Halaman

Memaparkan catatan dengan label Taubat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Taubat. Papar semua catatan

Isnin, 20 Februari 2012

Suatu Hari Nanti Mulut Ditutup

Firman Allah s.w.t.:

الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ (٦٥)
Maksudnya: Pada waktu itu Kami tutup mulut mereka; tangan mereka akan berkata kepada Kami dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.
(Yasin: 65)

Firman Allah s.w.t.:

وَمَا كُنْتُمْ تَسْتَتِرُونَ أَنْ يَشْهَدَ عَلَيْكُمْ سَمْعُكُمْ وَلاَ أَبْصَارُكُمْ وَلاَ جُلُودُكُمْ وَلَكِنْ ظَنَنْتُمْ أَنَّ اللَّهَ لاَ يَعْلَمُ كَثِيرًا مِمَّا تَعْمَلُونَ (٢٢)
Maksudnya: Dan Kamu sekali-sekali tidak dapat bersembunyi dari kesaksian pendengaran, penglihatan dan kulitmu terhadapmu bahkan kamu mengira bahawa Allah tidak mengetahui kebanyakan dari apa yang kamu kerjakan.
(Fussilat: 22)

Marilah kita mengambil iktibar dan pengajaran daripada ayat-ayay ini bahawa ketika hari kiamat nanti mulut ditutup manakala tangan dan kaki boleh bercakap. Begitu juga pendengaran, penglihatan dan kulit menjadi saksi di hadapan Allah.

Ini bermakna bahawa seluruh anggota kita merakamkan segala perbuatan kita di dunia. Sekiranya diri ini benar-benar sedar dan ingat tentang ayat ini maka jika mahu melakukan maksiat pasti akan berasa malu dan takut kepada Allah. Oleh itu, diri ini mesti sentiasa ingat dan sedar untuk menjadi hamba Allah yang taat dan sabar melakukan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.

Mesti ingat dan sedar bahawa perbuatan jahat itu perkara yang boleh mengaibkan diri lebih-lebih lagi ketika di akhirat. Wal’iyazubillah, minta dijauhkan agar tidak mendapat malu besar di akhirat nanti.

Ya Allah, kami mengharapkan keampunan-Mu. Tutuplah keaiban kami di akhirat kelak, sebagaimana Engkau telah menutupnya di dunia. Engkaulah Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Menutup keaiban.

 Rabbani Feat Mawi - Saksi

Isnin, 23 Januari 2012

Bila Mahu Mengenal Tuhan?

Jawapannya sekarang.

Nak tunggu bila lagi? Nak tunggu bila umur dah tua. Masa tu dah tak larat nak bergerak, berjalan, melihat, mendengar, bercakap dan lain-lain. Serba-serbi dah tak larat. Tak mampu. Belum pasti lagi masa tu akal masih waras. Entah nyanyuk entah tidak. Kalau akal dah tak waras, dah nyanyuk bagaimana nak ingat? Kalau benarlah seperti demikian bagiamana nak kenal Tuhan? Bagaimana nak beribadah kepada Tuhan? Bagaimana nak mendekatkan diri kepada Tuhan?

Kalau ketika tua pun dah tak larat nak kenal Tuhan apatah lagi nak kenal Tuhan bila roh hendak dicabutkan dari jasad. Apabila roh sudah sampai di kerongkong baru nak kenal Tuhan, sedar, insaf dan bertaubat. Masa tu dah tak sempat. Dah terlambat. Pintu taubat dah tertutup. Fikir-fikirkanlah.

Oleh hal yang demikian, sekarang adalah masa untuk mengenal Tuhan. Jangan berlengah, bertangguh dan bernanti. Apabila ajal sudah menjemput baru nak menyesal. Penyesalan pada masa itu tiada gunanya lagi. Sedarlah bahawa manusia tidak mengetahui tentang waktu ajal akan tiba. Tak semestinya manusia itu akan mati bila usia sudah tua kerana ada yang mati ketika dalam rahim ibu, ketika kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua. Kita tidak tahu. Allah sahaja yang tahu kerana Allah Yang Maha Mengetahui.

Fikir-fikirkan dan renung-renungkanlah. Berapa banyakkah amal ibadah kita sekarang? Berapa banyak kalikah kita bersyukur dan mengingati Allah? Kalau masih sedikit kenapa tidak mahu mengenal Tuhan sekarang?

Fikir-fikirkan dan renung-renungkanlah. Sekarang adalah masa untuk mengenal Tuhan. Selagi diberi kemampuan, masa yang lapang, masa muda, kesihatan dan kehidupan maka berusahalah untuk mengenal Tuhan. Setelah mengenal Allah dan beriman dengan-Nya maka teruskanlah beristiqamah dengan beramal soleh, dan melakukan perintah-Nya dan menjauhi serta meninggalkan larangan-Nya. Hal ini sebagaimana yang terdapat dalam hadis Nabi s.a.w. yang sepatutnya direnungi, difahami dan dihayati:

عَنْ أَبِيْ عَمْرٍو وَقِيْلَ أِبِيْ عَمْرَةَ سُفْيَانَ بْنِ عَبْدِ اللهِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قُلْتُ يَا رَسُولُ اللهِ! قُلْ لِيْ فِيْ الإِسْلاَمِ قَوْلاً لاَ أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا غَيْرَكَ، قَالَ: قُلْ آمَنْتُ بِاللهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ. (رواه مسلم)
Maksudnya: Dari Abu Amr, ada juga yang mengatakan dari Abu ‘Amrah Sufyan bin Abdullah radhiallahu‘anhu katanya: Aku berkata, wahai Rasulullah! Katakan kepada aku tentang Islam satu perkataan yang tidak akan aku tanyakan lagi kepada seorang pun selainmu. Baginda bersabda: Katakanlah, aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah engkau beristiqamah. (Riwayat Muslim)

Sekian, Wallahu’alam.

Rabu, 14 Disember 2011

Jangan Bersedih, Perbanyakkanlah Istighfar, Sesungguhnya Tuhan Kamu Maha Pengampun!


Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam surah Nuh, ayat 10 hingga 12:

Maka, aku katakan kepada mereka: "Mohon ampunlah kepada Rabbmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat. Dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan pula di dalamnya untukmu sungai-sungai."

Perbanyaklah membaca istighfar agar anda dapat menemukan jalan keluar, memperolehi ketenangan batin, rezeki yang halal, zuriat yang soleh, dan hujan yang deras.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman di dalam surah hud, ayat 3:

Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Rabbmu dan bertaubat kepada-Nya. (Jika kamu mengerjakan yang demikian), nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus-menerus) kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberi kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamaannya...

Dalam sebuah hadits disebutkan:

"Barangsiapa memperbanyakkan istighfar, nescaya Allah akan menjadikan baginya kelapangan untuk setiap kesempitan dan jalan keluar untuk setiap kesulitan."

Anda harus banyak membaca sayyidul istighfar, sebagaimana termuat dalam hadits Shahih Bukhari:

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّ لا إِلَهَ إِلا أَنْتَ خَلَقْتَنِى وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدَكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُبِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ بِذَنْبِي فَاغْفِرْلِي، فَإِنَّهُ لَايَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلا أَنْتَ.
"Ya Allah, Engkau adalah Rabb-ku, tidak ada Ilah selain Engkau. Engkau ciptakan aku, dan aku adalah hamba-Mu. Aku akan menjalankan semua janjiku untuk-Mu dengan segala kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan yang aku lakukan. Aku kembali kepada-Mu dengan segala nikmat-Mu atasku dan aku mengakui dosa-dosaku, maka ampunilah aku karena tidak ada yang memberi ampunan terhadap dosa-dosa kecuali Engkau."


Sumber rujukan: La Tahzan – Jangan Bersedih, Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni.

Selasa, 13 Disember 2011

Kemestian Menutup Segala Punca Kejahatan


Perkara-perkara yang berkait dengan kejahatan adalah seperti kemungkaran, maksiat, perkara keji, fahsya’ dan perbuatan yang mendatangkan dosa. Kejahatan perlu diatasi dengan pencegahan. Kalau kita berdiam diri, tidak berbuat apa-apa maka ini sangat berbahaya kepada agama, masyarakat dan negara.

Sehubungan dengan itu, mencegah kemungkaran adalah usaha yang baik dan penting dalam dakwah Islamiyyah supaya manusia sedar bahawa melakukan kemungkaran mendatangkan pelbagai kesan buruk. Tiada seorang manusia pun yang hidup di dunia ini sukakan perkara buruk melainkan perkara yang baik. Nah, oleh itu perkara yang terbaik ialah sokong dan mencegah kemungkaran!

Menutup segala punca kejahatan ialah menutup tempat-tempat maksiat yang merupakan tempat berlakunya kerosakan moral, akhlak, sosial, maruah, jiwa, harta dan agama. Sesiapa yang mengikut hawa nafsu pasti akan ke tempat ini. Sememangnya nafsu suka berbuat maksiat.

Melakukan maksiat adalah salah di sisi Islam. Allah s.w.t. melarang kita melakukan maksiat. Orang yang melakukan maksiat beerti dia telah mengabaikan tujuan hidupnya di dunia ini. Tujuan hidup kita di dunia adalah seperti menjadi khalifah Allah s.w.t., mengabdikan diri kepada-Nya, melaksanakan amanah-Nya dan memakmurkan bumi berlandaskan syariat-Nya.

Adakah melakukan perbuatan maksiat adalah sama dengan tujuan hidup yang disebutkan di atas? Sudah pasti tidak. Sama sekali tidak. Contohnya, memakmurkan bumi. Bagaimana memakmurkan bumi seperti yang yang dikehendaki oleh Allah? Caranya ialah kita mestilah memakmurkan bumi dengan berlandaskan syariat Islam bukannya dengan melakukan maksiat.

Melakukan maksiat boleh diibaratkan seperti melakukan kerosakan di atas muka bumi. Firman Allah s.w.t:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (٤١)
Maksudnya: Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).
(Ar-Ruum: 41)

Kesan buruk yang berlaku pada hari ini adalah hasil perbuatan tangan-tangan manusia yang melakukan kerosakan di muka bumi. Kesan buruk ini bukan sahaja menimpa kepada pelaku maksiat sahaja bahkan boleh sahaja menimpa seluruh manusia termasuk mereka yang taat kepada agama.

Akibat buruk atau balasan azab Allah pernah berlaku kepada umat-umat yang terdahulu seperti umat Nabi Nuh yang mensyirikkan Allah dilandakan banjir besar, umat Nabi Hud iaitu kaum ‘Ad yang mensyirikkan Allah dan tidak bersyukur kepada nikmat-Nya diturunkan angin puting beliung yang memusnahkan kampung dan harta benda mereka, umat Nabi Saleh iaitu kaum Thamud yang mensyirikkan Allah dan membunuh unta Nabi Saleh diturunkan halilintar yang kuat dan gempa bumi yang dahsyat, umat Nabi Lut yang mengamalkan homoseks diterbalikkan bumi, umat nabi Syu’aib iaitu kaum Madyan yang mensyirikkan Allah dan menipu timbangan dalam urusan jual beli diturunkan percikan api dari awan hitam, petir serta guruh yang dahsyat dan goncangan bumi yang kuat, dan lain-lain.

Begitulah keadaan yang berlaku kepada umat-umat terdahulu yang diazab oleh Allah kerana melakukan kerosakan di atas muka bumi. Semoga kisah tersebut dijadikan iktibar dan pengajaran kepada kita. Semoga kita juga tidak ditimpakan azab seperti umat-umat terdahulu, wal’iyazubillah.

Sekali kali ingin ditegaskan bahawa segala punca kejahatan perlu ditutup. Sebagaimana Islam mengajar kita supaya menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Dalam hadis Nabi Muhammad s.a.w.:

عَنْ أَبِيْ سَعِيْدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلُ اللهِ يَقُوْلُ: مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيْمَانِ. (رواه مسلم)
Maksudnya: Dari Abu Sa’id Al-Khudri Radiallahuanhu berkata : Saya mendengar Rasulullah Shallallahu`alaihi Wasallam bersabda: Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim)

Pengajaran yang boleh diambil daripada hadis ini adalah seperti berikut:
1.Menentang pelaku kebatilan dan menolak kemungkaran adalah kewajipan yang dituntut dalam ajaran Islam kepada setiap muslim sesuai dengan kemampuan dan kekuatannya. 
2.Redha terhadap kemaksiatan termasuk di antara dosa-dosa besar. 
3.Bersabar menghadapi kesulitan ketika melakukan amar makruf nahi munkar. 
4.Amar makruf merupakan hasil daripada iman, maka mencegah kemungkaran juga merupakan hasil keimanan.  
5.Mengingkari dengan hati diwajibkan kepada setiap muslim, sedangkan pengingkaran dengan tangan dan lisan berdasarkan kemampuannya. 

    Gerak kerja ini mesti disambut baik dan dilakukan oleh setiap orang Islam khususnya dan semua pihak umumnya kerana kecelakaan akan menimpa seluruh umat sekiranya kemungkaran dibiarkan terus merebak. Oleh hal yang demikian, marilah kita menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran dengan menutup segala pintu kejahatan. Semoga dengan usaha tersebut dapat menyelamatkan kita daripada azab Allah s.w.t. di akhirat kelak.

    Di samping itu, kita juga dapat mengembalikan kewibawaan kita sebagai umat Islam sebagai umat yang kuat, berjaya, terbaik dan terhebat. Firman Allah s.w.t.:

    كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ (١١٠)
    Maksudnya: Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.
    (Ali-Imran: 110)

    Inilah kelebihan umat Islam berbanding umat-umat yang lain. Mudah-mudahan pencegahan tehadap segala punca kejahatan akan mengembalikan semula jati diri umat Islam daripada terus terjebak dalam kemaksiatan dan menjadikan mereka sedar, insaf, bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaubat dan mensucikan diri seperti dalam firman-Nya:

    إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ (٢٢٢)
    Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.
    (Al-Baqarah: 222)



    Sekian, Wallahu’alam.
    Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!