Halaman

Sabtu, 28 Januari 2012

Target Saya Dalam Kerja-Kerja Mengajar


Target yang saya buat ini adalah untuk melihat pencapaian yang terbaik kepada diri saya sendiri dan anak-anak murid saya.

Antaranya adalah seperti berikut:

1. Saya ingin melihat pelajar belajar dengan bersemangat dan bersungguh-sungguh. Hadir ke sekolah dengan bersemangat dan bersungguh-sungguh. Contohnya, sejak pagi lagi telah menunjukkan semangat dan kesungguhan hendak belajar. Menunjukkan sikap bersemangat dan bersungguh-sungguh seolah-olah tidak sabar-sabar menanti guru yang akan mengajar di kelas mereka. Mereka umpama telah bersedia untuk menimba ilmu.

2. Saya ingin melihat pelajar berasa seronok dengan belajar. Hadir ke sekolah dengan perasaan yang gembira. Mempunyai perasaan suka dan seronok datang ke sekolah. Menjadikan sekolah tempat yang seronok untuk menimba ilmu. Belajar dengan hati yang gembira atau kerelaan hati dan bukan terpaksa. Bukan kerana dipaksa oleh ibu bapa mereka tetapi mereka sendiri yang mahu dan suka datang ke sekolah. Kadang-kadang saya terfikir bagaimana hendak buat seperti begitu? Bagaimanapun, sememangnya saya ingin hati mereka berasa gembira. Saya ingin mereka yang masih kanak-kanak ini hidup dalam keadaan yang gembira dan bahagia. Saya tidak mahu mereka bersedih. Mereka tidak sepatutnya bersedih kerana dunia kanak-kanak adalah dunia yang sepatutnya dipenuhi dengan kegembiraan dan kasih sayang.

3. Saya ingin melihat pelajar lemah boleh dan pandai membaca. Saya ingin mereka boleh bersaing dengan pelajar lain. Pada saya keutamaan mereka ialah mesti pandai membaca. Apabila sudah pandai membaca maka mereka akan mudah untuk mempelajari ilmu-ilmu yang lain. Dengan pandai membaca juga mereka pasti akan pandai menulis dan mampu menghafal ilmu pelajaran. Ini bermakna permulaan bagi untuk memperoleh ilmu mesti dengan pandai membaca. Jadi, mereka mesti pandai membaca. Mereka mesti berusaha dengan bersungguh-sungguh. Mereka mesti bersungguh-sungguh belajar membaca sehingga pandai membaca. Malah, saya juga turut mesti bersungguh-sungguh mengajar mereka membaca sehingga pandai membaca. Saya ingin menerapkan dalam diri mereka supaya suka membaca dan dijadikan amalan.

4. Saya ingin melihat pelajar pandai berkawan dengan pelajar sederhana dan lemah serta membantu mereka dalam pelajaran. Mereka bukan sahaja berkawan dengan ahli kelas sendiri tetapi mereka juga berkawan dengan pelajar dari kelas-kelas lain. Saya ingin mereka memperluaskan hubungan persahabatan. Dengan persahabatan itu mereka akan berbincang dan bertukar-tukar fikiran tentang pelajaran serta membantu rakan mereka yang lemah dalam pelajaran. Saya ingin menerapkan dalam diri mereka tentang mengeratkan hubungan silaturrahim atau ukhuwah dan sikap suka tolong-menolong dalam hal kebaikan.

5. Saya ingin melihat pelajar suka membaca buku. Menjadikan membaca buku sebagai amalan. Bukan setakat suka membaca tetapi rajin membaca. Mesti banyakkan membaca untuk menambahkan ilmu pengetahuan dan maklumat. Jika ada masa lapang maka gunakan masa itu dengan membaca. Bukannya menghabiskan masa dengan bersembang sesama rakan. Hal itu seperti membuang dan mensia-siakan masa. Sebagai penuntut ilmu maka membaca mesti menjadi satu tabiat, amalan dan perkara yang digemari. Selain itu, membaca mesti menjadi suatu keutamaan dalam diari penuntut ilmu. Tiap-tiap hari membaca buku. Kalau tidak mampu membaca berjam-jam bacalah sekadar dalam setengah jam misalnya atau mengikut kadar kemampuan diri. Yang penting dalan sehari mesti ada aktiviti membaca buku. Selain membaca buku dijadikan amalan jangan pula lupa membaca al-Quran.

6. Saya ingin melihat pelajar suka menghafal ilmu pelajaran. Saya ingin melihat mereka kuat menghafal. Saya ingin melihat mereka sentiasa meningkatkan usaha menghafal. Ini adalah antara cara untuk mengingati ilmu dan meningkatkan kekuatan serta keupayaan daya ingatan. Dikatakan apabila kita kuat menghafal maka ingatan kita juga semakin tajam dan kuat. Saya rasa kalau sejak kecil lagi sudah dididik, dilatih dan dibiasakan dengan kuat menghafal maka hafalan pada waktu masih kecil itu akan ingat sampai ke dewasa. Ini untungnya kalau sudah terbiasa dengan menghafal sejak kecil lagi.

7. Saya berharap pelajar mudah menerima ilmu dan faham akan ilmu. Dalam hal ini, mereka mesti memberi sepenuh perhatian ketika belajar. Mesti fokus 100%. Mesti jauhkan diri daripada gangguan seperti bunyi bising. Kalau ada juga maka mesti melawan gangguan itu dengan sedaya yang mungkin dan tidak mempeduli atau menghiraukan gangguan tersebut. Ketika belajar mesti ada kesabaran, kesungguhan, ketekunan dan kegigihan.

8. Saya pula mesti mampu mengajar mereka dengan lebih berkesan dan kreatif, serta dapat menarik minat mereka tehadap pelajaran. Hal ini pula memang banyak kali saya fikirkan. Susah juga hendak mengajar dengan berkesan dan kreatif. Maklumlah saya bukannya belajar dalam bidang pendidikan. Saya tidak ambil diploma pendidikan. Mungkin guru yang dari diploma pendidikan tahu cara yang terbaik untuk mengajar. Walau bagaimanapun, saya tetap terus berusaha memperbaiki kelemahan semasa mengajar. Saya juga mesti terus mencari dan belajar kaedah-kaedah mengajar yang betul, sesuai dan menepati standard.

Demikianlah lapan target yang saya buat untuk setakat ini. Saya berharap agar target ini berjaya, amin. Oleh hal yang demikian, sewaktu saya sedang menulis target hati saya terlintas untuk berdoa seperti ini:

Ya Allah, berikanlah aku hati yang bersih supaya ilmu yang diajarkan oleh guruku mudah masuk ke dalam hatiku dan dapat diterima oleh hatiku.

Ya Allah, berikanlah aku hati yang bersih supaya ketika aku menjadi guru, aku mudah mengajarkan ilmu kepada anak muridku serta ilmu yang diajarkan itu mudah masuk ke dalam hati mereka dan dapat diterima oleh hati mereka.

Ya Allah, berikanlah aku hati yang bersih kerana sesungguhnya ilmu itu cahaya yang hanya akan masuk ke dalam hati yang bersih sahaja. Oleh itu, aku meminta kepada-Mu berikanlah aku hati yang bersih.

Amin...

Saya berdoa kepada Allah agar diberikan hati yang bersih kerana dengan hati yang bersihlah ilmu menjadi mudah masuk ke dalam hati dan dapat diterima oleh hati. Inilah yang saya fikirkan tentang hal yang berkaitan dengan ilmu kerana ilmu itu cahaya yang hanya akan masuk ke dalam hati yang bersih sahaja. Sesungguhya, ilmu yang diperoleh itu adalah dengan keizinan Allah. Maka sewajarnya kita meminta kepada Allah agar dipermudahkan mendapat ilmu dan kefahaman akan ilmu.

Sebagai mengakhiri coretan ini saya ingin mengajak diri saya dan anda semua, marilah sama-sama kita mengamalkkan doa ini:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ دُعَاءٍ لاَ يُسْمَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ، وَمِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَؤُلاَءِ الأَرْبَعِ. ‏
Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari hati yang tidak khusyuk, doa yang tidak dimakbul, nafsu yang tidak kenyang, ilmu yang tidak bermanfaat, aku berlindung kepada-Mu dari keempat hal itu.
(Hadis Riwayat Tirmidzi)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan