Halaman

Isnin, 3 Disember 2012

Ada Lagi Yang Belum Selesai

Assalamualaikum. Apa khabar semua? Saya harap semua sihat-sihat belaka. Semoga sentiasa ceria, gembira dan bahagia. Syukur Alhamdulillah saya panjatkan kepada Allah kerana masih lagi diberi kesempatan untuk beramal dan berbakti.

Alhamdulillah, Khamis lepas adalah hari terakhir saya menduduki peperiksaan. Selepas peperiksaan, semua pelajar Jameah Iman bercuti selama dua minggu. Selepas itu, Jameah Iman akan dibuka seperti biasa. Mungkin pada masa itu keputusan peperiksaan akan keluar. Saya harap saya mendapat keputusan yang baik.

Alhamdulillah, saya telah dua bulan berada di Yaman. Bagi saya keadaan saya di sini baik-baik sahaja. Tidak perlu dirisaukan. Cuma ada beberapa lagi perkara yang belum selesai. Saya harap perkara tersebut selesai secepat yang mungkin. Antara perkara yang belum selesai itu ialah tempat tinggal, visa dan permohonan zakat.

Saya merancang hendak tinggal di asrama tetapi masih tidak dapat lagi. Sekarang saya masih menumpang di rumah kawan. Sebenarnya saya tidak suka tinggal atau menumpang di rumah orang lama-lama walaupun tuan rumah itu baik dengan kita bahkan memang kawan baik kita. Saya merasakan bahawa ini akan mengganggu keselesaan penghuni rumah tersebut.

Sebenarnya telah banyak kali saya buat urusan untuk memohon asrama. Banyak urusan yang dibuat sehingga apabila berjumpa dengan warden asrama, dia  memberitahu asrama telah penuh. Dia menyatakan bahawa permohoan asrama boleh dibuat selepas peperiksaan. Lagi dua minggu dari sekarang saya kena tunggu untuk urusan itu.

Alhamdulillah, kawan-kawan di rumah yang saya tumpang ini memahami keadaan saya. Mereka tahu bahawa saya telah banyak kali berusaha untuk mendapatkan asrama tetapi tidak berjaya. Oleh sebab itu mereka tidak keberatan memberi saya tinggal di rumah mereka sehingga saya mendapat asrama. Saya pun tidak tahu dan pasti sampai bila saya harus menumpang rumah mereka.

Yang kedua ialah visa. Visa itu adalah untuk kebenaran tinggal di sesebuah negara selama beberapa tempoh. Untuk dapat tinggal setahun maka saya kena buat visa belajar. Sedar tidak sedar visa melancong saya tinggal lagi sebulan. Jadi, saya kena buat visa secepat mungkin. Bimbang terjadi apa-apa yang tidak diingini nanti seperti ditahan tentera, kena denda dan sebagainya. Itu semua demi keselamatan diri dan nyawa.

Samalah seperti passport. Passport itu adalah seperti kad pengenalan kalau kita berada di luar negara. Passport ada tempohnya sseperti selama tiga tahun dan lima tahun. Apabila passport hampir tamat tempoh maka kena segera buat passport baru. Ada orang menyatakan bahawa passport itu umpama nyawa kita. Kena jaga baik-baik.   

Seterusnya ialah permohonan zakat. Proses ini jadi lambat sedikit kerana dalam borang zakat minta maklumat yang berkait dengan visa, surat sokongan belajar daripada kedutaan Malaysia, surat pengesahan belajar daripada universiti dan sebagainya. Saya rasa apabila telah selesai urusan visa maka urusan-urusan seperti mendapat surat pengesahan belajar daripada universiti dan surat sokongan daripada kedutaan akan turut selesai. Urusan ini seperti berangkai. Saling berkait.

Saya rasa saya perlu memohon zakat kerana untuk meneruskan pengajian saya di sini. Mudah-mudahan dengan wang zakat tersebut dapat membiaya pengajian saya selama beberapa tahun. Sememangnya kewangan yang cukup juga diperlukan ketika belajar. Walaupun kita ada semangat yang tinggi dalam mencari ilmu tetapi tidak mempunyai kewangan yang stabil maka ini akan menjadi penghalang kepada kita. Oleh hal yang demikian, semangat sahaja tidak cukup malah mesti ada kewangan yang mantap bagi membantu kita untuk terus dan konsisten dalam usaha-usaha mencari ilmu.

Demikianlah serba sedikit cerita tentang perkara-perkara yang masih belum selesai yang ingin saya kongsikan. Saya harap perkara-perkara yang disebutkan tadi selesai dalam masa secepat mungkin. Insya-Allah. Hal ini kerana datangnya saya ke sini adalah hendak mencari ilmu agama. Jadi, saya harap saya berjaya mencapai matlamat tersebut. Saya rasa setakat ini dahulu kalam saya pada kali ini. Insya-Allah berjumpa lagi. Sekian, assalamualaikum.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!