Halaman

Jumaat, 19 Februari 2010

Apakah kekuatan kita?

Kekuatan kita ialah akidah kepada Allah. Setahap manakah kita berpegang teguh dengan agama-Nya? Setahap manakah kita beriman dan beramal dengan kitab-Nya al-Quran? Setahap manakah kita mengikuti segala ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallahu ‘Alaihi Wasallam?

Ajaran Nabi yang dituruti itulah tuntutan sebenar yang padanya diketahui, difahami, dihayati dan dilaksanakan sedaya yang boleh. Apalah ertinya jika sekadar menyatakan, “saya ingat”, “saya sayang”, dan “saya cinta pada Nabi Muhammad”, tetapi ajarannya tidak dilaksanakan.

Hadis riwayat Al-Bukhari (2797) dan Muslim (1835) daripada Abu Hurairah katanya:

مَنْ أَطَاعَنِي فَقَدْ أَطَاعَ اللهَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ عَصَى اللهَ

Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang mentaati aku, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah, dan sesiapa yang menderhakai aku maka sesungguhnya dia telah menderhakai Allah.

Apa-apa yang terdapat dalam Islam mesti diamalkan kesemuanya bukannya ambil sejuzuk, tolak sejuzuk. Jika tiada kepentingan pada diri maka Islam itu tidak diambil begitulah sebaliknya. Mengambil Islam hanya pada juzuk-juzuk yang ada manfaat pada dirinya sahaja. Jika begini bagaimana umat Islam hendak menjadi kuat?

Di sini, saya ingin mengajak diri saya dan anda semua membina kekuatan seperti yang terdapat dalam firman Allah s.w.t. ini:

يَاأَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ (١) قُمْ فَأَنذِرْ (٢) وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ (٣) وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ (٤) وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ (٥) وَلاَ تَمْنُنْ تَسْتَكْثِرُ (٦) وَلِرَبِّكَ فَاصْبِرْ (٧)

1. Wahai orang yang berselimut!
2. Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia).
3. Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaran-Nya!
4. Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.
5. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.
6. Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.
7. Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!
[Al-Muddatstsir: 1-7]

Jadi, antara perkara-perkara yang perlu kita semua lakukan adalah berdakwah, membesarkan Allah, membersihkan hati, meninggalkan kejahatan, mengikhlaskan diri dan bersabar.

Dakwah
kerja-kerja dakwah terletak pada tanggungjawab kita semua bukannya pada ulama sahaja. Kita semua memainkan peranan dalam tanggungjawab ini mengikut kadar kemampuan masing-masing supaya usaha-usaha menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran terus wujud di muka bumi ini.

Mengagungkan Allah
Sesungguh-Nya Allah adalah Tuhan yang selayaknya kita agungkan, kita besarkan. Akidah kita mesti pada Allah. Unsur-unsur syirik mesti dihapuskan di muka bumi ini. Tiada sekutu bagi Allah kerana tiada perkara yang boleh menyamakan Allah dengan makhluk-Nya. Oleh itu, bersihkan diri kita perkara-perkara yang mensyirikkan Allah.

Bersihkan Diri
Membersihkan diri bukan sahaja pada pakaian (luaran) tetapi termasuk juga hati (dalaman). Mensucikan hati daripada benda-benda haram, kejahatan, maksiat, dosa dan syirik.

Meninggalkan kejahatan
Segala kejahatan hendaklah dijauhkan. Ini bermakna setiap kejahatan adalah perkara yang dilarang oleh Allah.

Ikhlas
Kita berdakwah, berjuang dan berjihad akan mendapat balasan syurga di akhirat. Janganlah mengharapkan apa-apa imbuhan kerana bimbang hilang rasa keikhlasan ketika memperjuangkan Islam.

Bersabar
Kesusahan menghadapi ujian ketika memperjuangkan Islam memerlukan kesabaran yang tinggi. Sabar akan mentarbiyah diri untuk menjadi kuat ketika menghadapi mehnah dalam perjuangan. Sabarlah penyelamat. Apabila kita bersabar kita tidak akan bertelagah, menindas dan mengkhianat. Selain itu, bersabar agar tidak keluar daripada jemaah jika berlaku apa-apa masalah. Ketahuilah bahawa dalam perjuangan ada rintangan yang wujud sejak Nabi Adam lagi hingga hari kiamat.

Inilah sumber kekuatan yang mesti ada pada diri kita.

Kekuatan seterusnya yang terdapat dalam dalam ayat lain sebagaimana firman Allah:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا (١٠٣)

Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai.
[Ali-Imran: 103]

Maksud حبل menurut sahabat Nabi s.a.w.:
1) Saidina Ali k.w.h. ialah Islam

2) Ibnu Abbas ialah al-Quran

3) Ibnu Mas’ud ialah Jemaah

Kita akan menjadi kuat apabila kita bersama dengan Islam. Kekuatan Islam terletak pada Al-Quran yang merupakan panduan hidup kita. Kekuatan yang seterusnya ialah jemaah kerana jemaah merupakan tenaga-tenaga kerja yang akan mendaulatkan Islam dengan berpandukan al-Quran di atas muka bumi ini.

Kita sebagai orang yang tahu (alim) mesti mengimarahkan bumi ini dengan sebaik-baiknya, iaitu menurut cara Islam. Oleh itu, sampaikanlah Islam kepada manusia yang tidak tahu.

Ketahuilah bahawa zaman sekarang telah ramai orang yang jahil namun sedikit sekali orang yang alim. Sekalipun ada orang yang alim namun sedikit juga orang yang beramal dengan ilmunya. Sekalipun ada orang yang beramal dengan ilmunya namun sedikit juga orang yang ikhlas pada amalannya. Sekalipun ada orang yang ikhlas beramal namun sedikit pula orang yang istiqamah. Wallahu’alam.

Setakat ini sahaja yang mampu untuk saya sampaikan. Segala yang baik itu datangnya daripada Allah, yang salah, lemah dan kurang itu daripada saya sendiri. Saya memohon ampun kepada Allah jika saya telah berbuat salah.

Sekian, Wallahu’alam.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!