KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata,
Pas ada kekuatan sendiri dan tidak akan bergabung dengan parti baharu yang
sedang dalam proses didaftarkan, Parti Amanah Negara (PAN) atau kini dikenali
dengan Parti Pekerja Malaysia (PPM).
Beliau berkata, pengalaman lalu banyak mengajar Pas supaya lebih
berhati-hati untuk bekerjasama dengan parti politik lain.
"Sehingga ini Pas dengan tegas tidak menerima parti baharu itu
dan konsisten dengan pendirian selama
ini," katanya kepada pemberita semasa ditemui ketika menghadiri sidang
Dewan Undangan Negeri (Dun), di sini, hari ini.
[ ARTIKEL BERKAITAN: PPM sedia bekerjasama dengan Pas ]
Mengenai status Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul
Bahrin Shah Raja Ahmad yang diminta meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat Pas
setelah menyertai PPM, Abdul Hadi berkata beliau akan dengar dahulu laporan
daripada Badan Perhubungan Pas negeri dan Pas Pusat sebelum mengambil sebarang
tindakan.
Ketika ditanya kemungkinan ahli Pas akan menyertai perhimpunan yang
dicadang diadakan pada 16 September ini, Presiden Pas itu berkata, beliau akan
melihat dahulu apa pengisian program berkenaan.
"Hari Kebangsaan kita sama-sama sambut, sebab itu baru-baru ini
kita tidak menyertai perhimpunan Bersih kerana ia bertembung dengan Hari
Kebangsaan, kita menghormati Hari
Kebangsaan," katanya. – Bernama
Sumber: Sinar Harian
Saya tertarik dengan berita ni sebab tajuk dia nampak gempak. Apa pun jangan baca tajuk saja, baca isinya sekali baru faham apa mesej yang nak disampaikan.
BalasPadamSemoga PAS benar-benar kuat.