktu pagi. Boleh sahaja bermula selepas subuh. Ada juga orang yang dah mula belajar sebelum subuh lagi. Ada juga pada 1/3 malam. Selepas qiamullail belajar. Tapi ni jarang dilakukan kerana bukannya senang nak bangun seawal begini. Walau bagaimanapun, pada 1/3 malam itu adalah waktu yang terbaik.

Pada waktu itu sangat sunyi, hening dan tenang. Kalau solat, berdoa dan berzikir pada waktu itu boleh mendatangkan khusyuk dan ketenangan. Pada waktu itu juga adalah waktu doa mustajab. Selain itu, kalau belajar dan menghafaz senang nak fokus  dan mengingat. Tapi waktu ni ramaikah yang mampu lakukan?

Baiklah, jika tidak mampu kita cuba usahakan belajar selepas subuh atau pada pukul 7.00 pagi.

Sekiranya belajar pada pukul 7.00 pagi dan berakhir pada pukul 1.00 tengah hari maka masa yang diambil adalah selama 6 jam. Suatu tempoh yang agak lama juga. Sebenarnya tidak mengapa belajar dalam tempoh yang lama. Inilah yang terbaik untuk memperolehi dan memberhasilkan ilmu.

Sebenarnya kalau dikira masa itu belum tentu lagi betul-betul belajar selama 6 jam kerana ada masa nak makan, minum, rehat, ke tandas, buang hajat, bersembang, dan sebagainya. Jika dicampur tolak darab bahagi masa yang digunakan tidaklah sampai 6 jam.

Seterusnya berkait dengan waktu belajar pada waktu pagi ialah waktu ini adalah terbaik untuk belajar kerana otak berkeadaan segar, cerdas dan aktif. Manakala fizikal pula berkeadaan bertenaga, cergas dan kuat. Di samping itu emosi diri yang bersemangat, ceria, gembira dan tenang pada waktu pagi. Ini penting untuk mendapatkan fokus dan daya ingatan yang optimum ketika belajar.

Waktu pagi memang masa yang sesuai dan terbaik untuk belajar, membaca, mendengar, menulis, menghafaz dan hal-hal yang berkait dengannya. Waktu ini adalah baik untuk mendapatkan fokus tumpuan yang sepenuhnya dan kalau menghafaz mudah ingat.

Kalau hafaz waktu malam mesti rasa mengantuk. Jadi, lebih baik hafaz waktu pagi. Sebab benda-benda yang menghafaz benda yang berat, yang dirasai otak. Otak akan rasa ada suatu tekanan ketika menghafaz. Jadi, sebab itlulah waktu pagi sesuai untuk menghafaz.

Sebenarnya selain waktu pagi, waktu selepas maghrib dan isyak pun masa yang terbaik juga untuk menghafaz. Masa yang tak sesuai tu seperti tengah hari, lepas asar (sepatutnya waktu riadah) dan ketika rasa mengantuk dan nak tidur sangat. Macam mana nak hafaz kalau rasa mengantuk dan tidur sangat. Sudah tentulah asyik fikir nak tidur saja.

Berkait dengan waktu pagi tadi, sekiranya waktu pagi ini digunakan betul-betul dan bersungguh-sungguh untuk belajar sehingga ke tahap maksimum maka hasilnya nanti pun akan maksimum juga. Insya-Allah. Ini usaha kita untuk memperolehi dan memberhasilkan ilmu.

Oleh itu, jangan buang masa, jangan malas, jangan tidur, jangan berlengah dan jangan putus asa pada waktu pagi. Belajarlah, berusahalah, bekerjalah, bersemangatlah, bersungguh-sungguhlah, beringatlah tentang kebaikan dan keuntungannya.

Seperkara lagi, bila waktu tengah hari otak akan jadi letih, lesu dan susah hendak berfikir. Badan pun sama juga rasa penat. Mata pula rasa nak pejam, rasa mengantuk dan nak tidur. Semangat pun mula menurun, rasa malas melebihi rasa rajin dan mulai menguasai diri. Dalam masa yang sama juga otak berfikir tentang tidur dan nak berehat. Jadi, sekiranya wujud simptom-simptom ini maka usaha-usaha untuk belajar terpaksa dihentikan seketika. Kalau belajar pun belum tentu dapat diterima oleh otak. Lagi pun masa ni memang masa yang sesuai dan terbaik untuk berehat sekejap atau qailullah.

Oleh, itu, sebelum masa beredar dan berlalu ke waktu tengah hari maka belajarlah dengan bersungguh-sungguh pada waktu pagi. Dapatkan sebanyak ilmu. Dapatkan untuk menguasai, memahami, dan mendalami ilmu. Semoga dengan usaha-usaha ini kita menjadi orang yang berjaya, berguna dan beruntung di dunia dan di akhirat.

Isnin, 28 Mei 2012

Tips Hafal Al-Quran


Tips Hafal Al-Quran bagi yang bukan aliran Tahfiz...

Terbaca satu kisah bagaimana hendak menghafal Al-Quran dan dengan cara yang demikian dapat membina hubungan yang intim dengan Allah s.w.t.. Kisah ini berkisar pada seorang hamba Allah bernama Ahmad, seorang pelajar kejuruteraan yang telah menghafal Al-Quran dalam masa pengajiannya sebagai seorang jurutera. Beliau mengikuti dengan tekun teknik yang telah dipelajari dari seorang syeikh dari Algeria, Shyeikh Zakariya al-Siddiqi yang sedang bertugas di Institute of Human Science di Perancis. Syeikh Zakaria telah menjadi hafiz pada umur 9 tahun dan mengorbankan masanya untuk mempelajari dan mengajarkan isi kandungan Al-Quran. Beliau telah menceritakan kisah Ahmad ini (nama samaran).

Tip 1Bangun awal. Ahmad akan bangun lebih awal dari rakan-rakannya. Beliau akan beristiqamah ke masjid pada setiap waktu fajar. Apabila balik ke rumah, beliau tidak menghabiskan masa dengan TV atau internet tetapi akan menghabiskan beberapa minit setiap hari dengan menghafal ayat-ayat Al-Quran.

Tip 2 – Setiap hari cuba menghafal kurang dari apa yang anda rasa anda mampu buat. Ahmad membuat satu azam untuk menghafal keseluruhan Al-Quran. Beliau tidak mengikuti jejak langkah rakan-rakannya yang cuba menghafal satu atau dua muka surat dan akhirnya berhenti kerana tidak mampu. Ahmad akan menumpukan kepada 5 baris sehari. Ini memakan masa 20 – 30 minit sehari.

Tip 3Biasa-biasakan dahulu Untuk membiasakan diri dengan 5 barisan ayat-ayat Al-Quran, beliau akan menulis lima barisan ayat tersebut di atas sekeping kertas. Kemudian beliau akan mengulangi membacanya dan cuba menghafalnya.

Tip 4Simpan ayat-ayat tersebut dekat dengan anda. Ahmad akan mencari masa-masa terluang di sana sini untuk menghafal ayat yang telah ditulis tadi. Kadang-kadang semasa menunggu bas, semasa menunggu pensyarah masuk ke kelas. Kertas yang ditulis akan sentiasa berada di koceknya dan akan dirujuk jika hafalannya tersangkut.

Tip 5Guna apa yang dihafal dalam setiap solat Bagi memantapkan hafalan. Detiap waktu sembahyangnya  beliau akan membaca ayat yang dihafal pada hari tersebut. Dalam setiap rakaat, beliau akan menggilirkan pembacaan 5 barisan yang dihafal pada hari tersebut dan hari sebelumnya.

Tip 6Pastikan Matlamat sentiasa berada di depan anda. Bagi resam Uthmani ada 15 barisan satu muka. Maka pada setiap hujung minggu, Ahmad bukan sahaja telah menghafal 2 muka surat Al-Quran malahan berjaya menulis keseluruhan 2 muka surat

Tip 7Perbaiki tajwid anda Pada hujung minggu. Biasanya Ahmad akan menziarahi guru Quran yang mahir dalam pembacaan. Ahmad akan minta gurunya mendengar bacaan dua muka surat yang telah dihafalnya. Dengan ini beliau menjadi yakin dengan pembacaan dan tajwid hafalannya.

Seperkara lagi - ada satu lagi rahsia kejayaan Ahmad
Rahsia dalaman bagi kejayaan dalam penghafalan, seminggu sekali (biasanya pada hari Jumaat malam sabtu), Ahmad akan bangun malam untuk bertahajjud. Dalam tahajjudnya, beliau akan membaca keseluruhan dua muka surat yang telah dihafalnya.

Pada ketika ini Syeikh menyatakan berkemungkinan salah satu sebab tidak ramai yang bangun malam untuk bertahajjud ialah kerana mereka tidak ada ayat baru untuk dibaca. Kita tahu terlalu sedikit ayat-ayat Al-Quran sehingga tidak ada kenikmatan dalam bangun tahajjud. Kadangkala merasakan sembahyang wajib satu beban bukan satu nikmat.

Natijahnya
Bayangkan kegembiraan dan perasaan Ahmad apabila setelah 3 bulan dapat menghafal 1 juzuk Al-Quran. Apa yang beliau dapat bukan sahaja perasaan kejayaan dan kekuatan yang diperolehi daripada Al-Quran tetapi satu perasaan hubungan dalaman yang cukup hebat dengan Allah s.w.t. dan perasaan ini dirasai setiap hari yang dilaluinya.

Bayangkan betapa bangganya beliau apabila pada hari Penganugerahan Sarjana Mudanya, bukan sahaja Ahmad mendapat Pangkat Pertama dalam bidang kejuruteraan (dapat tempat ketiga dalam kelas) tetapi secara rasminya telah menghafal keseluruhan Al-Quran. Dia menjadi seorang hafiz.

Syeikh Zakariya menyatakan satu pengajaran yang cukup hebat dalam kes Ahmad: Kejayaan terbesar bagi Ahmad bukan kerana beliau telah menghafal keseluruhan Al-Quran tetapi kerana telah terjalin satu hubungan yang amat intim dengan Al-Quran bagi setiap hari hidupnya selama 5 tahun.

Seterusnya hubungannya dengan Allah telah membuat Ahmad seorang yang sungguh istimewa. Keintiman perasaan dengan Pencipta telah menjadikan kehidupannya penuh makna dan membuat dia istiqamah dengan usahanya sedikit demi sedikit agar dapat menghafal keseluruhan Al-Quran.

One can only imagine what happened to Ahmed’s levels of personal fulfilment, Iman and taqwa, as he went back every single day to develop this ritual of ihsan (spiritual excellence). Each day he woke up for Fajr and wrote out another 5 lines of Quran, his self-esteem and self-confidence soared…

“Can the reward for excellence be anything other than excellence?” Surah Rahman (55: 60)

Sumber: Ma'had Tahfiz Al Quran Al Imam AnNawawi (MATIN) dengan sedikit pindaan.

Khamis, 17 Mei 2012

Selamat Hari Guru

Sempena hari guru ni saya nak ucapkan kepada semua guru di seluruh dunia "Selamat Hari Guru".

Rasanya sempat lagi... masih tak lewat lagi nak ucap selamat hari guru.

Tarikh 16 Mei ni rupa-rupanya tarikh hari guru.

Sebelum-sebelum ni saya tak pernah ambil tahu pun tentang bila tarikh hari guru. Tak patut betul la saya ni.

Oleh sebab saya dah kembali semula mengajar budak sekolah rendah di sebuah sekolah agama maka saya rasa saya mesti ingat tarikh sambutan hari guru ini sampai bila-bila... insya-Alllah.

Jangan lupa tarikh ini! Saya mesti ingat tentang tarikh ini. Mulai hari ini saya akan cuba ingatkan tarikh ini... insya-Allah.

Dalam kesempatan ini saya ini ucap terima kasih kepada guru-guru yang telah mengajar saya. Terima Kasih banyak. Terima kasih yang tak terhingga... jasamu akan saya kenang sampai bila-bila.

Saya juga ingin meminta maaf sekiranya saya adalah pelajar yang tidak hormat dan beradab sopan kepada guru, tak beri perhatian ketika belajar, buat sakit hati guru, tak dengar cakap guru, lawan cakap guru dan lain-lain. Saya nak minta maaf.

Sesungguhnya antara orang yang saya respect di dunia ini ialah guru. Sebabnya ialah guru telah mengajar manusia dengan ilmu-ilmu yang berguna.

Gurulah orang yang telah mengajarkan ilmu kepada manusia. Kalau bukan guru siapa lagi. Kalau tiada guru maka ramailah manusia yang jahil di dunia ini.

Sebagaimana saya adalah seorang yang cintakan ilmu maka adalah sepatutnya saya menghromati guru, menjaga adab sopan kepada mereka, berbuat baik dengan mereka, menghargai pengorbanan dan jasa baik mereka, dan sebagainya.

Saya patut berbuat demikian kerana melalui guru saya dapat mengetahui ilmu, belajar sesuatu ilmu, belajar ilmu-ilmu baru dan sebagainya.

Sesungguhnya saya adalah orang yang dahagakan ilmu. Jadi, kepada guru sajalah orang yang boleh mengajarkan ilmu kepada saya. Sememangnya kita kena belajar dengan berguru. Tak boleh belajar sendiri takut nanti belajar dengan syaitan dan terus sesat. Dah la sesat lepas tu sesat lagi menyesatkan. Ini yang tak nak tu.

Jadi, memang benarlah guru itu adalah lilin yang membakar diri, guru adalah sebagai sumber yang menerangi cahaya kepada orang yang mahukan cahaya daripada kegelapan.

Hal ini samalah juga berlaku kepada guru yang teragung sekali di dunia, iaitu Rasulullah s.a.w. yang mengajarkan ilmu-ilmu agama kepada manusia. Seterusnya ilmu itu berkembang dan terus sampai ke hari ini dan ke hari qiamat. Maka cahaya Islam itu terus menyala dan tidak akan padam sampai hari qiamat kerana ilmu itu diwarisi pula oleh ulama-ulama yang ikhlas.

Oleh itu, marilah kita berguru dengan ulama. Belajar ilmu agama supaya tahu dan faham tentang hal-hal yang berkait dengan agama, urusan dunia dan akhirat.

Sesungguhnya apabila menyebut hal ini maka jelaslah bahawa pengorbanan dan perjuangan guru itu sangat besar kepada manusia sejagat.

Terima Kasih Guru dan Selamat Hari Guru.

Rabu, 16 Mei 2012

Dengan Itu Kita Bersabar

Sesekali dalam hati ada perasaan ingin mengeluh.

Apabila ditimpa sesuatu perkara kadang-kadang timbul persoalan di fikiran, “Kenapa berlaku begini? Kenapa berlaku begitu? Kenapa berlaku demikian? Kenapa jadi macam ni? Dan sebagainya.”

Tetapi kalau iman letak berada dalam hati, iman berada di hadapan. Iman diutama dan didahulukan dalam setiap urusan maka persoalan yang timbul itu dapat dilenyapkan dari dalam hati. Dapat dibuang jauh-jauh perasaan negatif, perasaan buruk dan perasaan jahat.

Iman akan berkata, “perkara yang terjadi ini adalah supaya mudah-mudahan kita menjadi orang yang lebih bersabar.”

Maka bersabarlah… maka lenyaplah persaan buruk itu dari hati. Hati pun kembali tenang. Fikiran pun jernih. Sesudah itu dapatlah melaksanakan kerja-kerja dengan baik, betul dan sempurna.

Sesungguhnya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Walaupun kita tidak tahu tentang hikmah tersebut tetapi kita hendaklah sentiasa yakin dan percaya bahawa Allah Maha Mengetahui segala-galanya. Dengan itu kita pun bersabar.

Sabtu, 12 Mei 2012

Membina Kekuatan Diri Dan Umat

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: المؤمن القوي خير وأحب إلى الله من المؤمن الضعيف، وفي كلٍ خيـر، احرص على ما ينفعـك، واستعن بالله ولا تعجز، وإن أصابك شيء، فلا تقل: لو أني فعلت كذا لكان كذا، ولكن قل: ما قدر الله وما شاء فعل، فإن لو تفتح عمل الشيطان
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada orang mukmin yang lemah, pada masing-masing itu ada kekuatan. Bersungguh-sungguhlah terhadap perkara yang memberi manfaat kepada kamu. Mintalah pertolongan daripada Allah dan jangan lemah. Jika sesuatu menimpa kamu maka jangan kamu kata: kalau aku buat begini tentu akan jadi begini. Tetapi ucapkanlah Allah telah menentukan dan Dia telah lakukan apa yang Dia kehendaki, kerana sesungguhnya `kalau’ itu membuka peluang syaitan bertindak." (Hadis riwayat Muslim, Ibn Majah dan Ahmad)

Seorang mukmin yang sejati memiliki keperibadian yang unggul. Dia dapat menghimpunkan dalam dirinya segala sifat-sifat kebaikan. Dia seorang yang berilmu, penyantun, penyabar, kuat, berani, pemurah, menjaga kehormatan diri, sanggup berjuang dan lain-lain lagi.

Hadis ini menegaskan salah satu sifat tersebut iaitu kekuatan. Kekuatan seorang mukmin tergambar dalam pemikiran, keimanan, keazaman, kehendak dan kesihatannya. Dengan memiliki kekuatan seseorang itu akan dapat melaksanakan segala perintah Allah dan menahan dirinya dari melanggar larangan-Nya di samping dia berusaha untuk menghalang sebarang maksiat yang berlaku di hadapannya. Sekiranya dia hanya berdiam diri terhadap kemungkaran di hadapannya tentu sekali keimanannya belum cukup kuat.

عن أبي سعيد قال سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول "من رأى منكم منكرا فليغيره بيده. فإن لم يستطع فبلسانه. ومن لم يستطع فبقلبه. وذلك أضعف الإيمان".
Daripada Abu Sa`id katanya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : "Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dengan lidahnya dan sesiapa yang tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman." (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah s.a.w. mengajar umatnya supaya melengkapkan diri dengan kekuatan dan menyuruh umatnya sentiasa berdoa supaya terhindar dari sifat lemah:
عن أنس بن مالك يقول:
كان رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم يقول: "اللهم إني أعوذ بك من العجز والكسل، والجبن والبخل والهرم، وأعوذ بك من عذاب القبر، وأعوذ بك من فتنة المحيا والممات".
Daripada Anas bahawa Rasulullah s.a.w. selalu berdoa: Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada kelemahan, kemalasan, sifat penakut, kebakhilan, tua yang nyanyuk. Dan aku berlindung dengan daripada azab kubur, dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah kehidupan dan kematian. (Hadis riwayat Abu Daud)

Kekuatan amatlah penting dalam kehidupan setiap individu muslim dan mereka sebagai satu umat. Oleh itu mereka dituntut untuk menyediakan dan mempersiapkan segala bentuk kekuatan untuk mendepani segala cabaran. Allah s.w.t. berfirman:
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya." (al-Anfal: 60)

Jalan yang mesti dilalui untuk menjana kekuatan diri

‘Bersungguh-sungguhlah terhadap perkara yang memberi manfaat kepada kamu’ memberi isyarat betapa perlunya individu muslim mencari sumber kekuatan dirinya. 

Antara sumber kekuatan yang boleh disebutkan di sini ialah:

Pertama, mengikhlaskan niat dalam segala tindak tanduk. Keikhlasan akan memberi kekuatan dan memudahkan kita melaksanakan perintah Allah s.w.t. dan menjauhi segala larangan-Nya.

Kedua, menafikan semua kekuatan selain dari kekuatan Allah. Inilah yang sering dilafazkan oleh seorang mukmin dengan zikirnya: 

لا حول ولا قوة إلا بالله

Ketiga, melengkapkan dengan ilmu terutamanya ilmu al-Qur’an, tafsir, hadis, tauhid dan sirah. Termasuk juga dalam sumber kekuatan ialah ilmu-ilmu yang membantu kita membangunkan sumber insan dan menguruskan kehidupan dunia.

Keempat, melakukan amalan soleh sama ada dalam bentuk ibadat atau memberi khidmat kepada masyarakat, atau menunaikan kewajipan terhadap Allah, diri sendiri dan juga kepada orang lain. Amalan soleh mempunyai makna yang luas merangkumi setiap perkara yang mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t dan mendatangkan keredaan-Nya. walaupun berbudi kepada tanah atau belas kasihan kepada haiwan.

Kelima, tidak merasa lemah dalam menghadapi apa-apa situasi.

Keenam, mencari sumber rezki yang halal supaya tidak bergantung dengan orang lain. Dengan mempunyai pendapatan dan pencarian hidup yang sendiri, seseorang itu dapat menghindarkan diri dari meminta-minta dan meraih simpati daripada orang lain. Semuanya itu bertentangan dengan sifat kekuatan yang dikehendaki oleh hadis ini. Mencari rezki bererti menunaikan hak diri sendiri, ahli keluarga yang kita wajib menyediakan nafkah perbelanjaan untuk mereka. Dengan mempunyai harta kita dapat menunaikan hak-hak kehartaan seperti zakat, sedekah dan memberi pinjaman kepada orang yang memerlukan iaitu al-qardh al-hasan. Selain itu, kita dapat meneyelamatkan diri kita dari harta yang tidak halal kerana itu akan menjejaskan hubungan kita dengan Allah yang maha kuat dan perkasa, tempat kembali segala kekuatan dan tidak kekuatan yang sebenarnya melainkan kekuatan-Nya.

Hadis ini memberi pengajaran bagaimana merawat penyakit-penyakit jiwa bagi menghalang ketidaktepatan, keraguan dan kerisauan. Apabila kita tersasar dari mencapai matlamat yang telah dirancangkan, tidak sepatutnya kita menyesal kerana apa yang kita usahakan itu tetap dikira sebagai usaha kita. Kegagalan seharusnya dibaiki dengan perancangan yang lebih teliti dan efektif, bukan dengan cara mengandai-andaikan apa yang telah berlalu.

Kesimpulannya, hadis ini memberi dorongan kepada kita menghimpunkan antara kekuatan rohani, fizikal, jiwa dan emosi kemudian mengaitkan kesemua perkara ini dengan keimanan kepada Allah s.w.t. dan menyerahkan kepada qadha’ dan qadar.

Kerjasama mestilah diwujudkan dalam masyarakat Islam. Orang mukmin yang kuat perlu mengerakkan saudara mereka yang lemah supaya sama-sama berganding bahu membina dan memperkasakan kekuatan umat.

(Syarah hadis disediakan oleh Ust Muhammad Hanief Awang Yahya untuk www.darulkautsar.net )


Orang Berilmu Sentiasa Istiqamah, Ikhlas Dan Berani, Ketegasan Mereka Didorong Oleh Kesungguhan Untuk Mempertahankan Prinsip Kebenaran.

Oleh : Ridzuan Awang

Orang yang berilmu mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi Tuhan dan masyarakat. Al-Quran menggelarkan golongan ini dengan pelbagai gelaran mulia dan terhormat yang menggambarkan kemuliaan dan ketinggian kedudukan mereka di sisi Allah SWT dan makhluk-Nya.

Mereka digelar sebagai "al-Raasikhun fil Ilm" (Al Imran : 7), "Ulul al-Ilmi" (Al Imran : 18), "Ulul al-Bab" (Al Imran : 190), "al-Basir" dan "as-Sami’ " (Hud : 24), "al-A’limun" (al-A’nkabut : 43), "al-Ulama" (Fatir : 28), "al-Ahya’ " (Fatir : 35) dan berbagai nama baik dan gelaran mulia lain.

Gelaran ini digandingkan Allah SWT dengan ayat-ayat yang membicarakan dasar-dasar akidah tauhid dengan antaranya menghubungkan kitab suci al-Quran dan fenomena alam sebagai "wasilah" atau "ayat" bagi mengenal dan mengakui-Nya.

Ia sekaligus menunjukkan bahawa daya usaha untuk memperoleh ilmu melalui pelbagai saluran dan pancaindera yang dikurniakan Allah SWT membimbing seseorang ke arah mengenal dan mengakui ketauhidan Rabbul Jalil.

Ini memberi satu isyarat dan petunjuk yang penting bahawa ilmu mempunyai hubungkait yang amat erat dengan dasar akidah tauhid. Orang yang memiliki ilmu, tidak terhad kepada ilmu pengajian Islam semata-mata - sepatutnya mengenal dan mengakui keesaan Allah SWT dan keagungan-Nya.

Hasilnya, orang yang berilmu akan gerun, tunduk, kerdil dan hina berhadapan dengan kekuasaan dan keagungan Allah SWT . Ibn Mas’ud pernah berkata "bukanlah dinamakan berilmu dengan hanya banyaknya (meriwayatkan) hadis, tetapi berilmu yang sebenar ialah (melahirkan) banyaknya perasaan gerun (kepada keagungan Allah).

Akidah murni mereka begitu jelas terserlah melalui bidang penyelidikan dan pengamalan kepakaran masing-masing. Mereka tunduk dan beriman kepada kekuasaan Allah SWT. Ini sekali lagi membuktikan bahawa perkara akidah dan roh fitrah Islam merentasi semua aspek kehidupan manusia khususnya para ilmuan dan cendekiawan yang terlibat secara langsung dalam kajian dan penyelidikan alam "kauniyyah" dan manusia.

Dalam surah ali Imran ayat ke-18, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".

Ketika menafsirkan ayat ini, Ibn Kathir membuat suatu rumusan yang menarik bahawa apabila Allah SWT menggandingkan "diri-Nya" dengan para malaikat dan orang yang berilmu tentang penyaksian "keesaan Allah SWT dan kemutlakan-Nya sebagai Tuhan yang layak disembah", ia adalah suatu penghormatan agung secara khusus daripada-Nya kepada orang-orang yang berilmu yang sentiasa bergerak di atas paksi kebenaran dan menjunjung tinggi prinsip ini serta berpegang teguh dengannya dalam semua keadaan dan suasana.

Rakaman penghormatan ini kekal sebagaimana kekalnya kitab wahyu ini sebagai peringatan kepada golongan berilmu bahawa mereka amat istimewa di sisi Allah SWT . Mereka diangkat sebaris dengan para malaikat yang menjadi saksi Keesaan Allah SWT. Mereka memikul amanah Allah SWT kerana mereka adalah pewaris para nabi.

Oleh yang demikian mereka perlu memiliki dan beramal dengan sifat-sifat yang jelas melalui perkataan yang dituturkan, tindakan yang diambil, perbuatan yang dilakukan, sikap yang ditunjukkan, dan seruan yang dibuat. Sifat dan sikap yang tidak selari dengan kemuliaan dan ketinggian kedudukan mereka boleh mencacatkan kewibawaan dan penghormatan masyarakat umum.

Sifat ikhlas, berani, dan tegas serta sentiasa istiqamah harus sebati dengan orang yang berilmu. Orang yang berilmu tidak sangat mengharapkan ganjaran, sanjungan, dan pujian manusia. Keikhlasan mereka adalah hasil daripada ramuan kecintaan dan keyakinan kepada prinsip kebenaran yang menjadi tonggak pegangan mereka.

Orang yang berilmu amat menjunjung tinggi prinsip kebenaran. Mereka tidak menafikan kebenaran dari pihak lain dan tidak pula membolot kebenaran untuknya secara mutlak. Kebenaran yang menjadi pegangan mereka bukan diukur daripada keluarnya perkataan atau perakuan hanya daripada mulut atau kelompok mereka sahaja. Bahkan kebenaran itu boleh juga datang daripada orang lain. Berlapang dada dan merendah diri adalah akhlak murni orang yang berilmu.

Kebenaran yang sejati adalah apabila datangnya daripada nas al-Quran al-Karim dan as-Sunnah an-Nabawiyyah. Keikhlasan Imam Malik mendorongnya menegah Khalifah al-Mahdi dan al-Rashid daripada mengangkat kitab karangannya al-Muwatta’ sebagai undang-undang dasar kerajaan. Imam al-Syafei pernah menyatakan bahawa :"Sesiapa yang mendapati hadis Rasulullah s.a.w. (yang sahih) yang bercanggah dengan pendapatku, maka menjadi kewajipannya untuk mengikuti nas hadis sahih tersebut dan meninggalkan pendapatku".

Keberanian orang yang berilmu adalah hasil kegerunan dan keyakinan teguh kepada kekuatan dan kekuasaan Tuhan Rabbul Jalil. Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun."- Surah Fatir : ayat 28

Mereka percaya penguasa kuat, tetapi mereka lebih yakin bahawa Allah Maha Berkuasa atas sekelian makhluk-Nya. Kehinaan di sisi manusia kerana mempertahankan prinsip kebenaran dipandang lebih baik dan mulia daripada kehinaan di sisi Allah SWT kerana mengenepi kebenaran dek kerana untuk menarik perhatian atau mendampingi manusia. Orang yang berilmu boleh hilang kehormatan diri di sisi masyarakat umum jika tidak bersikap sedemikian.

Ketegasan orang yang berilmu pula adalah didorong oleh kesungguhan untuk mempertahankan prinsip kebenaran yang diamanahkan oleh Allah SWT. Mereka amat yakin bahawa menyatakan kebenaran dan perkara hak adalah amanah Allah SWT sekalipun mereka mengetahui risikonya amat besar.

Sebaliknya menyembunyikan kebenaran dan hak adalah suatu "jenayah" berat di sisi Allah SWT yang boleh memusnahkan kewibawaan dan kemuliaan dirinya. Orang yang berilmu amat yakin dengan pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesiapa yang disoal tentang sesuatu ilmu, lalu ia menyembunyikannya ia akan dikekang mulutnya pada hari kiamat dengan kekangan dari api neraka"

(Hadis Riwayat Tirmizi)


FAKTA

Tokoh Islam Dalam Pelbagai Bidang

- Sains - Abu Abdullah al-Battani :((858 – 929 M); Abd-al Rahman Al-Sufi : (903 - 986 M), Abu Al-Kasim Al-Zahravi : (936 – 1013 M), Abu Ishaq Ibrahim Ibn Yahya Al-Zarqali : (1028 - 1087 M )

- Kimia - Abu Musa Jabir Ibn Hayyan : (750-803 M), Abbas Ibn Firnas : meninggal (888 M)

- Perubatan - Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdallah Ibn Sina : (981 – 1037 M), Abu Marwan Ibn Zuhr : (1091- 1161 M)

- Pelayaran - Abu 'abd Allah Muhammad Ibn 'abd Allah Al-lawati At-tanji Ibn Battutah : (1304 – 1368 M)

- Astronomi dan matematik (Muhammad Ibn Musa Al-Khawarizmi : (780 – 850 M), Abu Jafar Muhammad ibn al-Hasan Khazin : (lahir 900 M )

- Optik - Abu Ali Hasan Al Haitham :(Lahir 965 M. )

-Sains politik - Abu Al-Hasan Ali Ibn Muhammad Ibn Habib Al-Mawardi : (Lahir 972 – 1058M)

-Muzik - Abu Bakr Muhammad Ibn Yahya al-Saigh Ibn Bajjah (Lahir 1082 M)

( Sumber : Berita Minggu 12 Feb 2006 dengan sedikit pindaan )

Pendakwah Yang Islam Impikan

Oleh: Dr. Ahmad Shahin

Pendakwah yang dikehendaki Islam adalah seorang yang memiliki sifat yang unggul. Contoh teladannya ialah Rasulullah saw dan para sahabat yang mana Allah telah kurniakan kemenangan kepada Islam dan kemuliaan kepada agama melalui mereka. Mereka telah berusaha untuk meneguhkan Islam di muka bumi dengan segala cara yang ada. Oleh itu, mereka telah memberikan saham yang besar untuk menghidupkan umat, membangunkan masyarakat, dan mengukuhkan negara.

- Pendakwah mempunyai iman mendalam yang mampu menggegarkan gunung yang kukuh dan tidak akan berasa lemah imannya dalam menjalankan dakwah, kerana cinta kepada dakwah telah menguasai hatinya dan tiada lagi ruang di dalam hatinya selain dakwah. Beliau tidak akan hidup dengan yang lain, sedangkan dakwah tetap kekal walaupun tanpa dirinya.
 
Sheikh Bahiy al-Kholi pernah berkata yang menggambarkan kesibukan pendakwah kerana cintanya kepada dakwah dan penguasaan dakwah ke atas seluruh dirinya: “Pendakwah adalah seorang yang memiliki kepercayaan yang kuat yang sentiasa menjadikan dakwah menduduki fikiran anda pada setiap masa, yang sentiasa mengingati dakwah dalam tidur dan jaga anda, semasa makan dan ketika bersama keluarga anda, ketika duduk diam dan dalam perjalanan anda. Malah, semua majlis yang disertai orang, maka anda gunakan untuk dakwah. Pada ketika berkeadaan damai atau permusuhan anda menggunakannya untuk dakwah.Juga ketika anda gembira atau sedih tetap ada ruang untuk dakwah.  Pada keseluruhannya dakwah menjadi permasalahan pertama yang hadir dalam kehidupan anda sepanjang masa, dari hal-hak pokok dan juga hal-hal sampingan dalam penghidupan anda. Oleh itu, janganlah anda berfikir bahawa dakwah ini memerlukan masa yang banyak kepada anda. Anda adalah pendakwah dan anda bukan sasaran dakwah (mad’u) kerana kedua-dua antara pendakwah dan mad’u terdapat perbezaan yang besar.” Tazkirah ad-Duat oleh Sheikh Bahiy al-Kholi, ms 31

- Pendakwah  yang memberi perhatian kepada dakwah pada waktu malam dan siangnya, menghabiskan seluruh masanya untuk dakwah, mengerahkan segenap tenaga dan kemampuannya untuk itu, bergaul dengan masyarakat, memberi kesan kepada mereka dan sanggup menjadikan dirinya berpenat lelah demi kerehatan orang lain. “Dakwahnya hidup pada seluruh urat saraf beliau, bercahaya dalam hati nuraninya, mengalir dalam darahnya. Beliau segera meninggalkan waktu rehat dan bersantai untuk bergerak dan bertindak, mementingkan dakwah mengatasi diri, anak-anak dan hartanya. Inilah pendakwah yang  benar yang merasai keimanan kepada dakwahnya dalam persepsi, pergerakan dan petanda, dan di dalam kejernihan yang tergambar pada air mukanya. Justeru, beliau seorang pendakwah yang menyebabkan kata-katanya dapat melunakkan hati orang ramai hingga menggerakkan emosi mereka kepada apa yang dihendaki dari dakwahnya itu.” Tazkirah ad-Duat ms 29

- Pendakwah yang teguh di atas prinsip dan dakwahnya hingga akhir kehidupannya, ia merendah diri kepada sasaran dakwahnya (mad’u), ia melemparkan senyuman kepada orang ramai dan ia tidak meninggi diri, ia menepati janji-janjinya dengan orang dan tidak akan menipu daya seperti serigala. Pendakwah sentiasa mencari keredhaan Tuhannya dan tidak mengharapkan dunia dengan amalan akhiratnya. Dia hidup untuk dakwahnya, berjuang untuk itu dan mati pada jalannya, tanpa pernah menukar atau mengubahnya, atau berhenti dari meneruskan perjalanan dakwahnya yang panjang. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” (Al-Ahzab: 23).

. - Pendakwah yang percaya kepada ajal dan rezkinya di tangan Tuhan, maka ia tidak akan berubah menurut perkembangan semasa, demi sesuap nasi untuk hidup dan tidak akan makan apa jua yang di hidangkan di atas setiap meja demi untuk hidup, bahkan kematian yang mulia lebih dicintai daripada kehidupan yang memalukan.
  
Slogannya ialah seperti ungkapan penyair:

“Sama ada sebuah kehidupan yang sentiasa jujur dan sama ada kematian yang  menjengkelkan musuh.”

- Pendakwah contoh yang melaksanakan usaha dakwahnya di dalam gerak dan diamnya, rahsia dan terangnya, malam dan siangnya, di dalam perjalanan dan menetapnya, dalam senyap dan kata-katanya (yang hanya bercakap tentang rahsia-rahsia dakwah dalam ucapan dan ungkapannya, tidak pernah mengutamakan kepada kebatilan, bahkan menyediakan mereka untuk menerima kebenaran yang akan menyatukan akal dan fitrah). Tazkirah ad-Duat ms 29

- Pendakwah yang mempelajari fiqh dakwah, tahu bagaimana untuk menyeru orang dan memberi kesan kepada mereka dan meningkatkan diri sehingga ke tahap tertinggi dalam usaha pembaikan: “Pendakwah ialah orang yang berusaha untuk masuk ke dalam perasaan orang ramai dengan hikmah dan kebijaksanaan hingga menggerakkan kesedaran dan membangkitkan emosi mereka kepada Allah. Jika anda datang dengan usaha kepada pembaikan itu dan anda ingin melunakkan jiwa mereka dengan kata-kata pembaikan supaya menjadikan mereka seperti yang dikehendaki dalam pembaikan, maka terangkanlah kepada mereka tentang tujuannya dan membangkitkan harapan di dalam hati mereka kepada pembaikan yang mereka sukai.” Tazkirah ad-Duat ms 34

Apa yang diperlukan bukanlah penyediaan pendakwah sahaja tetapi yang dikehendaki oleh Islam ialah pendakwah yang memiliki kefahaman, yang memahami Islam dari segi akidah, syariat, akhlak dan budipekerti, yang mengetahui realiti hidup semasa dengan segala pemasalahannya, menyediakan untuk setiap masalah dengan jalan penyelesaian Islam yang bersesuaian berdasarkan sumber-sumber undang-undang Islam. Masalah yang dikenali oleh masyarakat sebagai arus pemikiran bercampur-baur, yang diimport dari Barat untuk melemahkan kekuatan Islam, yang mempengaruhi ke dalam minda anak-anaknya dengan menimbulkan keraguan, memprovokasi perselisihan yang menutup pintu-pintu penyatuan dan mengambalikan manusia kepada suasana seperti mana ia datang.

Beliau adalah pendakwah (yang mampu menyampaikan dan memberi kesan melalui dakwah dan fikrahnya kepada setiap orang biarpun berbeza kecenderungan, sifat semula jadi dan peringkat mereka, dan biarpun penguasaan ruang massa yang sangat luas dan penguasaan secara intelektual dan fizikal). Penguasaan dalam kehidupan dakwah dan pendakwah. Fathi Yakan, ms. 9

- Kita mahukan pendakwah yang mencapai semua sifat (muwasofat) pendakwah. Sheikh Bahiy al-Kholi telah merumuskan sifat pendakwah yang diingini iaitu: “Pendakwah adalah seorang yang  beriman dengan fikrah yang menyeru kepadanya melalui tulisan, syarahan dan percakapan biasa, seorang yang bekerja keras dalam perjalanan hidupnya yang khusus dan umum dan berusaha sedaya upaya yang boleh melalui pelbagai wasilah dakwah. Oleh itu, beliau adalah seorang penulis, penceramah dan juru bicara utama, serta seorang yang memberi kesan kepada orang melalui perbuatan dan keperibadiannya. Pendakwah juga seorang doktor sosial yang merawat penyakit-penyakit jiwa dan memperbaiki situasi masyarakat yang rosak. Oleh itu, beliau adalah seorang yang celik dan kritikal, di mana hidupnya sentiasa bekerja untuk memperbaiki dan mengubah masyarakat kepada apa yang dikehendaki Allah .. Pendakwah menjadi sahabat, teman dan saudara kepada yang kaya dan miskin, yang besar dan kecil.

Melalui sifat-sifat ini akan menyerapkan kasih sayang ke dalam hatinya, mengalirkan belas kasihan dalam kedua matanya dan melahirkan persamaan dalam lidah dan tangannya. Hal ini sangat diperlukan bagi seorang pendakwah, yang merupakan salah satu dari hadiah roh, bukan dari sifat retorik dan kebolehan lidah.

Pendakwah ... mesti mempunyai pengaruh psikologi, penguasaan rohani, perhubungan dengan Allah dan menggunakan akal untuk menilai apa yang berlaku daripada pengalaman sejarah dan keadaan manusia.” Tazkirah ad-Duat ms 5

Dakwah Islam di zaman kita jika mempunyai pendakwah yang jujur yang mengambil langkah-langkah dalam penyampaian dan sebab-sebab hidayah dalam menyeru manusia, akan ditetapkan kejayaan bagi dakwah dan pendakwah menjadi kuat, mewah dengan pemberian dakwah dan kaya dengan kesannya. Tugas pendakwah adalah memberi petunjuk kepada manusia ke jalan Allah, membawa mereka lebih dekat denganNya dan menggalakkan mereka dengan apa yang ada di sisiNya. Allah berfirman bermaksud:

"Dan di antara orang-orang yang Kami ciptakan itu, ada satu umat yang memberi petunjuk dengan kebenaran, dan dengannya mereka menjalankan keadilan.”  (Al-A’raf: 181),

“Dan di antara kaum Nabi Musa, ada satu golongan yang memberi petunjuk (kepada orang ramai) dengan perkara-perkara yang hak, dan dengannya mereka menjalankan keadilan.” (Al-A’raf: 159)

Sifat-sifat di atas adalah sifat-sifat pendakwah yang benar, yang telah dipilih oleh Allah untuk menjalankan dakwah, menyampaikan risalahNya dan memimpin orang ramai kepada Tuhan. Pendakwah adalah seorang yang hidup untuk menyebarkan fikrahnya dan merasai penderitaan di jalan memenangkan dakwahnya, dirinya berpenat lelah demi keselesaan orang lain, dan sanggup mengorbankan dirinya demi dakwah dan pengikutnya. Pendakwah seperti ini adalah pendakwah rabbani yang telah dinyatakan di dalam Al-Quran di dalam ayat (bermaksud): 

“(Nabi-nabi yang telah lalu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintahNya, dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalasa mereka.” (Al-Ahzab: 39)

Alangkah perlunya umat kepada pendakwah seperti ini untuk menyebarkan dakwah di dalam masyarakat Islam dan bangsa lain, dan untuk memimpin umat kepada kemuliaan dan kedaulatan, kemenangan dan kekuasaan, dan mereka menjadi kumpulan pembaharuan yang diimpikan. Allah SWT berfirman (bermaksud):

“Dan yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah melakukannya.” (Ibrahim: 20)

Kita memohon agar Allah menjadikan kita termasuk daripada mereka.

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!