Halaman

Selasa, 27 September 2011

Prihatin Terhadap Isu Semasa

Zaman sekarang adalah zaman dunia tanpa sempadan. Zaman yang boleh mendapatkan maklumat terkini dengan pantas. Dengan teknologi maklumat yang ada kita akan menjadi orang terkehadapan dengan isu-isu semasa. Kalau kita tidak mengambil tahu tentang isu semasa maka dibimbangi kita akan menjadi orang yang ketinggalan zaman.

Pada hari ini banyak isu semasa yang baru dan terkini. Setiap hari kita akan dihidangkan dengan isu semasa. Isu semasa ini boleh didapati melalui surat khabar, televisyen, radio, internet dan lain-lain. Pada hari untuk mendapatkan maklumat dengan cara yang lebih mudah dan pantas adalah dengan internet.

Mendapatkan maklumat dan pengetahuan tentang isu semasa sudah menjadi antara perkara penting bagi kehidupan kita pada hari ini. Antara isu semasa yang terdapat dalam media massa adalah seperti politik, ekonomi, perdagangan, perniagaan, pekerjaan, agama, pendidikan, undang-undang, sosial, sukan, hiburan dan lain-lain.

Terpulang juga kepada kita untuk mencari maklumat yang berkait dalam negara, luar negara, antarabangsa dan sebagainya. Walaupun tidak tahu semua maklumat namun sekurang-kurangnya tidak ketinggalan daripada mengambil tahu isu semasa tentang negara. Hal ini kerana supaya kita tahu perkara-perkara yang sedang berlaku pada hari ini.

Kepekaan kita terhadap isu semasa pada hari ini ialah apabila kita berjaya mendapat maklumat yang tepat, benar dan telus. Kita juga berusaha untuk mendapatkan maklumat bukan sahaja daripada satu pihak tetapi dua, tiga pihak bahkan dengan maklumat tersebut kita tidak akan membuat kesimpulan yang salah, dan jauh daripada salah faham dan salah tafsir tentang sesuatu maklumat.

Dalam menerima sebarang berita atau maklumat perkara yang mesti dilakukan ialah maklumat itu mesti diselidik, dikaji dan diteliti dengan cermat terlebih dahulu. Kita kena pastikan daripada siapa sesuatu maklumat disampaikan, sumber maklumat pula mestilah sahih dan lain-lain. Oleh hal yang demikian, barulah kita boleh membuat keputusan dan tindakan yang betul, dan tidak merugikan kita.

Pada hari ini saya tidak bercadang hendak mengulas tentang isu semasa yang berlaku di negara kita mahupun di mana-mana sahaja. Meskipun saya tidak biasa menulis tentang isu semasa dalam blog saya namun saya bukanlah orang yang tidak mengambil tahu langsung tentang isu semasa. Bukanlah bererti saya tidak mengendahkan perkara yang sedang berlaku.

Pada hari ini saya merasakan bahawa masih belum pandai hendak menulis atau mengulas tentang isu semasa. Oleh sebab itu sangat jarang sekali dalam blog saya menyentuh hal-hal isu semasa. Saya bimbang akan berlaku kesalahan dalam menulis, mengulas, memberi pandangan, mentafsir dan memahami maklumat, dan berbagai-bagai kesalahan yang lain.

Pada hari ini saya hanya pandai membaca dan mencari isu semasa sahaja. Kalau sembang dengan kawan-kawan pun belum tentu saya dapat berbual-bual tentang isu semasa dengan baik. Ada yang ingat, ada yang tidak ingat. Ada yang betul, ada yang salah. Masih banyak perkara yang perlu dipelajari. Masih banyak isu semasa yang perlu dibaca dan diketahui.

Walau bagaimanapun, saya merasakan pentingnya kita semua mendapatkan maklumat yang betul, benar, tepat dan telus. Tujuannya supaya kita tidak ditipu dan terpengaruh oleh media massa yang berat sebelah, pihak-pihak yang berkepentingan dan sebagainya. Maklumat yang salah boleh membawa kepada fitnah, perbalahan, permusuhan, pergaduhan dan sebagainya. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk mengelakkan perkara demikian berlaku. Hal ini juga menunjukkan sikap kita yang prihatin, peka, fokus, cakna, waspada dan berhati-hati.

Firman Allah s.w.t.:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ (٦)
Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.
(al-Hujurat: 6)

Akhir kata daripada saya, diingatkan sekali lagi bahawa kita mesti bersikap prihatin, peka, fokus, cakna, waspada dan berhati-hati terhadap maklumat yang diterima.

Sekian, Wallahu’alam.

Isnin, 26 September 2011

Pagi Yang Sibuk

Bangun pagi teringat ada kerja yang belum setel lagi. Rasa menggelabah. Cuak pun ada. Pening kepala memikirkannya bagaimana nak selesaikannya.

Mulalah rasa malas, letih, mengantuk, tak bermaya, dan berputus asa.

Perasaan tadi bertembung dengan perasaan serba salah sekiranya tak buat kerja-kerja yang mesti disiapkan itu.

Kelam-kabut jadinya. Tergesa-gesa. Nak cepat. Fikiran kusut, serabut, bercelaru dan buntu. Tension, tension, tension. Pressure. Sekarang dalam tekanan. Dalam ketegangan.

Rileks. Tenang, tenang. Bawa bertenang. Tenangkan fikiran. Rileks. Selesaikan kerja dan masalah satu-persatu. Buat kerja dengan tidak laju sangat dan tidak lambat sangat.

Fikiran mesti positif. Fikiran mesti optimis. Fikir yang baik-baik akan berlaku nanti. Jangan fikir yang bukan-bukan. Jangan buat berbagai-bagai andaian buruk seperti kena marah, tak sempat siapkan kerja dan sebagainya. Jangan mengalah. Jangan berputus asa.

Suatu perkara yang mesti diingatkan ialah jangan kata kalau untuk perkara yang sudah berlaku. Contohnya, kalau ada benda ni mesti dah siap pagi ni, kalau buat malam tadi atau semalam mesti kerja ni dah siap dan sebagainya.

Banyak sangat kata kalau. Kalau, kalau, dan kalau. Tak habis-habis nak menyatakan kalau bagi perkara yang dah berlaku. Nampak sangat nak menyalahkan sesuatu apabila sedang mengalami masalah dan kesusahan. Nampak sangat benda yang dikalaukan itu sangat penting untuk menyiapkan kerja. Padahal benda tu tak sabit pun.

Sebenarnya kesemua itu bergantung kepada cara kita menyelesaikan kerja dengan cara memudahkannya, membuat sesuatu berdasarkan kemampuan dan memanfaatkan apa-apa yang ada di sekeliling kita.

Kita boleh fikirkan caranya sebab kita ada akal. Akal digunakan untuk berfikir. Gunakan akal dengan sebaiknya dan optimumkan penggunaannya untuk memajukan diri. Adapun kerja, mesti ada perancangan dan pelaksanaan yang baik seperti lakukan kerja dengan teratur, buat susunan kerja dengan kemas dan bekerja dengan sistematik.

Sekian, Wassalam.

Ahad, 25 September 2011

Alam Belajar Dan Alam Pekerjaan

Apa kaitannya antara alam belajar dan alam pekerjaan dalam hidup saya? Sebenarnya saya ingin menceritakan tentang masa yang paling best antara belajar dan bekerja. Antara dua alam itu apakah alam yang paling saya sukai? Saya ingin menceritakannya di sini tentang perkara ini. Sebabnya saya telah pernah mengalami kedua-dua alam ini. Masing-masing ada keistimewaannya tersendiri, dan ada pro dan kontranya.

Alam Belajar
Pada saya, sudah tentulah alam belajar lagi best. Banyak keistimewaannya. Masa belajar ialah masa yang menyeronokkan. Seronok yang dimaksudkan ialah dapat mencari ilmu, sedang mengalami proses mencari ilmu dan mengalami suasana kehidupan yang dikelilingi dengan ilmu. Kenangan semasa belajar masih teringat-ingat hingga ke hari ni walaupun saya baru tamat belajar. Walaupun baru tamat tapi saya rasa masa belajar dengan masa sekarang seperti tak boleh dipisahkan. Kalau boleh nak belajar lagi.

Masa belajar la masa yang best. Bila dah bekerja nanti susah nak dapat peluang belajar lagi sebab banyak tanggungjawab. Memang betul. Masa belajar, banyak ilmu yang dipelajari. Tiap-tiap hari belajar ilmu yang baru. Bila belajar rasa semakin banyak yang tak tahu. Jadi, timbul dorongan ingin tahu banyak perkara. Tapi bila dah bekerja belum tentu kita akan update ilmu atau pengetahuan yang baru. Boleh jadi pakai apa saja yang ada. Maksudnya, setakat mana ilmu yang ada masa belajar dulu itulah yang akan digunakan ketika di alam pekerjaan sebab tak sempat nak baca dan hafal ilmu-ilmu baru. Alasannya sibuk, tak ada masa dan sebagainya. Memang betul.

Jadi, sebelum sibuk masa kerja nanti maka masa belajar nilah kena sibukkan diri dengan belajar. Cari ilmu sebanyak-banyaknya. Jangan nanti dah habis belajar baru rasa menyesal. Masa belajar adalah peluang untuk kita mencari ilmu sebanyak-banyaknya. Cari ilmu dengan guru-guru yang mendidik kita, alim ulama dan sebagainya. Cari ilmu di bilik kuliah, di perpustakaan, di kedai buku, di majlis ilmu, dan di mana-mana sahaja. Soal masa kita jugalah yang mesti pandai menguruskan masa untuk mencari ilmu.

Sabda Nabi Muhammad SAW:

عَنْ اَبِى الدَّرْدَاءِ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ ÷ يَقُولُ: مَنْ سَلَكَ طَرِيْقًا يَبْتَغِىْ فِيْهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَرِيْقًا اِلَى الْجَنَّةِ، وَاِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ اَجْنِحَتَهَا لِطَالِبِ الْعِلْمِ رِضًا بِمَا صَنَعَ وَاِنَّ الْعَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِى السَمَوَاتِ وَمَنْ فِى اْلاَرْضِ حَتَّى الْحِيْتَانُ فِى الْمَاءِ، وَفَضْلُ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ، وَاِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ اْلاَنْبِيَاءِ، وَاِنَّ اْلاَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرَّثُوْا دِيْنَارًا وَلَادِرْهَمَا، اِنَّمَا وَرَّثُوْا الْعِلْمَ، فَمَنْ اَخَذَهُ اَخَذَ بِخَطٍّ وَافِرٍ. (رَوَاهُ اَبُو دَاوُدَ وَالتُّرْمِذِىُّ)
Maksudnya: Dari Abu Darda’ r.a, katanya: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk mencari sesuatu ilmu pengetahuan di situ, maka Allah akan memudahkan untuknya suatu jalan untuk menuju syurga, dan sesungguhnya para malaikat itu nescayalah meletakkan sayap-sayapnya kepada orang yang menuntut ilmu itu, kerana redha sekali dengan apa yang dilakukan oleh orang itu. Sesungguhnya orang alim itu nescayalah dimohonkan pengampunan untuknya oleh semua penghuni di langit dan penghuni-penghuni di bumi, sampaikan ikan-ikan yang ada di dalam air. Kuetamaan orang alim atas orang yang beribadat itu adalah seperti keutamaan bulan atas bintang-bintang yang lain. Sesungguhnya para alim ulama adalah pewarisnya para Nabi, sesungguhnya para Nabi itu tidak mewariskan dinar ataupun dirham, hanyasanya mereka itu mewariskan ilmu. Maka barangsiapa dapat mengambil ilmu itu, maka ia telah mengambil dengan bahagian yang banyak sekali. (Riwayat Abu Daud dan Tirmizdi).

Hadis ni membuatkan saya rasa terkesima, teruja, terpesona, terpengaruh, suka dan kagum untuk menuntut ilmu. Menuntut ilmu dengan sebanyak-banyak. Saya hanyak fikir agar saya mendapat kelebihan tu. Sebab itu saya rasa seronok dengan belajar.

Alam Pekerjaan
Bila bekerja kita akan dapat gaji. Dengan gaji tulah kita buat belanja makan minum, tempat tinggal, pakaian, servis kenderaan, bayar bil air, api, elektrik, bayar sewa rumah dan sebagainya. Secara teori dan praktikalnya, kalau nak duit kena kerja. Masa dulu saya bekerja sebab nak kumpul duit untuk sambung belajar.

Walaupun dah bekerja, hati saya tetap berkobar-kobar nak belajar lagi. Saya tak teruja pun dengan kewangan yang diperoleh pada masa tu sehingga memadamkan niat saya hendak belajar. Semakin hari bekerja semakin kuat saya menyimpan duit untuk sambung belajar. Apabila duit semakin banyak saya tak terpengaruh untuk membeli-belah tetapi saya rasa lebih yakin untuk menyambug pelajaran.

Memang ada niat dalam hati nak beli macam-macam barang tapi saya tangguhkan dulu. Saya mengasingkan antara duit untuk beli barang dan sambung belajar supaya tidak bercampur dan terguna duit itu. Apabila duit untuk membeli barang sudah cukup baru saya gunakan duit tersebut. Bila ada duit, banyak benda boleh dibeli. Kalau saya, saya suka beli buku dan barang komputer. Ini barang yang saya suka beli.

Ini keadaan ketika saya bekerja. Masa tu saya berkemampuan untuk membeli apa-apa yang saya mahu. Walaupun asyik dengan bekerja saya tetap tidak lupa untuk sambung belajar. Pada masa tu saya tak rasa pun bekerja lagi bagus daripada belajar. Biasa saja, cuma bekerja ni kerana nak dapatkan duit. Itu saja. Tak ada pun saya rasa malas nak belajar lagi. Niat saya hendak belajar tu tak hilang walaupun ketika bekerja dulu tu banyak manfaat, kebaikan dan kelebihan yang saya dapat.

Saya akui bahawa dengan bekerja kita boleh buat amal ibadah, iaitu bersedekah. Bila ada duit kita bersedakah. Kalau masa belajar memang tak ada duit. Duit yang ada untuk belanja makan je. Terpaksa fikir banyak kali kalau nak bersedekah. Jadi, nak bersedekah kena tunggu bila ada duit lebih. Tapi bila belajar hadis konsep bersedekah ni luas tak semestinya bersedakah dengan duit je, ada banyak benda yang boleh digantikan untuk kita bersedekah. Untuk tahu perkara ni mestilah dengan ilmu juga. Ini pentingnya bila ada ilmu.

Sabda Nabi Muhammad SAW:

عَنْ سَعِيْدِ بن أَبِى بُرْدَةَ عَنْ أَبِيْهِ عَنْ جَدِّهِ عَنِ النَّبِىِّ ÷ قَالَ: عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ صَدَقَةٌ، قِيْلَ: أَرَأَيْتَ إِنْ لَمْ يَجِدْ؟ قَالَ: يَعْتَمِلُ بيديهِ فينفعُ نضَهُ ويتصدقُ. قَالَ: قِيْلَ: أَرَأَيْتَ إِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ؟ قَالَ: يُعِيْنُ ذا الحاجةِ الْمَلْهُوْفَ. قَالَ: قِيْلَ لَهُ: أَرَأَيْتَ إِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ؟ قَالَ: يَأْمُرُ بالمعروفِ أو الخيرِ. قَالَ: أَرَأَيْتَ إِنْ لَمْ يَفْعَلْ؟ قَالَ: يُمْسِكُ عَنِ الشَّرِّ فَإِنَّهَا صَدَقَةٌ. )رَوَاهُ مُسْلِم(
Maksudnya: Wajib atas setiap orang muslim untuk bersedekah. Dikatakan kepada beliau, Bagaimana bila ia tidak mampu? Beliau menjawab, Ia bekerja dengan kedua tangannya, sehingga ia menghasilkan kemanfaatan untuk dirinya sendiri dan juga bersedekah. Dikatakan lagi kepadanya, Bagaimana bila ia tidak mampu? Beliau menjawab, Ia membantu orang yang benar-benar dalam kesusahan. Dikatakan lagi kepada beliau, Bagaimana bila ia tidak mampu? Beliau menjawab, Ia memerintahkan dengan yang makruf atau kebaikan. Penanya kembali berkata, Bagaimana bila ia tidak (mampu) melakukannya? Beliau menjawab, Ia menahan diri dari perbuatan buruk, maka sesungguhnya itu adalah sedekah. (HR. Muslim).

Kesimpulannya, saya lebih suka belajar. Saya suka mencari ilmu. Saya juga suka bekerja. Dua-dua boleh belaka. Sama ada saya bekerja sambil belajar atau selepas belajar baru bekerja, iaitu semasa belajar saya hanya tumpu pada belajar sahaja.

Sekian, Wassalam.

Khamis, 22 September 2011

Cari Dunia Untuk Akhirat

Betul ke tajuk ni? Cari dunia untuk akhirat. Macam mana ye? Boleh ke cari dunia untuk akhirat? Kejap saya nak fikir dulu. Saya mesti cari jawapannya. Adakah mencari dunia untuk akhirat itu suatu perbuatan yang betul atau salah? Kalau betul saya mesti usahakannya. Kalau salah saya mesti menjauhinya.

