Halaman

Selasa, 29 September 2015

Doa Agar Diberi Ilmu yang Bermanfaat

Doa Agar Diberi Ilmu yang Bermanfaat

اَللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُبِكَ مِنْ قَلْبٍ لَا يَخْشَعُ، وَمِنْ دُعَاءٍ لَا يُسْمَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لَا تَشْبَعُ، وَمِنْ عِلْمٍ لَا يَنْفَعُ، وَأَعُوذُبِكَ مِنْ هَوُلَاءِ الْأَرْبَعِ.

Ya Allah, aku memohon perlindungan-Mu daripada hati yang tidak khusyuk, doa yang tidak didengari, jiwa yang tidak pernah berasa puas dan daripada ilmu yang tidak bermanfaat. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada keempat-empat hal tersebut.

Isnin, 28 September 2015

Cuti Lagi

Hari ni tak payah pergi kerja. Hari ni cuti lagi. Jadi, hari ni adalah hari cuti tambahan. Cuti sebab darurat. Darurat yang dimaksudkan itu ialah jerebu. Ada kawasan berada pada tahap yang tidak sihat dan amat tidak sihat.

Kena duduk rumah. Kena kurangkan melakukan aktiviti di luar. Kalau ada, kena pakai topeng penutup mulut untuk menjaga kesihatan.

Ok la... not bad... masa yang ada ni boleh la siapkan kerja-kerja yang belum siap. Manfaatkan masa.

Rasa rileks sikit... tak stress sangat sebab semalam dan kelmarin dah sibuk dengan program hari keluarga di rumah pak cik di Sekinchan. Jadi, hari ni saya akan cuba selesaikan kerja-kerja yang telah tertangguh itu, insya-Allah.

Jumaat, 25 September 2015

Aidil Adha 1436H, Takbir Raya, Khutbah & Ceria Selalu



اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ،
لَا إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Takbir di atas boleh diulang-ulang sebanyak tiga kali atau lima kali atau tujuh kali atau lebih.

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ. اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْراً، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيْراً، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً. لَا إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلَّا إِيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الْدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ، لَا إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزاَبَ وَحْدَهُ. لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Bila mendengar takbir raya pasti terasa sayu. Takbir di Malaysia memang begini. Dari kecil sampai besar, beginilah alunan takbir rayanya. Sehinggakan pernah di benak saya berkata, “takbir raya memang alunannya sedih ke?”

Beza masa saya belajar di yaman, alunan takbir raya mereka lain daripada kita. Boleh dikatakan semua tempat di negara-negara orang Arab, alunan takbir raya mereka sama. Ramai orang yang mengaji di Timur Tengah kata alunan takbir raya orang Arab ini bersemangat dan bertenaga. Hal ini kerana hendak menunjukkan bahawa mereka sedang bergembira.

Hal ini memang benar. kalau kita gembira contohnya, nada suara kita akan menjadi lebih kuat, cergas, aktif, bersemangat dan penuh keyakinan. Adapun apabila kita bersedih, nada suara kita pun sebaliknya.

Manakan tidak, orang Arab memang dikenali dengan perwatakan yang kasar, lasak, gagah dan berani. Mereka tinggal di gurun padang pasir yang panas, kurang air dan pokok, banyak batu-batuan, berbukit-bukau dan bergunung-ganang.

Manakala kita orang Melayu yang tinggal di Malaysia ini dikatakan oleh orang Arab bahawa tempat kita ini adalah syurga dunia. Di samping itu, kita dikenali sebagai bangsa yang lemah-lembut, bersopan-santun dan berbudi bahasa.

Bagi saya tidak kisahlah bagaimana bunyi alunan takbir raya itu, yang penting kita banyakkan bertakbir, bertahmid, bertasbih dan bertahlil kepada Allah s.w.t. Bukan sahaja pada hari raya sahaja bahkan pada hari-hari biasa pun kita mesti perbanyakkan berzikir kepada-Nya.

Khutbah

Sebenarnya saya merindui hendak mendengar khutbah sama ada khutbah Jumaat atau Hari raya yang disampaikan oleh khatib dengan penuh bersemangat dan lantang. Barulah tidak mengantuk dan banyak menguap.

Apabila dengar terus rasa bersemangat. Rasa bermotivasi. Rasa hendak tingkatkan amalan soleh. Rasa insaf apabila mendengar tentang perkara-perkara yang berkait dengan dosa, pahala, syurga dan neraka.

Inilah kerinduan yang saya alami. Kalau masa belajar di terengganu dulu bolehlah pergi ke Masjid Rusila dengar khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Tuan Guru apabila berkhutbah atau berucap memang nampak bersemangat.

Sememangnya saya suka kepada perkara-perkara yang boleh menaikkan semangat. Bagi saya, sesuatu yang bersemangat adalah suatu kesungguhan yang lahir daripada diri seseorang. Macam ada aura gitu. Baiklah, sebagai mengakhiri kata-kata, janganlah sedih-sedih, ceria-cerialah selalu.

Khamis, 24 September 2015

Selasa, 22 September 2015

Salafi Dan GHB Atau PAN

Ketika Mat Sabu bersama-sama dengan PAS sehingga beliau mencapai rekod menjadi timbalan presiden PAS, kecoh seantero Malaysia yang menggembar-gemburkan bahawa beliau berfahaman Syiah serta membawa fahaman tersebut menyerap masuk ke dalam PAS dan Malaysia.

Namun, selepas wujudnya PASMA atau G 18 atau Gerakan Harapan Baru (GHB) atau Harapan Baru atau Parti Islam Progressif atau KITA atau Parti Amanah Negara (PAN) atau Parti Pekerja-Pekerja Malaysia (untuk memudahkan pembacaan kita guna perkataan GHB atau PAN sahaja) tidaklah kedengaran isu Syiah terhadap beliau.

Tup-tup kedengaran ramai golongan salafi yang begitu berminat untuk menyertai GHB. Kemudian, mereka pun masuk GHB. Kenapa mereka masuk GHB? Adakah kerana GHB adalah sebuah gerakan Islam yang memang membawa kepada kebenaran?

Mungkin ada orang yang diluar sana akan membuat hipotesis bahawa kemasukan berama-ramai daripada golongan salafi ke dalam GHB menunjukkan bahawa GHB adalah sebuah jemaah yang lebih memperjuangkan Islam daripada PAS. Hipotesis yang lain ialah Mat Sabu bukan Syiah. Atau beliau adalah pejuang Islam sebenar, kot.

Kenapa setelah wujudnya GHB atau PAN tidak dimainkan lagi isu mengenai Syiah? Why? Why? Why? Mungkin ini propaganda politik semata-mata. Mungkin.

Kalau dulu bukan kemain menghentam PAS dengan mengaitkan PAS ada kena-mengena dengan Syiah. Hal ini kerana ada ura-ura yang menyatakan bahawa dalam kalangan pimpinan PAS ada yang berfahaman Syiah. Rupa-rupanya pimpinan yang dimaksudkan itu sudah keluar dari PAS. 

Katakanlah, suatu ketika dulu dalam PAS memang ada orang Syiah kemudian mereka keluar daripada PAS, ini bermaksud PAS kini dianggotai oleh orang-orang yang benar-benar ikhlas, bersungguh-sungguh, bersih hatinya dari sifat munafik dan istiqamah dalam perjuangan Islam. 

Alhamdulillah, kini PAS bersih daripada fitnah Syiah. PAS bukan Syiah. PAS adalah sebuah jemaah yang memperjuangkan Islam dengan berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah dan dasarnya memang Islam.

Apabila difikir-fikirkan, seolah-olah ada dalang yang merancang supaya sesuatu isu itu menjadi hangat, disebarluaskan dan diperbahaskan melalui pelbagai media sehingga mencetuskan suasana yang tidak menyenangkan, menyamankan, selesa dan mengganggu ketenteraman, keamanan, keharmonian dan kesejahteraan pihak yang dilibatkan dan dijadikan mangsa. 

Kini, yang menjadi tanda tanya ialah kenapa ramai golongan salafi masuk GHB atau PAN? Adakah golongan salafi ada membuat kerjasama dengan golongan Syiah? Isu Syiah memang telah selesaikah? Di manakah PASMA? Adakah PASMA itu ialah GHB atau PAN? Benarkah ta’adud jemaah itu suatu perkara yang menguntungkan umat Islam? Siapakah yang berpecah? Siapakah punca perpecahan? 

Selain itu, kenapa semasa muktamar PAS yang lalu Ustaz Ahmad Awang bertanding untuk pemilihan presiden tetapi apabila dalam GHB atau PAN beliau tidak menjadi pengerusi sedangkan semasa itu beliau nampak beriya-riya hendak menjadi presiden PAS, sebaliknya Mat Sabu yang menjadi presiden GHB atau PAN dan Salahuddin Ayub menjadi timbalannya?

Sungguhpun demikian, sekarang Ustaz Ahmad Awang menyandang jawatan sebagai Penasihat Umum PAN. Oh, ya! Adakah dulu beliau ingin menjadi Mursyidul Am PAS tetapi jawatan tersebut tidak dipertandingkan maka beliau pun bertanding dalam pemilihan presiden?

Kesemua di atas adalah persoalan-persoalan yang bermain-main di minda saya sahaja. Kepada anda yang juga merupakan orang yang sentiasa berfikir dan mempunyai pemikiran-pemikiran yang hebat dan brilliant, maka fikir-fikirkanlah dan jangan lupa tepuk dada tanya iman.

Isnin, 21 September 2015

Berlapang Dada Apabila Pandangan Ditolak

Setiap manusia mempunyai pandangan yang berbeza. Berbeza pandangan adalah perkara biasa yang berlaku dalam kehidupan ini. Berbeza pandangan boleh berlaku ketika sedang bermesyuarat, berbincang, bersembang, berkomunikasi dan sebagainya. Perbezaan pandangan juga boleh berlaku dalam sebuah keluarga, komuniti, kampung, kumpulan, jemaah, persatuan, parti, organisasi, syarikat, parlimen, kerajaan dan negara.

Walau bagaimanapun, apabila berlaku perbezaan pandangan yang boleh mencetuskan suasana yang tegang maka hal ini memerlukan kebijaksanaan dalam mengurus dan menanganinya supaya tidak berlaku pergaduhan, perselisihan faham, bertikam lidah, label-melabel dan perkara-perkara yang mendatangkan kerugian yang besar kepada agama, masyarakat dan negara.

Perkara yang perlu disedari adalah apabila sesuatu pandangan ditolak, maka mestilah bersikap berlapang dada. Ini adalah sikap, adab dan akhlak yang baik sebagai seorang Islam. Kita tidak boleh merasakan bahawa pandangan kita sahaja yang betul dan brilliant, pandangan orang lain salah dan tidak boleh dipakai. Semua orang kena ikut dan terima pandangan kita semata-mata. Seharusnya sikap seperti ini mestilah dielakkan.

Setiap perbincangan yang diadakan tentulah mempunyai tujuan atau matlamatnya. Antara tujuan berbincang adalah seperti untuk menyelesaikan sesuatu masalah, melaksanakan sesuatu tugasan dengan lebih efisien dan efektif, mendapatkan maklumat dan idea-idea baru, membina kekuatan dalam dan luaran, dan sebagainya. Namun demikian, masalah lain akan timbul apabila ada segelintir individu yang tidak bersikap berlapang dada, matang dan profesional dalam menghadapi perbezaan pendapat. Hal ini akan mengeruh dan memburukkan lagi keadaan sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Pada mulanya untuk mendapatkan kesepakatan dan kekuatan tetapi apabila tidak bersikap berlapang dada, matang dan profesional maka hal lain jadinya. Yang lebih memburukkan keadaan ialah apabila berlakunya keretakan ukhuwah dan perpecahan sesama ahli. Di manakah wehdatul fikr dan wehdatul amal yang dipraktikkan selama ini?

Adalah tidak wajar apabila pandangan ditolak terus berasa diri tidak dihargai, berasa hati, berkecil hati, tidak puas hati, berdendam, terkilan, merajuk, putus angin, mengoyakkan sijil dan mahu keluar daripada jemaah atau parti contohnya. Tidak wajar juga menyatakan kepada pihak yang tidak mahu menerima pandangan kita itu adalah orang yang jumud, lembab, lambat pick up dan berbagai-bagai label yang lain. Budaya label-melabel seharusnya dijauhkan kerana budaya ini ibarat merendah-rendahkan maruah, kewibawaan, kethiqahan, kepercayaan dan rasa hormat terhadap pihak yang dilabelkan itu.

Adalah lebih baik bersikap seperti Saidina Umar al-Khattab. Pandangan beliau pernah ditolak oleh Rasulullah s.a.w apabila beliau mencadangkan agar tawanan badar dibunuh namun beliau menerimanya dengan hati yang terbuka dan tidak berkeras kepala. Dalam peristiwa tersebut, Rasulullah s.a.w menerima pandangan Saidina Abu Bakar yang mencadangkan supaya tawanan badar ditebus. Selepas keputusan dibuat, turunlah wahyu Allah s.w.t:

مَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَنْ يَكُونَ لَهُ أَسْرَىٰ حَتَّىٰ يُثْخِنَ فِي الْأَرْضِ تُرِيدُونَ عَرَضَ الدُّنْيَا وَاللهُ يُرِيدُ الْآخِرَةَ وَاللهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (٦٧)

Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Al-Anfal: 67)

Lalu, Rasulullah s.a.w dan Saidina Abu Bakar menangis kerana teguran Allah s.w.t itu. Sebaik sahaja Saidina Umar melihat mereka menangis, beliau pun turut menangis sama padahal beliau tidak mengetahui sebab mereka menangis. Hal yang sebenarnya adalah Allah lebih menerima cadangan Saidina Umar. Sebaik sahaja mengetahui hal sebenar, Saidina Umar tidaklah bersikap mendabik dada dengan menyatakan bahawa cadangannya mesti diterima sejak dari awal-awal lagi atau cadangan beliaulah yang paling betul, tepat, benar, bernas dan brilliant.

Oleh hal yang demikian, kita haruslah bertasamuh atau berlapang dada dalam berbeza pandangan. Contohilah akhlak ulama muktabar terdahulu seperti Imam Malik bin Anas Rahimahullah. Beliau berkata: “Aku hanya manusia biasa yang mana pendapat aku mungkin benar dan mungkin salah. Maka telitilah pendapat yang aku kemukakan. Semua pendapat yang selaras dengan al-Quran dan as-Sunnah maka ambillah ia manakala yang tidak selaras dengan al-Quran dan al-Sunnah, tinggalkanlah.” Contohi juga akhlak Imam As-Syafi’i Rahimahullah yang menyebut: “Pandanganku benar namun boleh jadi salah, pandangan orang lain salah namun boleh jadi benar.”