Halaman

Jumaat, 25 September 2015

Aidil Adha 1436H, Takbir Raya, Khutbah & Ceria Selalu



اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ،
لَا إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Takbir di atas boleh diulang-ulang sebanyak tiga kali atau lima kali atau tujuh kali atau lebih.

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ. اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْراً، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيْراً، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً. لَا إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلَّا إِيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الْدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ، لَا إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزاَبَ وَحْدَهُ. لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Bila mendengar takbir raya pasti terasa sayu. Takbir di Malaysia memang begini. Dari kecil sampai besar, beginilah alunan takbir rayanya. Sehinggakan pernah di benak saya berkata, “takbir raya memang alunannya sedih ke?”

Beza masa saya belajar di yaman, alunan takbir raya mereka lain daripada kita. Boleh dikatakan semua tempat di negara-negara orang Arab, alunan takbir raya mereka sama. Ramai orang yang mengaji di Timur Tengah kata alunan takbir raya orang Arab ini bersemangat dan bertenaga. Hal ini kerana hendak menunjukkan bahawa mereka sedang bergembira.

Hal ini memang benar. kalau kita gembira contohnya, nada suara kita akan menjadi lebih kuat, cergas, aktif, bersemangat dan penuh keyakinan. Adapun apabila kita bersedih, nada suara kita pun sebaliknya.

Manakan tidak, orang Arab memang dikenali dengan perwatakan yang kasar, lasak, gagah dan berani. Mereka tinggal di gurun padang pasir yang panas, kurang air dan pokok, banyak batu-batuan, berbukit-bukau dan bergunung-ganang.

Manakala kita orang Melayu yang tinggal di Malaysia ini dikatakan oleh orang Arab bahawa tempat kita ini adalah syurga dunia. Di samping itu, kita dikenali sebagai bangsa yang lemah-lembut, bersopan-santun dan berbudi bahasa.

Bagi saya tidak kisahlah bagaimana bunyi alunan takbir raya itu, yang penting kita banyakkan bertakbir, bertahmid, bertasbih dan bertahlil kepada Allah s.w.t. Bukan sahaja pada hari raya sahaja bahkan pada hari-hari biasa pun kita mesti perbanyakkan berzikir kepada-Nya.

Khutbah

Sebenarnya saya merindui hendak mendengar khutbah sama ada khutbah Jumaat atau Hari raya yang disampaikan oleh khatib dengan penuh bersemangat dan lantang. Barulah tidak mengantuk dan banyak menguap.

Apabila dengar terus rasa bersemangat. Rasa bermotivasi. Rasa hendak tingkatkan amalan soleh. Rasa insaf apabila mendengar tentang perkara-perkara yang berkait dengan dosa, pahala, syurga dan neraka.

Inilah kerinduan yang saya alami. Kalau masa belajar di terengganu dulu bolehlah pergi ke Masjid Rusila dengar khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Tuan Guru apabila berkhutbah atau berucap memang nampak bersemangat.

Sememangnya saya suka kepada perkara-perkara yang boleh menaikkan semangat. Bagi saya, sesuatu yang bersemangat adalah suatu kesungguhan yang lahir daripada diri seseorang. Macam ada aura gitu. Baiklah, sebagai mengakhiri kata-kata, janganlah sedih-sedih, ceria-cerialah selalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan