Halaman

Jumaat, 11 Mei 2012

Dengar Dan Terimalah Tazkirah Kerana Ada Kebaikannya

Tazkirah ialah peringatan. Peringatan sentiasa berkait rapat dengan kehidupan kita. Kita mesti diberi peringatan dan mendengar peringatan. Sebabnya ialah kita sering lupa. Kita ada penyakit lupa. Justeru, ubat untuk menyembuhkan penyakit lupa ialah dengan peringatan. Kita perlu sentiasa diingatkan supaya tidak lupa dan mengulangi kesilapan yang sama. Inilah manfaatnya kepada kita.

Betapa beruntungnya kita apabila kita lupa kita diingatkan oleh orang lain tentang perkara-perkara yang penting maka kita tidak akan lupa terhadapnya. Boleh jadi perkara-perkara penting itu ialah perkara yang mesti diingati, dilakukan, dilaksanakan, ditunaikan, dikerjakan, disegerakan, dijauhi, dielakkan dan sebagainya. Dengan peringatan itu maka perkara-perkara penting tersebut tidak diabaikan, dilupai, dibiarkan, ditinggalkan dan dikesampingkan malah kita akan lebih memberi perhatian, bertanggungjawab, cakna, fokus, peka dan berdisiplin.

Sebenarnya kita dituntut dan digalakkan mendengar tazkirah. Sekiranya kita bersikap lebih serius terhadap tazkirah maka pasti kita akan merasakan tazkirah adalah perkara yang disuruh oleh agama. Dengan kesedaran sedimikian maka kita akan beranggapan bahawa tazkirah adalah sangat penting bagi kehidupan kita di dunia dan di akhirat. Beginilah sikap orang yang beriman terhadap kepentingan tazkirah bagi diri dan kehidupannya.

Sesungguhnya tazkirah memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman. Hal ini adalah seperti yang dijelaskan dalam firman Allah s.w.t.:
وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَى تَنفَعُ الْمُؤْمِنِينَ (٥٥)
Maksudnya: Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.
(Adz-Dzaariyaat: 55)

Manfaat tazkirah adalah seperti dapat menambahkan ilmu pengetahuan, kesedaran, keinsafan, mengingati perkara yang terlupa dan meningkatkan keimanan kepada Allah. Kebiasaannya  pengisian tazkirah ada menyebut ayat-ayat al-Quran dan hadis, menyebut nama-nama Allah, menyentuh hal-hal yang berkait dengan urusan-urusan penting bagi kehidupan duniawi dan ukhrawi, menyentuh hal-hal yang berkait dengan mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menginfakkan harta ke jalan Allah, berjihad di jalan Allah, tuntutan mencari ilmu, bekerja dan mencari harta yang halal, bekerja keras dan berusaha dengan bersungguh-sungguh, menjauhi perkara yang haram, menjauhi perkara maksiat, dosa dan keji, mengingati kematian, hari kiamat, hari akhirat, syurga dan neraka, dan lain-lain.

Kesemua peringatan yang disebutkan itu dapat meningkat iman. Inilah kebaikannya untuk kita. Kita mesti meningkatkan iman pada setiap masa. Iman mesti diperbaharui. Ini mesti kita ingat kerana iman itu ada masanya naik dan ada masanya turun. Oleh itu, sekiranya kita ingin meningkatkan iman maka kita mesti mendengar tazkirah.

Firman Allah s.w.t.:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آياتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ(٢) الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ (٣) أُوْلَئِكَ هُمْ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا لَهُمْ دَرَجَاتٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ وَمَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ (٤)
Maksudnnya: 2. Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.

3. (iaitu) orang-orang yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

4. Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh beberapa derajat ketinggian di sisi Tuhannya dan ampunan serta rezeki (nikmat) yang mulia.
(Al-Anfal: 2-4)

Saya kira cukuplah sekadar ini dahulu tulisan pada kali ini. Mudah-mudahan tulisan ini bermanfaat kepada kita semua supaya sukakan kepada mendengar dan menerima tazkirah. Dengar dan terimalah tazkirah dengan hati yang terbuka dan berlapang dada. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang beriman. Seterusnya dengan mendengar dan menerima tazkirah dapat menambahkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t..

Wallahu ‘alam.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!