Oleh: Dr. Ahmad Shahin
Pendakwah
yang dikehendaki Islam adalah seorang yang memiliki sifat yang unggul.
Contoh teladannya ialah Rasulullah saw dan para sahabat yang mana Allah
telah kurniakan kemenangan kepada Islam dan kemuliaan kepada agama
melalui mereka. Mereka telah berusaha untuk meneguhkan Islam di muka
bumi dengan segala cara yang ada. Oleh itu, mereka telah memberikan
saham yang besar untuk menghidupkan umat, membangunkan masyarakat, dan
mengukuhkan negara.
-
Pendakwah mempunyai iman mendalam yang mampu menggegarkan gunung yang
kukuh dan tidak akan berasa lemah imannya dalam menjalankan dakwah,
kerana cinta kepada dakwah telah menguasai hatinya dan tiada lagi ruang
di dalam hatinya selain dakwah. Beliau tidak akan hidup dengan yang
lain, sedangkan dakwah tetap kekal walaupun tanpa dirinya.
Sheikh Bahiy al-Kholi pernah berkata yang menggambarkan kesibukan pendakwah kerana cintanya kepada dakwah dan penguasaan dakwah ke atas seluruh dirinya: “Pendakwah adalah seorang yang memiliki kepercayaan yang kuat yang sentiasa menjadikan dakwah menduduki fikiran anda pada setiap masa, yang sentiasa mengingati dakwah dalam tidur dan jaga anda, semasa makan dan ketika bersama keluarga anda, ketika duduk diam dan dalam perjalanan anda. Malah, semua majlis yang disertai orang, maka anda gunakan untuk dakwah. Pada ketika berkeadaan damai atau permusuhan anda menggunakannya untuk dakwah.Juga ketika anda gembira atau sedih tetap ada ruang untuk dakwah. Pada keseluruhannya dakwah menjadi permasalahan pertama yang hadir dalam kehidupan anda sepanjang masa, dari hal-hak pokok dan juga hal-hal sampingan dalam penghidupan anda. Oleh itu, janganlah anda berfikir bahawa dakwah ini memerlukan masa yang banyak kepada anda. Anda adalah pendakwah dan anda bukan sasaran dakwah (mad’u) kerana kedua-dua antara pendakwah dan mad’u terdapat perbezaan yang besar.” Tazkirah ad-Duat oleh Sheikh Bahiy al-Kholi, ms 31
-
Pendakwah yang memberi perhatian kepada dakwah pada waktu malam dan
siangnya, menghabiskan seluruh masanya untuk dakwah, mengerahkan segenap
tenaga dan kemampuannya untuk itu, bergaul dengan masyarakat, memberi
kesan kepada mereka dan sanggup menjadikan dirinya berpenat lelah demi
kerehatan orang lain. “Dakwahnya hidup pada seluruh urat saraf beliau,
bercahaya dalam hati nuraninya, mengalir dalam darahnya. Beliau segera
meninggalkan waktu rehat dan bersantai untuk bergerak dan bertindak,
mementingkan dakwah mengatasi diri, anak-anak dan hartanya. Inilah
pendakwah yang benar yang merasai keimanan kepada dakwahnya dalam
persepsi, pergerakan dan petanda, dan di dalam kejernihan yang tergambar
pada air mukanya. Justeru, beliau seorang pendakwah yang menyebabkan
kata-katanya dapat melunakkan hati orang ramai hingga menggerakkan emosi
mereka kepada apa yang dihendaki dari dakwahnya itu.” Tazkirah ad-Duat
ms 29
-
Pendakwah yang teguh di atas prinsip dan dakwahnya hingga akhir
kehidupannya, ia merendah diri kepada sasaran dakwahnya (mad’u), ia
melemparkan senyuman kepada orang ramai dan ia tidak meninggi diri, ia
menepati janji-janjinya dengan orang dan tidak akan menipu daya seperti
serigala. Pendakwah sentiasa mencari keredhaan Tuhannya dan tidak
mengharapkan dunia dengan amalan akhiratnya. Dia hidup untuk dakwahnya,
berjuang untuk itu dan mati pada jalannya, tanpa pernah menukar atau
mengubahnya, atau berhenti dari meneruskan perjalanan dakwahnya yang
panjang. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Di
antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan
apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela
Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan
janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu
giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu)
sedikitpun.” (Al-Ahzab: 23).
. -
Pendakwah yang percaya kepada ajal dan rezkinya di tangan Tuhan, maka
ia tidak akan berubah menurut perkembangan semasa, demi sesuap nasi
untuk hidup dan tidak akan makan apa jua yang di hidangkan di atas
setiap meja demi untuk hidup, bahkan kematian yang mulia lebih dicintai
daripada kehidupan yang memalukan.
Slogannya ialah seperti ungkapan penyair:
“Sama ada sebuah kehidupan yang sentiasa jujur dan sama ada kematian yang menjengkelkan musuh.”
-
Pendakwah contoh yang melaksanakan usaha dakwahnya di dalam gerak dan
diamnya, rahsia dan terangnya, malam dan siangnya, di dalam perjalanan
dan menetapnya, dalam senyap dan kata-katanya (yang hanya bercakap
tentang rahsia-rahsia dakwah dalam ucapan dan ungkapannya, tidak pernah
mengutamakan kepada kebatilan, bahkan menyediakan mereka untuk menerima
kebenaran yang akan menyatukan akal dan fitrah). Tazkirah ad-Duat ms 29
-
Pendakwah yang mempelajari fiqh dakwah, tahu bagaimana untuk menyeru
orang dan memberi kesan kepada mereka dan meningkatkan diri sehingga ke
tahap tertinggi dalam usaha pembaikan: “Pendakwah ialah orang yang
berusaha untuk masuk ke dalam perasaan orang ramai dengan hikmah dan
kebijaksanaan hingga menggerakkan kesedaran dan membangkitkan emosi
mereka kepada Allah. Jika anda datang dengan usaha kepada pembaikan itu
dan anda ingin melunakkan jiwa mereka dengan kata-kata pembaikan supaya
menjadikan mereka seperti yang dikehendaki dalam pembaikan, maka
terangkanlah kepada mereka tentang tujuannya dan membangkitkan harapan
di dalam hati mereka kepada pembaikan yang mereka sukai.” Tazkirah
ad-Duat ms 34
Apa
yang diperlukan bukanlah penyediaan pendakwah sahaja tetapi yang
dikehendaki oleh Islam ialah pendakwah yang memiliki kefahaman, yang
memahami Islam dari segi akidah, syariat, akhlak dan budipekerti, yang
mengetahui realiti hidup semasa dengan segala pemasalahannya,
menyediakan untuk setiap masalah dengan jalan penyelesaian Islam yang
bersesuaian berdasarkan sumber-sumber undang-undang Islam. Masalah yang
dikenali oleh masyarakat sebagai arus pemikiran bercampur-baur, yang
diimport dari Barat untuk melemahkan kekuatan Islam, yang mempengaruhi
ke dalam minda anak-anaknya dengan menimbulkan keraguan, memprovokasi
perselisihan yang menutup pintu-pintu penyatuan dan mengambalikan
manusia kepada suasana seperti mana ia datang.
Beliau
adalah pendakwah (yang mampu menyampaikan dan memberi kesan melalui
dakwah dan fikrahnya kepada setiap orang biarpun berbeza kecenderungan,
sifat semula jadi dan peringkat mereka, dan biarpun penguasaan ruang
massa yang sangat luas dan penguasaan secara intelektual dan fizikal).
Penguasaan dalam kehidupan dakwah dan pendakwah. Fathi Yakan, ms. 9
-
Kita mahukan pendakwah yang mencapai semua sifat (muwasofat) pendakwah.
Sheikh Bahiy al-Kholi telah merumuskan sifat pendakwah yang diingini
iaitu: “Pendakwah adalah seorang yang beriman dengan fikrah yang
menyeru kepadanya melalui tulisan, syarahan dan percakapan biasa,
seorang yang bekerja keras dalam perjalanan hidupnya yang khusus dan
umum dan berusaha sedaya upaya yang boleh melalui pelbagai wasilah
dakwah. Oleh itu, beliau adalah seorang penulis, penceramah dan juru
bicara utama, serta seorang yang memberi kesan kepada orang melalui
perbuatan dan keperibadiannya. Pendakwah juga seorang doktor sosial yang
merawat penyakit-penyakit jiwa dan memperbaiki situasi masyarakat yang
rosak. Oleh itu, beliau adalah seorang yang celik dan kritikal, di mana
hidupnya sentiasa bekerja untuk memperbaiki dan mengubah masyarakat
kepada apa yang dikehendaki Allah .. Pendakwah menjadi sahabat, teman
dan saudara kepada yang kaya dan miskin, yang besar dan kecil.
Melalui
sifat-sifat ini akan menyerapkan kasih sayang ke dalam hatinya,
mengalirkan belas kasihan dalam kedua matanya dan melahirkan persamaan
dalam lidah dan tangannya. Hal ini sangat diperlukan bagi seorang
pendakwah, yang merupakan salah satu dari hadiah roh, bukan dari sifat
retorik dan kebolehan lidah.
Pendakwah ... mesti
mempunyai pengaruh psikologi, penguasaan rohani, perhubungan dengan
Allah dan menggunakan akal untuk menilai apa yang berlaku daripada
pengalaman sejarah dan keadaan manusia.” Tazkirah ad-Duat ms 5
Dakwah
Islam di zaman kita jika mempunyai pendakwah yang jujur yang mengambil
langkah-langkah dalam penyampaian dan sebab-sebab hidayah dalam menyeru
manusia, akan ditetapkan kejayaan bagi dakwah dan pendakwah menjadi
kuat, mewah dengan pemberian dakwah dan kaya dengan kesannya. Tugas
pendakwah adalah memberi petunjuk kepada manusia ke jalan Allah, membawa
mereka lebih dekat denganNya dan menggalakkan mereka dengan apa yang
ada di sisiNya. Allah berfirman bermaksud:
"Dan
di antara orang-orang yang Kami ciptakan itu, ada satu umat yang
memberi petunjuk dengan kebenaran, dan dengannya mereka menjalankan
keadilan.” (Al-A’raf: 181),
“Dan
di antara kaum Nabi Musa, ada satu golongan yang memberi petunjuk
(kepada orang ramai) dengan perkara-perkara yang hak, dan dengannya
mereka menjalankan keadilan.” (Al-A’raf: 159)
Sifat-sifat
di atas adalah sifat-sifat pendakwah yang benar, yang telah dipilih
oleh Allah untuk menjalankan dakwah, menyampaikan risalahNya dan
memimpin orang ramai kepada Tuhan. Pendakwah adalah seorang yang hidup
untuk menyebarkan fikrahnya dan merasai penderitaan di jalan memenangkan
dakwahnya, dirinya berpenat lelah demi keselesaan orang lain, dan
sanggup mengorbankan dirinya demi dakwah dan pengikutnya. Pendakwah
seperti ini adalah pendakwah rabbani yang telah dinyatakan di dalam
Al-Quran di dalam ayat (bermaksud):
“(Nabi-nabi
yang telah lalu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah
serta mereka takut melanggar perintahNya, dan mereka pula tidak takut
kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi
Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk
membalasa mereka.” (Al-Ahzab: 39)
Alangkah
perlunya umat kepada pendakwah seperti ini untuk menyebarkan dakwah di
dalam masyarakat Islam dan bangsa lain, dan untuk memimpin umat kepada
kemuliaan dan kedaulatan, kemenangan dan kekuasaan, dan mereka menjadi
kumpulan pembaharuan yang diimpikan. Allah SWT berfirman (bermaksud):
“Dan yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah melakukannya.” (Ibrahim: 20)
Kita memohon agar Allah menjadikan kita termasuk daripada mereka.
Terjemahan daripada http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?SecID=363&ArtID=99546
Diambil dari: http://zadud-duat.blogspot.com/2012/01/pendakwah-yang-islam-impikan.html
Diambil dari: http://zadud-duat.blogspot.com/2012/01/pendakwah-yang-islam-impikan.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan