Halaman

Ahad, 4 September 2011

Sembang Raya Aidilfitri

Antara perkara baik yang digalakkan ketika menyambut aidilfitri ialah ziarah ke rumah saudara seislam dan seiman dengan kita. Pada hari raya aidilfitri ramai orang tidak melepaskan peluang cuti raya ini dengan ziarah-menziarahi, kunjung-mengunjung ke rumah saudara-mara, kawan-kawan, rakan taulan, sahabat handai, teman seperjuangan dan sebagainya. Dengan berziarah kita boleh bertanya khabar dan bermaaf-maafan.

Kalau di sini, ziarah tu kita cakap beraya. Jadi, melihatkan suasana tersebut kita ni suka beraya tak kira tempat tu dekat ke jauh ke memang kita nak beraya. Katanya masa ni la boleh jumpa saudara-mara atau kawan-kawan yang dah lama tak jumpa dan juga jarang jumpa. Masa lain susah dah nak jumpa sebab sibuk bekerja. Jadi takde masa nak jumpa.

Kadang-kadang tu bila asyik beraya sampai lupa dah tengah malam masih pergi beraya. Mana taknya, kat KL ke Selangor ke… mana-mana jalan ada je yang jem (sesak). Itu yang jadi lambat nak sampai ke rumah orang yang nak kita beraya. Sabar je la.

Sebenarnya apa yang saya perasan benda yang sering dibualkan oleh mereka yang beraya pada tahun ni ialah bercakap pasal rumah, kereta, nikah kahwin, bisnes, harga barang dan lain-lain. Sesekali saya ada terfikir asyik sembang tentang benda-benda yang ada di dunia je. Suka dan sibuk sembang tentang hal-hal keduniaan. Saya jadi terfikir bila nak sembang pasal kehidupan di akhirat.

Saya rasa takpe je sembang pasal hal-hal duniawi tapi jangan sampai dunia tu masuk atau meresap ke dalam hati takut nanti jadi lupa daripada mengingati Allah. Teringat rumah, kereta, bisnes sampai lupa nak ingat Allah. Kalau ambil dunia ini untuk keperluan dan meneruskan kehidupan dalam menjalani dan melaksanakan syariat Allah, beribadah kepada Allah itu dibolehkan. Sebab itu kita kena seimbangkan keperluan dunia dan akhirat.

Kita kena bekerja untuk dapatkan duit supaya boleh digunakan untuk membeli makanan. Bila makan kita tak lapar dan kita dapat jaga kesihatan kita. Lepas tu kita akan bertenaga untuk beribadah kepada Allah. Di samping itu, kita boleh meneruskan lagi pekerjaan kita pada hari esoknya. Duit yang ada kita infakkan sebahagiannya ke jalan Allah seperti beresedakah dan mengeluarkan zakat. Derma jihad pun boleh. Kita bantu saudara-saudara Islam kita yang susah, yang negara mereka dalam peperangan seperti Palestin.

Berbalik kepada sembang raya tadi, saya lebih suka kalau kita ada selitkan juga tak kira la banyak ke sikit ke… sembang tentang agama, mengingati mati, ingat akhirat, ingat Allah supaya dengan cara demikian kita tak sembang benda yang lagho tapi sembang kita boleh dapat pahala dan meningkatkan iman, dan takut dan gerun kita kepada Allah.

Takkan tak boleh buat kot. Mesti boleh punya la. Kalau masa puasa bulan Ramadhan hari tu kita boleh perbanyakkan buat amalan-amalan soleh, jadi tak mustahillah pada bulan Syawwal ni kita boleh terus melakukannya lagi. Insya-Allah.

Apa yang saya tulis ni adalah untuk bermuhasabah diri terutamanya kepada diri saya terlebih dahulu dan juga kepada kita semua. Akhir kata, marilah sama-sama kita sentiasa ingat Allah, ingat mati dan ingat akhirat. Sesungguhnya, manusia yang cerdik ialah mereka yang mengingati mati.

Sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud:

Abdullah bin Umar Radhiallahu’anhuma berkata, bahawa ketika dia sedang duduk-duduk di sisi Rasulullah saw. Lalu datang seorang lelaki memberi salam dan bertanya kepada Rasululla: siapakah yang lebih utama (lebih baik) di kalangan orang yang beriman? Jawab Rasulullah saw: orang yang lebih baik di kalangan orang beriman ialah mereka yang berakhlak mulia.

Kemudian lelaki itu bertanya lagi: siapakah orang yang paling cerdik di kalangan orang yang beriman? Jawab Nabi saw: orang yang paling cerdik di kalangan orang yang beriman ialah mereka yang banyak mengingati mati dan banyak membuat persiapan untuk menghadapi mati.

Sabtu, 3 September 2011

Islam Pembawa Rahmat

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ (١٠٧)
Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.
(Al-Anbiya’: 107)

Alhamdulillah, seharusnya kita berasa bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana diberikan nikmat Islam dan iman. Kita juga diberikan hidayah dan taufiq-Nya. Mudah-mudahan kita sentiasa berada di jalan-Nya, di jalan yang lurus dan benar. Kita juga sentiasa istiqamah dalam mengamal dan melaksanakan perintah-Nya sama ada yang disuruh mahupun yang dilarang-Nya.

Alhamdulillah, kesyukuran ini diucapkan setinggi-tinggi dan sebanyak-banyak kesyukuran kepada Allah kerana kita dilahirkan sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w.. Daripada bagindalah kita mengenal Islam, iman dan ihsan. Kita kenal akidah bahawa mesti beriman dan mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. sahaja. Kita kenal syariat sebagai suatu perkara yang memudahkan untuk kita menjalani kehidupan ini megikut kehendak-Nya. Kita juga kenal akhlak yang membentuk hati, rohani dan jiwa kita supaya menjadi manusia yang baik dan dapat memakmurkan bumi ini pun dengan baik.

Nabi Muhammad s.a.w. telah mengeluar dan membebaskan manusia daripada syirik. Seperti yang kita tahu bahawa sebelum kelahiran baginda, manusia hidup dalam keadaan jahiliah, iaitu jahil tentang agama. Mereka menjadikan makhluk seperti batu, kayu, laut, gunung, matahari dan lain-lain sebagai sembahan. Sebenarnya Tuhan yang berhak disembah ialah Allah s.w.t..

Akibat penyelewangan yang berlaku terhadap agama dengan mengada-adakan perkara baru serta mengubah mengikut hawa nafsu mereka dalam ajaran yang dibawa oleh nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad s.a.w. maka mereka telah menjadi sesat lagi menyesatkan. Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. adalah rahmat sekalian alam. Ini adalah berita gembira kepada semua yang ada di alam ini. Baginda membawa Islam yang menjadi cahaya, iaitu memandu manusia ke jalan yang lurus.

Sejarah telah membuktikan bahawa akal manusia sangatlah terbatas. Oleh sebab itu, manusia mesti berpandukan kepada wahyu Allah s.w.t.. Kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. ke dunia ini sebagai wakil Allah s.w.t. untuk mengajarkan al-quran kepada manusia. Baginda mengajar dan menerangkan perintah-perintah Allah s.w.t. yang terdapat dalam al-Quran. Apabila manusia mengerti dan hidup mengikut Islam maka sudah tentulah hidup mereka akan hidup akan selamat di dunia dan di akhirat.

Semua orang yang hidup di dunia ini memang hendak hidupnya selamat di dunia dan di akhirat. Namun, jika mereka tidak mahu ikut Islam, al-Quran, dan Nabi Muhammad maka bagaimana mereka akan tahu cara untuk menyelamatkan diri mereka di dunia dan di akhirat. Kalau ketika di dunia berdepan dengan kebakaran, banjir dan sebagainya tentu kita masih boleh menyelamatkan diri tapi kalau di akhirat bagaimana nak selamatkan diri. Bayangkan ketika di padang mahsyar, di titian sirat al-mustaqim, di neraka tempat orang yang kena azab Allah s.w.t. tentunya tidak boleh melarikan diri ke tempat yang selamat melainkan dengan Islam.

Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. sebagai penyelamat kepada manusia. Kita kena fikir bahawa kita mesti berada dalam keadaan yang selamat di akhirat sana sebab di sana tiada orang yang boleh bantu kita lagi. Nafsi nafsi. Di dunia, kalau kita susaha kita boleh minta bantuan daripada orang lain tapi kalau di akhirat hendak minta bantuan daripada siapa. Sebab itulah kita mesti ikut Islam. Cara hidup mengikut manhaj Islam. Cara hidup yang bersyariat. Halal haram, dosa pahala dijaga dan diambil kira.

Benda yang menjadi bekalan kita ada di akhirat ialah buku amalan. Baik atau buruk. Inilah penentunya. Di samping amalan, kerja buat itu juga dinilai oleh Allah s.w.t. dari sudut keihklasan kepada-Nya. Sebab syarat masuk ke syurga-Nya bukanlah amalan soleh yang banyak semata-mata tetapi orang yang boleh masuk ke syurga-Nya adalah kerana mendapat rahmat-Nya.

Kesimpulannya, Islam pembawa rahmat kepada sekalian alam. Semua makhluk atau hidupan yang ada di alam ini menjadi baik, aman, bahagia, selamat dan sejahtera dengan Islam.

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ (١٠٧)
Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.
(Al-Anbiya’: 107)

Sekian, wallahua’alam. 

Rabu, 31 Ogos 2011

Bila Dah Lama Tak Menulis

Sebenarnya saya sering bertanya pada diri saya sendiri bila nak mula menulis lagi. Bila nak tulis artikel baru. Kenapa dah lama tak menulis. Soalan-soalan macam ni sering bermain-main dalam fikiran saya sehingga saya terfikir lama sangat dah ni tak menulis. Cubalah buat sesuatu.

Tapi gitulah, tak buat apa-apa pun… terbiar macam tu je… walaupun idea-idea baru yang datang dengan tiba-tiba... tu pun dibiarkan begitu sahaja sampai ia hilang dan luput dari ingatan. Maka, oleh sebab itu blog saya kelihatan terbiar, tak terurus, kaku, beku dan sebagainya.

Saya merasakan bahawa menulis ni suatu perkara yang menggerakkan, menjadi hidup pada sebuah blog yang sentiasa dikemaskini dengan artikel-artikel baru dari semasa ke semasa.

Blog yang sentiasa update ni ibarat sebuah rumah yang berpenghuni. Bila rumah tu ada penghuni tentu rumah tu nampak ceria, bersih, cantik, indah, elok, terurus, kukuh dan sebagainya.

Samalah juga macam air sungai yang mengalir nampak tenang, segar, cantik dan bersih. Berbeza dengan air yang bertakung, lama-kelamaan akan menjadi kotor dan busuk.

Rupa-rupanya hampir lapan bulan saya dah tak update dengan artikel yang baru. Saya rasa suatu tempoh yang agak lama juga tu.

Lepas pada ni kena rajin lagi la menulis. Ya, saya mesti rajin menulis. Mmm, macam sekarang ni pun saya rasa dah takde point lagi nak tulis apa. Jadi, setakat ni dulu la yang ingin saya kongsikan kepada anda semua. Tapi, saya rasa ok la walaupun tulis sikit pun daripada tak buat apa-apa.

Merdeka Yang Sebenar

Pada tahun ni kita yang duduk di Malaysia menyambut hari raya aidilfitri bersama hari kemerdekaan pada 31 0gos. Hari Rabu ni la rakyat Malaysia akan menyambut hari kemerdekaan.

Kalau sebut fasal merdeka mesti tak terlepas daripada bercerita tentang sejarah seperti zaman negara dijajah, tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan, penderitaan orang dulu-dulu, peperangan, perjuangan, pengorbanan dan sebagainya.

Tiap-tiap tahun sambut merdeka tapi… mesti ada tapi. Saya rasa anda sendiri boleh fikir apa yang tapi tu. Kalau sebut tapi mesti ada benda yang tak elok berlaku. Kebiasaannya macam tu la. Banyak tak elok daripada yang elok.

Jadi macam mana merdeka yang sebenarnya kita kena faham. Adakah merdeka tu adalah semata-semata negara bebas daripada penjajah sedangkan pemikiran masih dijajah? Memang penjajah tak serang kita secara fizikal tapi mereka serang kita melalui serangan pemikiran.

Jadi dalam kesempatan ini saya ingin memetik kata-kata daripada Tuan Guru Hadi Awang yang diambil daripada Harakah Daily menyatakan bahawa tidak ada kemerdekaan selagi tidak mengabdikan diri kepada Allah SWT.

“Selagi sembahyangnya tidak mengadap Allah, selagi syariat dan hukum-hakamnya tidak mengikut syariat dan hukum-hakam Allah, tidak dinamakan merdeka dalam erti kata yang sebenar,” jelasnya.

Tegasnya, perjuangan memerdekakan manusia dengan hanya mengabdikan diri kepada Allah.

“Ketahuilah, umat Islam belum merdeka daripada penjajah Inggeris, penjajah Perancis, penjajah Itali, penjajah Komunis, penjajah Cina, Rusia dan lain-lain selagi mereka tidak melaksanakan Islam di tanahair mereka.

“Selagi hukum Islam tidak berdaulat, syariat Allah tidak diamalkan semuanya, menandakan perjuangan kita belum selesai, perjuangan untuk menyambung risalah yang dibawa oleh Nabi Muhamad s.a.w. belum selesai,” ujarnya lagi.

Oleh hal yang demikian, kemerdekaan yang sebenar ialah mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT:
وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلاَ تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (١۵۳)

Maksudnya: Dan bahwa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), karena jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertakwa.
(Al-An’am: 153)

Firman Allah SWT lagi:
قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنْ الْمُشْرِكِينَ (١۰۸)

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik."
(Yusuf: 108)

Selasa, 30 Ogos 2011

Maaf

Saya ingin memulakan tulisan yang dah lama terhenti ini dengan memohon maaf. Sempena hari raya aidilfitri ini saya ingin meminta maaf zahir dan batin.

Kebiasaanya pada hari inilah orang kita akan meminta maaf. Saya rasa lagi baik kita amalkan bermaaf-maafan ni sepanjang tahun. Maksudnya minta maaf ni bukan sahaja dilakukan pada hari raya tetapi sering dilakukan pada tiap-tiap hari.

Orang beriman itu digalakkan melakukan muhasabah diri lebih-lebih lagi sebelum tidur. Kalau teringat ada orang buat kita rasa marah dan sakit hati kita maafkannya. Kalau kita teringat kita pula ada buat silap dengan orang kita pula cepat-cepat kena minta maaf. Kalau tak sempat buat hari ni, kita buat esok. Yang penting dapat minta maaf.

Kadang-kadang kita tak sengaja buat salah dengan orang dan kadang-kadang kita juga tak sedar atau perasan telah buat salah dengan orang lain. Rupa-rupanya tanpa kita tahu dan sedar ada orang berasa hari terhadap kita. Kalau orang buat kita berasa hati mungkin kita boleh maafkan tapi kalau orang lain kita tak tahu sebab kita tak tahu isi hati orang. Hanya Allah sahaja yang tahu.

Jadi, oleh sebab yang demikian saya nak meminta maaf sekiranya berlaku insiden seperti yang disebutkan.

Sebenarnya sehingga ke hari ini saya berasa kagum dengan sifat mulia Nabi Muhammad saw. Baginda adalah seorang pemaaf. Banyak kisah yang dalam kitab sirah menunjukkan baginda seorang pemaaf yang saya rasa tak perlu saya ceritakan di sini, mungkin anda boleh membacanya sendiri buku-buku sirah Nabi Muhammad.

Jadi, sekali lagi saya ingin meminta maaf. Selama ini saya terfikir-fikir nak letak tajuk apa untuk update blog ni tapi tak dapat-dapat idea juga. Itu yang jadi lama sangat tak update. Jadi hari ini saya mula semula.

Ermm, rupa-rupanya susah juga saya nak konsisten dalam dunia penulisan ni. Apapun saya akan berusaha untuk jadi lebih baik lagi. Akhir kata saya ingin meminta maaf lagi. Rasanya tak salah kalau saya ulang tulis ayat ‘saya ingin meminta maaf’ banyak kali sebab lagi pun tajuk artikel kali ni ialah maaf.

Maaf, maaf, maaf, maaf, maaf…
Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!