Assalamualaikum. Apa khabar semua? Saya harap semua sihat wal-afiat hendaknya.
Dalam kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut maal hijrah kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan dunia amnya. Kini, masuk tahun Islam telah masuk ke tahun 1434.
Sedar atau tidak, umur semakin bertambah dan usia ke alam barzakh dan hari akhirat semakin dekat. Yang pasti azam bagi tahun baru hijrah sudah tentu tahun ini lebih baik daripada tahun lepas. Marilah kita rasakan bahawa kita mesti mahu kehidupan di dunia yang baik dan juga kehidupan akhirat yang baik. Kita mesti mahukan kehidupan, agama dan akhirat kita adalah dalam kebaikan.
Sekiranya kita berfikrah haraki pasti kita mahukan perjuangan Islam ini diteruskan, digiatkan, dilipatgandakan dan diperkukuhkan. Kita mahukan Islam didaulatkan dan syariatnya tertegak di atas muka bumi ini.
Kita mahukan hari-hari yang berlalu adalah hari yang terbaik. Hari-hari yang dilalui adalah dengan mengamalkan cara hidup Islam. Kita mahu perkara-perkara mungkar itu dicegah setiap hari. Ini kerana kita hanya sukakan kebaikan dan bencikan kemungkaran.
Inilah niat baik yang diperbaharui. Inilah azam baik yang diperbaharui. Ini juga berkait dengan jihad kita dalam perjuangan Islam. Ini kerana jihad itu berkait dengan bersunguh-sungguh. Kita mesti ada kesungguhan. Kita mesti bersungguh-sungguh dalam berjuang untuk Islam.
Sekiranya memang benar kita katakan kita mahu berhijrah atau melakukan perubahan ke arah yang lebih baik maka kita pasti akan menyatakan perancangan hidup kita adalah berjuang, berkorban dan terkorban untuk Islam.
Inilah yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Mereka berhijrah dari Mekah ke Madinah. Sanggup meninggalkan harta benda dan kemewahan yang ada di Mekah. Ada juga yang sanggup menggadaikan jiwa dan nyawa. Secara keseluruhannya mereka berkorban harta, nyawa, masa, tenaga dan fikiran untuk Islam. Semuanya adalah demi menegakkan Islam di atas muka bumi.
Jadi, kita bagaimana? tepuk dada tanya iman. Fikir-fikirkanlah. Sewajarnya kita juga hendaklah mempunyai semangat, perancangan, strategi, kebijaksanaan, kekuatan tenaga dan material, serta keistiqamahan seperti mereka.
Oleh hal yang demikian, kita mesti menegaskan bahawa kita mesti berjuang, berkorban dan terkorban untuk Islam. Wallahu'alam.
Sekian sahaja kalam saya pada kali ini. Insya-Allah berjumpa lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan