Halaman

Selasa, 25 Oktober 2011

Ilmu Letaknya Di Dalam Dada

Sewaktu saya belajar dulu, setiapkali tiba musim peperiksaan kelihatan pelajar-pelajar sibuk membaca buku di luar dewan peperiksaan sebelum masa menjawab kertas soalan bermula. Kadang-kadang saya terfikir bahawa seolah-olah mereka memerlukan masa yang banyak lagi untuk ulang kaji pelajaran. Sebelum-sebelum ni bagaimana? Tak cukup lagikah ulang kaji?

Kadang-kadang saya terkfikir alangkah baiknya jika budaya ini berlaku bukan sahaja pada hari-hari peperiksaan malah pada hari-hari biasa atau hari ada kuliah.

Peribahasa Arab ada menyatakan:

الْعِلْمُ فِي الصُّدُورِ لا فِي السُّطُورِ


Ilmu itu sebenarnya terletak di dalam dada bukannya terletak di dalam buku.

Apabila ilmu letaknya di dalam dada maka ke mana-mana saja kita pergi kita akan membawa ilmu bersama-sama. Pergi ke sekolah, ke pasar, ke hospital, ke masjid, ke rumah, ke kampung, ke bandar, ke, bukit, ke gunung, ke sungai, ke laut dan ke mana-mana saja kita bersama dengan ilmu.

Ilmu sangat penting kepada kita. Ilmu adalah penyelamat, pembantu, pembimbing, penunjuk jalan dan pembeza yang baik dan buruk. Apabila berdepan dengan sesuatu perkara atau masalah maka pada masa itu ilmu sangat berguna dan bermanfaat kepada kita. Oleh sebab itu ilmu mesti ada dalam hati supaya dapat membantu kita pada masa-masa yang diperlukan. Oleh Hal yang demikian tidak timbul perasaan susah hati, resah-gelisah dan tergesa-gesa sehingga perlu membelek kitab. 

الْعِلْمُ فِي الصُّدُورِ لا فِي السُّطُورِ
Ilmu itu sebenarnya terletak di dalam dada bukannya terletak di dalam buku.

Bagaimana untuk membolehkan ilmu tersimpan baik dalam hati?

Daripada pembacaan saya, ketika menuntut ilmu kita mesti beri perhatian atau tumpuan atau fokus. Pada ketika itu hati yang tenang mudah menerima ilmu masuk ke dalam hati. Fikiran dan hati mesti berada di dalam kelas bukan berkhayal, termenung dan tidur. Mata melihat dan telinga mendengar guru yang mengajar. Oleh sebab itu kita mesti menjaga hati supaya ilmu dapat disimpan dalam hati dengan baik.

Hati yang tenang dan terhindar daripada gangguan maka menyebabkan hati bersedia untuk menerima dan menyimpan ilmu dengan baik. Barulah tidak menghidap penyakit lupa dan tidak ingat.

Jadi, keadaan diri mesti bersedia untuk belajar. Jagalah hati daripada gangguan. Fokus, peka dan cakna pada pelajaran dan pengajian. Ingat, ilmu letaknya di dalam hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan