Tahu, mengetahui dan pengetahuan adalah antara perkataan-perkataan atau kalimah-kalimah yang biasa kita gunakan dalam kehidupan seharian. Namun demikian, adakah pasti kita sedar atau tahu dan mengerti tentang makna perkataan ini? Tanpa kita perasan dan sedari sememangnya perkataan ini berkait rapat dalam kehidupan kita. Oleh itu, terlebih dahulu saya kemukakan makna bagi perkataan tersebut.
Dalam Kamus Dewan Edisi Empat makna tahu, mengetahui dan pengetahuan adalah seperti berikut:
Tahu 1. maklum akan keadaan sebenarnya, faham, mengerti; 2. kenal (akan, pd), mengenal; 3. cekap lagi pandai melakukan sesuatu), bijak; 4. mengambil peduli, mempedulikan, mengendahkan; 5. sedar akan keadaan sebenarnya, insaf; 6. pernah (melakukan sesuatu), biasa, selalu; 7. menganggap sudah semestinya.
Mengetahui 1. tahu akan, memaklumi; 2. tahu setelah melihat tanda-tanda atau buktinya, mengenali; 3. mendapati, menginsafi, menyedari (akan); 4. mengerti akan, memahami.
Pengetahuan 1. perihal mengetahui, apa-apa yg diketahui; 2. perihal tahu, kepandaian, kebijakan; 3. = ilmu pengetahuan segala yang (akan) diketahui atau dipelajari berkenaan sesuatu; pengetahuan umum pengetahuan mengenai berbagai-bagai hal; berpengetahuan (banyak) mempunyai pengetahuan, berilmu, terpelajar.
Suka saya kaitkan perkataan tahu, mengetahui dan pengetahuan dengan ilmu. Hal ini kerana manusia pada asalnya bermula dengan tidak tahu. Tidak mempunyai ilmu. Manusia yang keluar dari rahim ibu yakni lahir ke dunia adalah dalam keadaan tidak tahu. Firman Allah s.w.t.:
وَاللَّهُ أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لاَ تَعْلَمُونَ شَيْئًا وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالأَبْصَارَ وَالأَفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (٧٨)
Maksudnya: Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur.
(An-Nahl: 78)
Proses manusia mempelajari ilmu adalah secara berperingkat-peringkat mengikut masa, usia dan pertumbesarannya. Bermula dengan menangis, menyiarap, merangkak, berjalan dan kemudian boleh berkata-kata. Setelah itu, manusia akan belajar membaca, menulis, mengira dan sebagainya sehinggalah peringkat yang lebih tinggi lagi seperti berfikir, mengkaji, menganalisis, dan lain-lain.
Pada zaman sebelum Nabi Muhammad s.a.w. dilantik menjadi rasul yang terakhir, masyarakat Arab di Mekah terdiri daripada golongan yang buta huruf. Mereka tidak tahu membaca dan menulis. Hal ini juga berlaku kepada nabi Muhammad s.a.w. bahawa baginda seorang yang ummiy, iaitu tidak tahu membaca dan menulis.
Dikisahkan ketika baginda beruzlah di gua hira’, baginda didatangi Malaikat Jibril lalu menyuruhnya membaca tetapi baginda menyatakan baginda tidak tahu membaca. Kemudian Malaikat jibril menarik baginda dan memeluknya dengan kuat kemudian melepaskannya. Peristiwa baginda disuruh membaca lalu dijawab tidak tahu membaca kemudian ditarik dan dipeluk oleh malaikat Jibril berulang sebanyak tiga kali sehingga Malaikat Jibril membacakan ayat-ayat daripada surah al-‘Alaq, ayat 1 hingga 5.
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ (١) خَلَقَ الإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ (٢) اقْرَأْ وَرَبُّكَ الأَكْرَمُ (٣) الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ (٤) عَلَّمَ الإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ (٥)
Maksudnya: 1. Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, 2. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. 3. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, 4. Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam, 5. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.(Al-‘Alaq: 1-5)
Peristiwa ini merupakan penurunan wahyu yang pertama kepada baginda sekaligus perlantikan sebagai rasul yang terakhir. Wahyu Allah s.w.t. yang pertama ini menyatakan bahawa ilmu adalah perkara utama bagi kehidupan manusia. Oleh sebab itu, seluruh umat Islam dituntut mencari ilmu.
Sehubungan dengan itu, kalau tidak tahu dan tidak pandai maka mesti kena belajar. Dengan belajarlah kita akan jadi tahu dan pandai. Inilah usaha kita untuk memandaikan diri atau menjadi orang yang berilmu atau orang yang berpengetahuan. Sesungguhnya sangat beruntung orang yang mencari ilmu seperti dalam hadis Nabi Muhammad s.a.w.:
عَنْ اَبِى هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ: اَنَّ رَسُوْلُ اللهِ ÷ قَالَ: وَمَنْ سَلَكَ طَرِيْقًا يَلْتَمِسُ فِيْهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَرِيْقًا اِلَى الْجَنَّةِ. (رَوَاهُ مُسْلِمٌ)
Maksudnya: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Barangsiapa yang menempuh sesuatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan di situ, maka Allah akan mempermudahkan baginya suatu jalan untuk menuju ke syurga.
(Riwayat Muslim)
Ketika menuntut ilmu ada dua cara yang mesti dilakukan, iaitu berusaha dengan bersungguh-sungguh dan berdoa kepada Allah s.w.t. supaya dipermudah dan dipercepatkan pemahaman dan pencapaian. Hal ini kerana kesungguhan dan doa akan mendatangkan hasil yang terbaik. Oleh itu, sukat atau hisablah tahap usaha dan doa anda. Berapa banyak kalikah usaha dan doa yang telah dilakukan?
Sememangnya manusia tidak tahu semua perkara. Apatah lagi ilmu yang dipelajari ada juga yang masih belum benar-benar difahami lagi. Oleh itu, cara untuk memperoleh ilmu atau maklumat atau pengetahuan bagi kedua-dua keadaan ini adalah dengan bertanya. Ini juga merupakan usaha dalam proses mencari ilmu dan semestinya tidak boleh berasa malu untuk bertanya. Pepatah ada menyebut, “malu bertanya sesat jalan” yang bermaksud kalau tidak mahu berusaha tidak mungkin mendapat kejayaan.
Bertanya adalah kunci kepada ilmu sebagaimana Imam Ibnu Syihab bin Az-Zuhry mengatakan: Ilmu merupakan gedung dan kuncinya bertanya. Sesuatu yang dapat mengeluarkan ilmu yang ada pada ulama ialah bertanya kepadanya. Hal ini bermanfaat bagi orang alim itu sendiri untuk memperlihatkan ilmunya yang selama ini disembunyikan dan ia malu menyebarkannya; juga berfaedah bagi murid supaya mengetahui sesuatu yang belum diketahuinya, memperkuat yang sudah diketahuinya dan meyakinkan yang ia masih ragu.
Dalam hal ini mestilah bertanya kepada guru, alim ulama, yang pakar, arif dan ahlinya seperti dalam firman Allah s.w.t.:
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ (٤٣)
Maksudnya: maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.
(An-Nahl: 43)
Mencari ilmu tidak semestinya di kelas atau di sekolah, di kolej dan di universiti tetapi di mana-mana pun boleh. Perkara yang dimaksudkan ialah ilmu boleh dicari di sekolah, kolej dan universiti kehidupan. Kita boleh belajar dengan orang-orang tua atau orang lama (istilah zaman sekarang), belajar dengan melihat alam yakni kejadian ciptaan Allah s.w.t., belajar tentang kehidupan dan suasana di kampung dan lain-lain. Hal ini menggambarkan bahawa banyak lagi ilmu yang belum kita pelajari dan terokai.
Sesungguhnya perkara yang mesti kita fahami dan sedari ialah ilmu yang dikurniakan oleh Allah kepada kita adalah sangat sedikit. Ilmu manusia amatlah terbatas atau terhad. Allah s.w.t menegaskan dalam firman-Nya:
وَمَا أُوتِيتُمْ مِنَ الْعِلْمِ إِلاَّ قَلِيلاً (٨٥)
Maksudnya: dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit. (Al-Isra’: 85)
Pengetahuan manusia dikatakan mempunyai batas-batas tertentu kerana mungkin manusia mencapai tahap kepakaran dalam suatu bidang khusus, tetapi tidak tidak alim atau tidak pakar dalam bidang yang lain. Dalam masa yang sama, akal manusia juga mempunyai kemampuan yang terbatas. Hal ini kerana akal manusia adakalanya lupa.
Oleh hal yang demikian, kita mesti sedar bahawa Allah s.w.t. Maha Mengetahui. Ilmu Allah adalah meliputi segala-galanya, mengetahui dengan menyeluruh dan selama-lamanya, dan tidak terbatas yakni Allah mengetahui tentang segala benda yang ada di langit dan di bumi, perkara ghaib, kejadian malam dan siang dan sebagainya. Firman Allah s.w.t:
وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لاَ يَعْلَمُهَا إِلاَّ هُوَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَمَا تَسْقُطُ مِنْ وَرَقَةٍ إِلاَّ يَعْلَمُهَا وَلاَ حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الأَرْضِ وَلاَ رَطْبٍ وَلاَ يَابِسٍ إِلاَّ فِي كِتَابٍ مُبِينٍ (٥٩)
Maksudnya: Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji-pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz).
(Al-An’aam: 59)
Subhanallah. Maha Suci Allah daripada segala sifat kekurangan. Allah sentiasa bersifat dengan sifat Yang Maha Agung, Yang Maha Mulia, Yang Maha Tinggi dan Yang Maha Besar. Sesungguhnya ilmu Allah tidak akan dan pernah habis. Keluasan ilmu Allah tidak tehingga seperti dalam firman-Nya:
قُلْ لَوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَنْ تَنفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا (١٠٩)
Katakanlah: Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).
(Al-Kahfi: 109)
Beginilah sifat keagungan dan ketinggian Allah s.w.t. betapa sungguh kerdilnya diri kita yang mempunyai sifat kekurangan, lemah, lupa dan alpa. Bagaimanakah kedudukan, martabat atau darjat kita di sisi-Nya sekiranya tidak mahu tunduk, patuh dan taat kepada perintah-Nya? Adakah kita layak dan berhak melawan dan ingkar perintah-Nya? Adakah benar dan selayaknya jika dia mengaku menjadi hamba Allah tetapi masih melawan, ingkar, dan mempersenda-sendakan hukum-hukum-Nya serta mempersenda-sendakan ayat-ayat-Nya?
Siapalah kita untuk melawan kehendak-Nya sedangkan Dialah yang menciptakan kita, memberi rezeki-Nya dan nikmat-Nya yang banyak kepada kita. Kita pula menumpang tinggal di bumi-Nya, menghirup udara dan oksigen yang segar, mendapat sinaran cahaya matahari pada waktu siang, dan mendapat kerehatan dengan udara yang dingin pada waktu malam yang gelap. Siapakah kita untuk berasa besar diri dan hebat? Fikir-fikirkanlah. Tanyalah kepada diri sendiri. Tepuk dada tanya iman.
Oleh hal yang demikian, marilah kita mengambil iktibar daripada sifat Allah s.w.t. Yang Maha Mengetahui. Kita mesti sedar bahawa masa ataupun ilmu kita adalah terbatas dan singkat. Sungguhpun umur kita terlalu singkat, namun kita mesti berusaha menurunkan tahap kejahilan yang membelenggu diri dengan meningkatkan penguasaan ilmu. Usaha yang dilakukan ini supaya dapat mengubah diri menjadi insan yang semakin mengenali Tuhan Yang Maha Mengetahui serta mendekatkan diri kepada-Nya.
Sekian, Wallahu’alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan