Halaman

Khamis, 29 November 2012

Antara Ingat Dan Lupa

Assalamualaikum. Apa khabar semua? Saya harap semua sihat wal-afiat hendaknya. Bertemu kembali kita pada kali. Semoga ceria, gembira dan bahagia selalu. Semoga dihindarkan daripada penyakit lupa.

Manusia ada satu penyakit, iaitu penyakit lupa. Jadi, manusia tidak terlepas daripada sifat lupa. Apabila lupa manusia akan buat silap dan salah. Mungkin kesilapan kecil atau besar. Apabila ingat baru terfikir sepatutnya buat begini bukan begitu dan begitulah seterusnya.

Beginilah keadaan sifat lupa yang dialami oleh manusia. Semua orang tidak terlepas daripada penyakit ini. Sama ada dia seorang raja, perdana menteri, polis, tentera, bomba, cikgu, ulama, ustaz, petani, doktor, pak imam, pak bilal, tok siak, penceramah motivasi dan sebagainya pasti akan lupa. lupa yang terjadi itu mungkin sekali-sekala atau boleh juga berlaku banyak kali. Semua itu mungkin bergantung atas individu mengikut kadar atau tahap keupayaan otak masing-masing.

Sebab itu kadang-kadang semasa kita solat berjemaah di belakang imam. Ada ketikanya imam terlupa atau tersilap bacaan selepas surah al-fatihah, terkurang atau terlebih rakaat, tertinggal rukun solat dan sebagainya. Kadang-kadang begitu juga dengan kita sekiranya solat bersendirian. Namun, kalau solat berjemaah makmum boleh menegur imam seperti membetulkan bacaan, menyebut subhanallah dan imam buat sujud sahwi diikuti makmum. Manakala solat sendirian sekiranya lupa rakaat atau tertinggal rukun kita disunatkan buat sujud sahwi. Wallahu’alam.

Kisah begini samalah juga terjadi kepada orang yang menghafal al-Quran dan penuntut ilmu. Seringkali mengalami sifat lupa. Belajar dan hafal hari ini, esok lusa lupa. Jadi, kena sentiasa mengulang baru ingat. Kalau lama sangat tidak mengulang maka hafalan tersebut akan hilang atau susah untuk diingati.

Dalam Kitab Riadhus Sholihin yang ditulis oleh Imam Nawawi dalam tajuk “Perintah Berta'ahud Kepada Al-Quran, Memelihara Dan Membacanya Secara Tetap Dan Menakut-nakuti Berpaling Daripadanya Kerana Kelupaan” ada menyebut daripada hadis Rasulullah s.a.w.:

عن أبي موسى رضي الله عنه ، عن النبي (ص) قال: تعاهدوا هٰذَا القُرْآنَ فَوَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَهُوَ أَشَدُّ تَفَلُّتاً مَنَ الإِبِلِ فِي عُقُلِهَا. (متفق عليه)

Maksudnya: Dari Abu Musa r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: Berta'ahudlah kepada al-Quran yakni peliharalah untuk selalu membaca al-Quran itu secara tetap waktunya, sebab demi Zat yang jiwa Muhammad ada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, nescayalah al-Quran itu lebih sangat mudah terlepasnya daripada seekor unta yang ada di dalam ikatan talinya. (Muttafaqun 'alaih)

عن ابن عمر رضي الله عنهما، أن رسول الله (ص) قال: إِنَّمَا مَثَلُ صَاحِبِ الْقُرْآنِ كَمَثَلِ الإِبِلِ المُعَقَّلَةِ، إِنْ عَاهَدَ عَلَيْهَا أَمْسَكَهَا، وَإِنْ أَطْلَقَهَا، ذَهَبَتْ. (متفق عليه)

Maksudnya: Dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Hanyasanya perumpamaan orang yang menghafal al-Quran di luar kepala adalah sebagaimana perumpamaan seekor unta yang diikat. Jikalau ia terus langsung mengikatnya, dapatlah ia menahannya  tidak sampai lepas dan lari dan jikalau ia melepaskannya, maka itupun pergilah. (Muttafaqun 'alaih)

Pengajaran dan iktibar yang boleh boleh diambil daripada dua hadis ini ialah orang yang menghafal al-quran mesti bersungguh-sungguh memelihara hafalan al-Quran supaya tidak lupa. Mereka juga mestilah sentiasa membaca al-quran serta mengulangi hafalan al-quran. Adapun semasa menghafal sesuatu hafalan mereka mesti menghafal banyak kali. Sekiranya lupa hafal lagi. Kaedah ini boleh juga digunakan untuk penuntut ilmu di bidang lain.

Apabila sebut tentang lupa, maka teringat saya tentang pengalaman ketika menjawab soalan peperiksaan. Hari sebelum menjawab kertas soalan peperiksaan, bukan main bersusah-payah menghafal nota atau kitab. Namun demikian, ketika hendak menjawab soalan tiba-tiba lupa jawapannya. Puas mengingat dan berselawat namun tidak ingat-ingat juga. Akhirnya, jawab mengikut kefahaman sendiri.

Sesekali terfikir juga sebab berlakunya hal demikian. Pada saya mungkin disebabkan sikap terburu-buru ingin cepat siap dan hantar. Tidak mahu duduk lama-lama di dewan peperiksaan. Selepas menghantar kertas jawapan lalu keluar dari dewan peperiksaan kemudian belek semula kitab didapati jawapan yang dijawab itu tidak betul dan tepat. Perasaan pun menjadi hampa. Sabar sajalah.

Berlakunya lupa juga mungkin disebabkan kurang membaca dan mengulang kaji. Tidak memanfaatkan masa yang lama untuk mengulang kaji. Mungkin ulang kaji last minute atau saat-saat akhir. Inilah keburukannya apabila kurang persediaan.

Sebenarnya banyak cara untuk menguatkan ingatan. Menurut Sheikh Muhammad Saleh Al-Munajjid, seorang ulama, pensyarah dan penulis daripada Arab Saudi petua menguatkan ingatan adalah seperti:

1. Jauhi daripada dosa.
Dosa membawa kesan yang buruk kepada ingatan/memori dan kemampuan untuk mengingati ilmu. Kehitaman dosa tidak dapat wujud sekali dengan kecerahan ilmu. Perkataan berikut diambil daripada Imam Syafie:

شَكَوتُ إِلَى وَكِيعٍ سُوءَ حِفْظِ     فَأَرْشَدَنِي إِلَى تَرْكِ الْمَعَاصِي

فَاعْلَمْ أَنَّ الْعِلْمَ نُورٌ                 وَنُورُ اللهِ لاَ يُهْدَى لِعَاصِي
 
Maksudnya: Saya mengadu kepada guru saya, Wakee' mengenai masalah ingatan saya. Dia memberitahu agar menjauhi daripada dosa dan maksiat. Dia berkata: Ilmu Allah adalah cahaya, dan cahaya tidak diberikan Allah kepada pendosa.

Al-Khateeb menulis dalam Al-Jamie yang Yahya Ibn Yahya berkata, “ Seorang lelaki bertanya kepada Malik bin Anas; Wahai Abu Abdullah, apakah yang dapat memperbaiki ingatan saya?.  Malik berkata: Ada yang dapat memperbaikinya, maka ia adalah menjauhkan diri daripada dosa".

Apabila seseorang membuat satu dosa, ia akan menenggelamkan pelakunya dalam perasaan bimbang dan bersalah, dan ini akan membuatnya sentiasa sibuk memikirkan akan perbuatannya itu. Ini akan menariknya daripada banyak perkara-perkara berfaedah, termasuk mencari ilmu dan pengetahuan.

2. Selalulah mengingati Allah dengan berzikir dan membaca Al-Quran.
Firman Allah s.w.t.:

وَاذْكُرْ رَبَّكَ إِذَا نَسِيتَ (٢٤)

Maksudnya: Dan ingatilah Tuhanmu (Allah) ketika kamu terlupa. (Al-Kahf: 24)

3. Tidak makan terlalu banyak
Kerana makan terlalu banyak akan membuatkan seseorang mengantuk dan malas selain menambahkan penyakit. Kebanyakan daripada penyakit datang daripada makanan dan minuman.

4. Makan kismis dan madu
Sesetengah ulama menyebut beberapa jenis makanan yang dapat menambahkan ingatan seperti madu lebah dan kismis. Imam Az-Zuhri menyebut, "Kamu patut mengambil madu sebab ia baik untuk memori. Barangsiapa ingin menghafal hadith, ia patut memakan kismis".

Ada juga yang menyebut, mengambil banyak makanan yang berasid adalah penyebab kepada kemalasan dan lemah ingatan.

Selain itu, ada lagi cara untuk menguatkan ingatan menurut kajian pakar sains, kesihatan dan motivasi. Namun demikian, terlebih dahulu saya ingin meminta maaf tentang sumber artikel yang saya ambil ini. Saya sudah lupa dan bahan artikel itu telah lama diambil di internet. Ini pun kira penyakit lupa juga. Mungkin anda juga boleh cari sendiri di internet untuk mengetahui maklumat tentang cara menguatkan ingatan serta dari sumber yang terbaru.

Baiklah, kita sambung kembali supaya tidak lupa. Secara ringkasnya, cara menguatkan ingatan menurut kajian tersebut adalah seperti:

1. Membaca Al-Quran
2. Banyakkan membaca
3. Belajar sesuatu yang baru
4. Fokus
5. Menyebut sesuatu maklumat dengan kuat dan berulang kali
6. Mengawal tekanan
7. Elakkan kemurungan
8. Bersenam
9. Amalkan tidur yang cukup
10. Awasi pengambilan ubat
11. Berhati-hati dengan pengambilan vitamin atau makanan tambahan
12. Bermain sesuatu permainan yang dapat merangsang dan mencabar minda.
13. Bermain dengan angka

Kesimpulannya, manusia perlukan banyak mengingat dan menghafal, peringatan, tazkirah dan nasihat supaya dapat mengurangkan sifat lupa. Seterusnya selamat beramal dengan cara menguatkan ingatan seperti yang disebutkan tadi. Sebelum terlupa, jangan lupa berdoa kepada Allah s.w.t.. Berdoalah kepada Allah s.w.t. agar diberikan ingatan yang kuat, baik, jelas, tajam dan bertahan lama.

Sekian sahaja kalam saya pada kali ini. Insya-Allah berjumpa lagi. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan