Halaman

Sabtu, 3 September 2011

Islam Pembawa Rahmat

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ (١٠٧)
Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.
(Al-Anbiya’: 107)

Alhamdulillah, seharusnya kita berasa bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana diberikan nikmat Islam dan iman. Kita juga diberikan hidayah dan taufiq-Nya. Mudah-mudahan kita sentiasa berada di jalan-Nya, di jalan yang lurus dan benar. Kita juga sentiasa istiqamah dalam mengamal dan melaksanakan perintah-Nya sama ada yang disuruh mahupun yang dilarang-Nya.

Alhamdulillah, kesyukuran ini diucapkan setinggi-tinggi dan sebanyak-banyak kesyukuran kepada Allah kerana kita dilahirkan sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w.. Daripada bagindalah kita mengenal Islam, iman dan ihsan. Kita kenal akidah bahawa mesti beriman dan mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. sahaja. Kita kenal syariat sebagai suatu perkara yang memudahkan untuk kita menjalani kehidupan ini megikut kehendak-Nya. Kita juga kenal akhlak yang membentuk hati, rohani dan jiwa kita supaya menjadi manusia yang baik dan dapat memakmurkan bumi ini pun dengan baik.

Nabi Muhammad s.a.w. telah mengeluar dan membebaskan manusia daripada syirik. Seperti yang kita tahu bahawa sebelum kelahiran baginda, manusia hidup dalam keadaan jahiliah, iaitu jahil tentang agama. Mereka menjadikan makhluk seperti batu, kayu, laut, gunung, matahari dan lain-lain sebagai sembahan. Sebenarnya Tuhan yang berhak disembah ialah Allah s.w.t..

Akibat penyelewangan yang berlaku terhadap agama dengan mengada-adakan perkara baru serta mengubah mengikut hawa nafsu mereka dalam ajaran yang dibawa oleh nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad s.a.w. maka mereka telah menjadi sesat lagi menyesatkan. Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. adalah rahmat sekalian alam. Ini adalah berita gembira kepada semua yang ada di alam ini. Baginda membawa Islam yang menjadi cahaya, iaitu memandu manusia ke jalan yang lurus.

Sejarah telah membuktikan bahawa akal manusia sangatlah terbatas. Oleh sebab itu, manusia mesti berpandukan kepada wahyu Allah s.w.t.. Kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. ke dunia ini sebagai wakil Allah s.w.t. untuk mengajarkan al-quran kepada manusia. Baginda mengajar dan menerangkan perintah-perintah Allah s.w.t. yang terdapat dalam al-Quran. Apabila manusia mengerti dan hidup mengikut Islam maka sudah tentulah hidup mereka akan hidup akan selamat di dunia dan di akhirat.

Semua orang yang hidup di dunia ini memang hendak hidupnya selamat di dunia dan di akhirat. Namun, jika mereka tidak mahu ikut Islam, al-Quran, dan Nabi Muhammad maka bagaimana mereka akan tahu cara untuk menyelamatkan diri mereka di dunia dan di akhirat. Kalau ketika di dunia berdepan dengan kebakaran, banjir dan sebagainya tentu kita masih boleh menyelamatkan diri tapi kalau di akhirat bagaimana nak selamatkan diri. Bayangkan ketika di padang mahsyar, di titian sirat al-mustaqim, di neraka tempat orang yang kena azab Allah s.w.t. tentunya tidak boleh melarikan diri ke tempat yang selamat melainkan dengan Islam.

Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. sebagai penyelamat kepada manusia. Kita kena fikir bahawa kita mesti berada dalam keadaan yang selamat di akhirat sana sebab di sana tiada orang yang boleh bantu kita lagi. Nafsi nafsi. Di dunia, kalau kita susaha kita boleh minta bantuan daripada orang lain tapi kalau di akhirat hendak minta bantuan daripada siapa. Sebab itulah kita mesti ikut Islam. Cara hidup mengikut manhaj Islam. Cara hidup yang bersyariat. Halal haram, dosa pahala dijaga dan diambil kira.

Benda yang menjadi bekalan kita ada di akhirat ialah buku amalan. Baik atau buruk. Inilah penentunya. Di samping amalan, kerja buat itu juga dinilai oleh Allah s.w.t. dari sudut keihklasan kepada-Nya. Sebab syarat masuk ke syurga-Nya bukanlah amalan soleh yang banyak semata-mata tetapi orang yang boleh masuk ke syurga-Nya adalah kerana mendapat rahmat-Nya.

Kesimpulannya, Islam pembawa rahmat kepada sekalian alam. Semua makhluk atau hidupan yang ada di alam ini menjadi baik, aman, bahagia, selamat dan sejahtera dengan Islam.

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ (١٠٧)
Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.
(Al-Anbiya’: 107)

Sekian, wallahua’alam. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan