Halaman

Memaparkan catatan dengan label Puisi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Puisi. Papar semua catatan

Ahad, 13 September 2015

Sebenarnya Ada Lagi Yang Lebih Hebat Daripada Kita

Ketahuilah, sesungguhnya...
Kalau kita rasa kita hebat sebenarnya ada lagi yang lebih hebat daripada kita...
Kalau kita rasa kita kuat sebenarnya ada lagi yang lebih kuat daripada kita...
Kalau kita rasa kita berkuasa sebenarnya ada lagi yang lebih berkuasa daripada kita...
Kalau kita rasa kita bagus sebenarnya ada lagi yang lebih bagus daripada kita...
Kalau kita rasa kita baik sebenarnya ada lagi yang lebih baik daripada kita...
Kalau kita rasa kita bijak sebenarnya ada lagi yang lebih bijak daripada kita...
Kalau kita rasa kita kaya sebenarnya ada lagi yang lebih kaya daripada kita.

Ketahuilah, sesungguhnya...
Kalau kita rasa kita lemah sebenarnya ada lagi orang yang lebih lemah daripada kita...
Kalau kita rasa kita susah sebenarnya ada lagi orang yang lebih susah daripada kita...
Kalau kita rasa kita miskin sebenarnya ada lagi orang yang lebih miskin daripada kita...
Kalau kita rasa kita faqir sebenarnya ada lagi orang yang lebih faqir daripada kita...
Kalau kita rasa kita sibuk sebenarnya ada lagi orang yang lebih sibuk daripada kita...
Kalau kita rasa kita sakit sebenarnya ada lagi orang yang lebih sakit daripada kita...
Kalau kita rasa kita menderita sebenarnya ada lagi orang yang lebih menderita daripada kita.

Ketahuilah, sesungguhnya...
Siapakah sebenarnya yang lebih hebat daripada kita?
Siapakah sebenarnya yang lebih kuat daripada kita?
Siapakah sebenarnya yang lebih berkuasa daripada kita?
Siapakah sebenarnya yang lebih bagus daripada kita?
Siapakah sebenarnya yang lebih baik daripada kita?
Siapakah sebenarnya yang lebih bijak daripada kita?
Siapakah sebenarnya yang lebih kaya daripada kita?

DIA adalah ALLAH s.w.t. Tiada siapa yang dapat menandinginya!

Subhanallah, Segala Puji Tertentu Bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.

Manakala kita adalah hamba-Nya yang mempunyai banyak kelemahan dan kekurangan. Kita tidak punya apa-apa. Apa yang kita sedang miliki, kecapi dan nikmati semuanya adalah kepunyaan Allah s.w.t.

Oleh itu, ingatlah, bersyukurlah, bersabarlah, beristiqamahlah, bertenanglah, bergembiralah, kuatkanlah semangat, tingkatkanlah usaha, yakinlah, janganlah marah, janganlah banyak merungut dan mengeluh, janganlah berputus asa dan mengalah, janganlah bersangka buruk, janganlah bersedih dan berdukacita.

Khamis, 29 November 2012

Antara Ingat Dan Lupa

Assalamualaikum. Apa khabar semua? Saya harap semua sihat wal-afiat hendaknya. Bertemu kembali kita pada kali. Semoga ceria, gembira dan bahagia selalu. Semoga dihindarkan daripada penyakit lupa.

Manusia ada satu penyakit, iaitu penyakit lupa. Jadi, manusia tidak terlepas daripada sifat lupa. Apabila lupa manusia akan buat silap dan salah. Mungkin kesilapan kecil atau besar. Apabila ingat baru terfikir sepatutnya buat begini bukan begitu dan begitulah seterusnya.

Beginilah keadaan sifat lupa yang dialami oleh manusia. Semua orang tidak terlepas daripada penyakit ini. Sama ada dia seorang raja, perdana menteri, polis, tentera, bomba, cikgu, ulama, ustaz, petani, doktor, pak imam, pak bilal, tok siak, penceramah motivasi dan sebagainya pasti akan lupa. lupa yang terjadi itu mungkin sekali-sekala atau boleh juga berlaku banyak kali. Semua itu mungkin bergantung atas individu mengikut kadar atau tahap keupayaan otak masing-masing.

Sebab itu kadang-kadang semasa kita solat berjemaah di belakang imam. Ada ketikanya imam terlupa atau tersilap bacaan selepas surah al-fatihah, terkurang atau terlebih rakaat, tertinggal rukun solat dan sebagainya. Kadang-kadang begitu juga dengan kita sekiranya solat bersendirian. Namun, kalau solat berjemaah makmum boleh menegur imam seperti membetulkan bacaan, menyebut subhanallah dan imam buat sujud sahwi diikuti makmum. Manakala solat sendirian sekiranya lupa rakaat atau tertinggal rukun kita disunatkan buat sujud sahwi. Wallahu’alam.

Kisah begini samalah juga terjadi kepada orang yang menghafal al-Quran dan penuntut ilmu. Seringkali mengalami sifat lupa. Belajar dan hafal hari ini, esok lusa lupa. Jadi, kena sentiasa mengulang baru ingat. Kalau lama sangat tidak mengulang maka hafalan tersebut akan hilang atau susah untuk diingati.

Dalam Kitab Riadhus Sholihin yang ditulis oleh Imam Nawawi dalam tajuk “Perintah Berta'ahud Kepada Al-Quran, Memelihara Dan Membacanya Secara Tetap Dan Menakut-nakuti Berpaling Daripadanya Kerana Kelupaan” ada menyebut daripada hadis Rasulullah s.a.w.:

عن أبي موسى رضي الله عنه ، عن النبي (ص) قال: تعاهدوا هٰذَا القُرْآنَ فَوَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَهُوَ أَشَدُّ تَفَلُّتاً مَنَ الإِبِلِ فِي عُقُلِهَا. (متفق عليه)

Maksudnya: Dari Abu Musa r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: Berta'ahudlah kepada al-Quran yakni peliharalah untuk selalu membaca al-Quran itu secara tetap waktunya, sebab demi Zat yang jiwa Muhammad ada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, nescayalah al-Quran itu lebih sangat mudah terlepasnya daripada seekor unta yang ada di dalam ikatan talinya. (Muttafaqun 'alaih)

عن ابن عمر رضي الله عنهما، أن رسول الله (ص) قال: إِنَّمَا مَثَلُ صَاحِبِ الْقُرْآنِ كَمَثَلِ الإِبِلِ المُعَقَّلَةِ، إِنْ عَاهَدَ عَلَيْهَا أَمْسَكَهَا، وَإِنْ أَطْلَقَهَا، ذَهَبَتْ. (متفق عليه)

Maksudnya: Dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Hanyasanya perumpamaan orang yang menghafal al-Quran di luar kepala adalah sebagaimana perumpamaan seekor unta yang diikat. Jikalau ia terus langsung mengikatnya, dapatlah ia menahannya  tidak sampai lepas dan lari dan jikalau ia melepaskannya, maka itupun pergilah. (Muttafaqun 'alaih)

Pengajaran dan iktibar yang boleh boleh diambil daripada dua hadis ini ialah orang yang menghafal al-quran mesti bersungguh-sungguh memelihara hafalan al-Quran supaya tidak lupa. Mereka juga mestilah sentiasa membaca al-quran serta mengulangi hafalan al-quran. Adapun semasa menghafal sesuatu hafalan mereka mesti menghafal banyak kali. Sekiranya lupa hafal lagi. Kaedah ini boleh juga digunakan untuk penuntut ilmu di bidang lain.

Apabila sebut tentang lupa, maka teringat saya tentang pengalaman ketika menjawab soalan peperiksaan. Hari sebelum menjawab kertas soalan peperiksaan, bukan main bersusah-payah menghafal nota atau kitab. Namun demikian, ketika hendak menjawab soalan tiba-tiba lupa jawapannya. Puas mengingat dan berselawat namun tidak ingat-ingat juga. Akhirnya, jawab mengikut kefahaman sendiri.

Sesekali terfikir juga sebab berlakunya hal demikian. Pada saya mungkin disebabkan sikap terburu-buru ingin cepat siap dan hantar. Tidak mahu duduk lama-lama di dewan peperiksaan. Selepas menghantar kertas jawapan lalu keluar dari dewan peperiksaan kemudian belek semula kitab didapati jawapan yang dijawab itu tidak betul dan tepat. Perasaan pun menjadi hampa. Sabar sajalah.

Berlakunya lupa juga mungkin disebabkan kurang membaca dan mengulang kaji. Tidak memanfaatkan masa yang lama untuk mengulang kaji. Mungkin ulang kaji last minute atau saat-saat akhir. Inilah keburukannya apabila kurang persediaan.

Sebenarnya banyak cara untuk menguatkan ingatan. Menurut Sheikh Muhammad Saleh Al-Munajjid, seorang ulama, pensyarah dan penulis daripada Arab Saudi petua menguatkan ingatan adalah seperti:

1. Jauhi daripada dosa.
Dosa membawa kesan yang buruk kepada ingatan/memori dan kemampuan untuk mengingati ilmu. Kehitaman dosa tidak dapat wujud sekali dengan kecerahan ilmu. Perkataan berikut diambil daripada Imam Syafie:

شَكَوتُ إِلَى وَكِيعٍ سُوءَ حِفْظِ     فَأَرْشَدَنِي إِلَى تَرْكِ الْمَعَاصِي

فَاعْلَمْ أَنَّ الْعِلْمَ نُورٌ                 وَنُورُ اللهِ لاَ يُهْدَى لِعَاصِي
 
Maksudnya: Saya mengadu kepada guru saya, Wakee' mengenai masalah ingatan saya. Dia memberitahu agar menjauhi daripada dosa dan maksiat. Dia berkata: Ilmu Allah adalah cahaya, dan cahaya tidak diberikan Allah kepada pendosa.

Al-Khateeb menulis dalam Al-Jamie yang Yahya Ibn Yahya berkata, “ Seorang lelaki bertanya kepada Malik bin Anas; Wahai Abu Abdullah, apakah yang dapat memperbaiki ingatan saya?.  Malik berkata: Ada yang dapat memperbaikinya, maka ia adalah menjauhkan diri daripada dosa".

Apabila seseorang membuat satu dosa, ia akan menenggelamkan pelakunya dalam perasaan bimbang dan bersalah, dan ini akan membuatnya sentiasa sibuk memikirkan akan perbuatannya itu. Ini akan menariknya daripada banyak perkara-perkara berfaedah, termasuk mencari ilmu dan pengetahuan.

2. Selalulah mengingati Allah dengan berzikir dan membaca Al-Quran.
Firman Allah s.w.t.:

وَاذْكُرْ رَبَّكَ إِذَا نَسِيتَ (٢٤)

Maksudnya: Dan ingatilah Tuhanmu (Allah) ketika kamu terlupa. (Al-Kahf: 24)

3. Tidak makan terlalu banyak
Kerana makan terlalu banyak akan membuatkan seseorang mengantuk dan malas selain menambahkan penyakit. Kebanyakan daripada penyakit datang daripada makanan dan minuman.

4. Makan kismis dan madu
Sesetengah ulama menyebut beberapa jenis makanan yang dapat menambahkan ingatan seperti madu lebah dan kismis. Imam Az-Zuhri menyebut, "Kamu patut mengambil madu sebab ia baik untuk memori. Barangsiapa ingin menghafal hadith, ia patut memakan kismis".

Ada juga yang menyebut, mengambil banyak makanan yang berasid adalah penyebab kepada kemalasan dan lemah ingatan.

Selain itu, ada lagi cara untuk menguatkan ingatan menurut kajian pakar sains, kesihatan dan motivasi. Namun demikian, terlebih dahulu saya ingin meminta maaf tentang sumber artikel yang saya ambil ini. Saya sudah lupa dan bahan artikel itu telah lama diambil di internet. Ini pun kira penyakit lupa juga. Mungkin anda juga boleh cari sendiri di internet untuk mengetahui maklumat tentang cara menguatkan ingatan serta dari sumber yang terbaru.

Baiklah, kita sambung kembali supaya tidak lupa. Secara ringkasnya, cara menguatkan ingatan menurut kajian tersebut adalah seperti:

1. Membaca Al-Quran
2. Banyakkan membaca
3. Belajar sesuatu yang baru
4. Fokus
5. Menyebut sesuatu maklumat dengan kuat dan berulang kali
6. Mengawal tekanan
7. Elakkan kemurungan
8. Bersenam
9. Amalkan tidur yang cukup
10. Awasi pengambilan ubat
11. Berhati-hati dengan pengambilan vitamin atau makanan tambahan
12. Bermain sesuatu permainan yang dapat merangsang dan mencabar minda.
13. Bermain dengan angka

Kesimpulannya, manusia perlukan banyak mengingat dan menghafal, peringatan, tazkirah dan nasihat supaya dapat mengurangkan sifat lupa. Seterusnya selamat beramal dengan cara menguatkan ingatan seperti yang disebutkan tadi. Sebelum terlupa, jangan lupa berdoa kepada Allah s.w.t.. Berdoalah kepada Allah s.w.t. agar diberikan ingatan yang kuat, baik, jelas, tajam dan bertahan lama.

Sekian sahaja kalam saya pada kali ini. Insya-Allah berjumpa lagi. 

Selasa, 11 Mei 2010

Penyatuan Ummah

Pengetahuan Islam yang sempurna adalah sangat penting
kerana ia menjamin hidup yang bahagia dan sejahtera
bahkan kesedaran penganutnya terhadap Islam perlu dititikberatkan
supaya hati, jiwa, roh dan diri ummah ini
bersemangat, berperasaan dan bertindak untuk menjaga, memelihara,
membela dan mempertahankan kesucian Islam.

Kefahaman Islam adalah lebih penting
daripada mengharapkan kemenangan yang segera
jadi hanya menerusi usaha dakwah merupakan
wadah kepada penyatuan ummah
kerana apabila kita menjadi bersatu padu
dan menguatkan ikatan ukhuwah
maka membangun bersama Islam pasti berjaya.

Penyatuan ummah perlu dalam dakwah
apabila secara berjemaah tercapai suatu kejayaan
ayuh sedarkan diri
masing-masing menginsafi
bersama-sama menambah ilmu
bina kehidupan baru yang berlandaskan Islam.

Kini penyatuan ummah ada pelbagai kaedah
melalui semua saluran maklumat disampaikan
kita sebagai penerang bukannya penyerang
semua pihak mesti memainkan peranan
supaya dakwah Islam tidak dipersiakan

Kehidupan ummah mesti di landasan kebenaran
bahawa semua pihak bekerjasama dan bersefahaman
dengan mengikut syariat Islam yang telah ditetapkan
iaitu al-Quran dan as-Sunnah menjadi sandaran kehidupan

Mari kita singkap kembali zaman arab jahililiyah
ketika itu mementingkan asabiyah
namun berubah bila Nabi Muhammad dilantik menjadi rasul
setelah Malaikat Jibril menyampaikan wahyu
Rasulullah pun berdakwah dan menyeru
supaya manusia kembali menyembah Tuhan Yang Satu
dengan persaudaraan yang berpadu
ikatan silaturrahim bertambah erat
di samping pegangan agama yang kuat
akhirnya cahaya Islam menyinar hingga ke pelosok dunia.

Jangan hancurkan ummah
jagalah kesejahteraan ummah
justeru penyatuan ummah perlu dalam dakwah
apabila secara berjemaah tercapai suatu kejayaan.

Khamis, 22 April 2010

Fikirkan Sejenak

Fikirkan sejenak
apa yang telah kulakukan
pada hari ini dan semalam
adakah baik atau buruk?

Fikirkan sejenak
aduh, banyak sekali kesilapan, kekurangan dan kelamahan!
diri ini mulai menilai sejauh mana kebaikanku
diri ini mulai menilai sebanyak mana amalanku
diri ini mulai menilai sebagus mana kualiti amalanku
diri ini mulai menilai sekerap mana kesyukuranku
jika dibanding dengan segala nikmat-Nya

Fikirkan sejenak
alangkah terasa kerdilnya diri
masih lagi terpalit perbuatan keji
namun ke berusaha perbaiki diri
dari semasa ke semasa

Fikirkan sejenak
betapa diriku sering lupa dan alpa kepada-Nya
sedangkan pengajaran-Nya telah dilihatkan di depan mata
adakah aku tak sedar tentang perkara ini?
atau aku buat-buat tak sedar?
atau aku malas nak berfikir?

Fikirkan sejenak
supaya diri ini merintih kepada-Nya
supaya diri ini bermunajat kepada-Nya
supaya diri ini bertaubat kepada-Nya
supaya diri ini insaf dan memohon keampunan-Nya.

Fikirkan sejenak
di mana kan ku cari ganti?
sekiranya ku melupakan Allah
di mana kan ku cari ganti?
sekiranya ku mengkufuri nikmat-Nya
di mana kan ku cari ganti?
sekiranya ku ingkar perintah-NYa
di mana kan ku cari ganti?
sekiranya imanku rebah
di mana kan ku cari ganti?
sekiranya ku tidak bertaubat.

Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun
ya Allah, sesungguhnya Engkau penerima taubat.

Hanya pada-Mu ya Allah
tempatku kembali
kepada-Mu jualah
tempatku mengadu
dan bergantung harap.

Ku Pergi Jua

Suatu hari
ku berjalan-jalan
hingga setibanya aku di sebuah tempat
yang selama ini kuberasa asing sekali.

Masakan tidak
mungkin boleh dibilang dengan jari
berapa kali aku ke sana
sungguh asing bagi diriku.

Sesekali pernah hatiku terdetik
menyuruh dan meminta
supaya aku rajin ke sana
tapi aku berdolak-dalih
aku sering menyatakan aku sibuk,
ada kerja yang mesti diselesaikan,
buat apa ke sana,
aku malas.

Namun hari ini sama sekali lain
entah hati aku berasa aneh
tika setibanya di sana
dan melihat tempat tersebut.

Allahu Akbar! Allahu Akbar!
laungan azan bergema
sejak kecil hingga dewasa
kerap kudengari
sayangnya aku sukar sekali
menjadi muazzinnya.

Ah, kali ini
aku kuatkan azam
aku nekad hendak ke sana
meskipun diri berasa serba salah
kerana fikiranku menghantar mesej
tak pergi pun takpe.

Sekali lagi aku kuatkan azam
dan bertekad untuk ke sana
kerana aku ada mendengar
kita akan berasa tenang
bila berada di dalamnya.

Ya, memang benar ku berasa tenang
apabila ku berada di dalamnya
syukur kepada Allah
ku pergi jua ke masjid
rumah suci-MU ya Allah
moga-moga aku istiqamah
solat berjemaah.

Rabu, 17 Mac 2010

Allah Bersama Pejuang Islam

Takkan Allah nak membiarkan aku
seorang diri terumbang-ambing begitu sahaja,
sedang aku berusaha membuat kerja-kerja ini,
sedang aku berusaha berjuang pada jalan-Nya,
sedang aku berusaha menuntut ilmu agama
supaya dapat mengeluarkan diriku
dan manusia daripada kejahilan,
sedang aku berusaha membuat kerja-kerja Islam
bagi menolong agama-Nya
bagi aku, aku berasa tidak demikian
aku berasa Allah akan menolongku
aku berasa Allah akan membelaku
aku berasa Alah akan mempermudahkan urusan ini
yakinlah, aku yakin.

Ya Allah, tolonglah aku, bantulah aku, kasihanilah aku
kasihanilah aku ya Allah
aku memerlukan belas kasihan-Mu
aku memerlukan pertolongan-Mu
aku memerlukan rahmat-Mu
aku memerlukan redha-Mu
aku memerlukan hidayah-Mu

Ya Allah, tolonglah aku, bantulah aku, kasihanilah aku.
sesungguhnya aku berasa bersemangat
dan berkeyakinan untuk berada dalam perjuangan Islam,
dalam menegakkan agama-Mu,
dan berjihad pada jalan-Mu
di atas muka bumi ini.

Aku berasa demikian kerana Engkau
sentiasa menepati janji-janji-Mu
sedang aku manusia biasa
yang sering lupa dan alpa
tentang janjiku
ketika di alam roh
suatu ketika dulu.

Aku berasa demikian kerana Engkau
sentiasa menepati janji-janji-Mu
yang membuatkan aku yakin
bahawa Engkau sentiasa bersama-sama
dengan hamba-hamba-Mu
yang menolong agama-Mu.

Sebagaimana kata-kata Nabi Muhammad s.a.w.
kepada Abu Bakar As-Siddiq
ketika di Gua Thur
yang dalam ketakutan
dengan menyatakan bahawa jangan khuatir,
Allah bersama kita.

Kini, aku yakin
aku takkan sedih lagi
aku takan bimbang lagi
aku takkan takut lagi
dengan segala macam ujian
yang mendatang.

Aku yakin,
aku tidak bersendirian
aku yakin,
Allah bersama dengan orang yang berjuang pada jalan-Nya
sekali lagi ingin aku tegaskan,
Allah bersama pejuang Islam.

Khamis, 25 Februari 2010

Manusia Dan Kesejahteraan

Kelelahan kita semakin parah penatnya
berserta kekejaman mengatasi kedamaian
titik pertemuan menjadi tentangan
tak siapa mau beralah.

Saat ini siapa lagi sanggup bersemboyan
janjikan harapan semanis janji orang bercinta
setiap pembicaraan tanpa persatuan
kejujuran mati di hati.

Hari ini tak payah parau bertanya
ketuaan dunia akan tenggelam juga
dalam kebodohan manusia
yang kian bermuka dua.

Demi kelak dewasanya anakku
kau bikinlah perhitungan sendiri
untuk menjengah neraka kecintaan manusia
mencucuri bahan api neraka.

Tambah mengimbau sorotan kita MUHAMMAD!
tambah mengimbau sorotan kita ESA!
hanya kesejahteraan membunga api.

Salmi Manja
Utusan Zaman, 1 Januari 1961.

Sumber: Anak Laut: antologi kesusasteraan Melayu sekolah menengah.
Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!