Bila sebut dunia mesti berkait dengan material atau kebendaan. Bila sebut akhirat berkait dengan agama, akidah dan ibadah. Sejak habis belajar di KUDQI, fikiran saya tertumpu kepada nak cari duit banyak-banyak untuk sambung pelajaran. Saya rasakan setakat belajar 4 tahun di KUDQI, ilmu di dada masih tak cukup sangat. Lagi pula saya masih lemah dalam bahasa Arab.

Masa belajar dulu pun saya masih lemah bahasa Arab. Saya ingat bila belajar di Yaman contohnya, lebih kurang dalam 5 tahun saya rasa mungkin saya dah boleh menguasai bahasa Arab. Saya sering beralasankan lemah bahasa arab punca saya mendapat result exam sekadar lulus je. Saya rasa saya tak boleh buat alasan macam tu. Saya rasa bukan sebab tu tapi sebab sikap saya yang malas nak berusaha lebih, berusaha bersungguh-sungguh dalam menguasai bahasa Arab walaupun belajar di KUDQI, walaupun tak pernah sekolah agama atau ma’had. Saya rasa sebab sikap. Ya, memang sikap!

Saya tak boleh buat alasan sebab saya tak sekolah agama masa sekolah menengah, kurang belajar agama, tak belajar bahasa Arab. Saya tak boleh kata inilah yang saya mampu. Dapat makbul je. Tak boleh. Saya kena ubah sikap. Saya kena Ubah persepsi. Memang betul masa mula-mula masuk KUDQI banyak perkara yang saya tak tahu. Saya rasa saya zero. Tapi alhamdulillah bila dah belajar, lama-lama boleh la tahu sedikit sebanyak. Tak banyak pun yang saya tahu.

Malu juga rasanya, rendah diri pun ada bila dibandingkan dengan pelajar yang dapat jayyid jiddan dan jayyid. Jadi sebab tu saya fikir kalau saya belajar di Yaman saya rasa insya-Allah saya boleh kuasai bahasa Arab. Selepas tu boleh belajar ilmu agama dengan syeikh-syeikh arab. Boleh faham apa yang syeikh arab ajar. Boleh baca kitab-kitab agama yang berbahasa Arab. Ini bila waktu Yaman dah reda dari berperang la. Kalau sekarang tak boleh la. Kalau Yaman dah aman boleh pergi belajar di Yaman kot.

Jadi, sekarang ni bila dah habis belajar saya fikir kena cari duit banyak-banyak untuk sambung pelajaran. Kalau sekarang saya jadi tak kisah sangat nak belajar di mana pun, di Malaysia pun boleh memandangkan Yaman masih bergolak. Baik, sambung semula tentang cari dunia untuk akhirat. Kalau nak duit mesti kena kerja. Kalau nak cari duit banyak-banyak mestilah kena cari kerja banyak-banyak. Betul ke kaedah ni? Belasah aje. Ni trademark saya masa dulu-dulu. Tak semua benda boleh ‘belasah aje’ sebab takut nanti benda yang haram pun belasah aje. Tak boleh, tak boleh, tak boleh. Yang haram tak boleh ambil, tak boleh makan. Kena jaga molek la. Sebab benda yang dimakan tu nanti jadi darah daging. Mesti bersih. Kita mesti suci dan bersih dengan benda-benda yang halal, serta suci dan bersih daripada benda yang haram. Yang haram mesti dijauhkan.

Oleh sebab nak cari duit banyak-banyaklah itu yang saya rasa seperti cari dunia. Tapi saya bekerja, cari duit sebab nak belajar. Saya rasa lebih selesa dan senang cari duit dengan titik peluh sendiri, dengan bekerja untuk sambung pelajaran daripada minta sumbangan orang ramai. Kalau minta sumbangan zakat ke, sumbangan orang ramai ke, saya rasa macam tak best je. Bukan tak berani atau malu nak jumpa orang nak minta sumbangan, nak minta orang sponsor kita belajar. Bukan sebab tu. Tapi rasa lain macam je. Saya rasa mudah sangat nak minta sesuatu atau mengharap sesuatu daripada orang sedangkan saya mampu berusaha sendiri dengan bekerja mencari dana atau duit. Ini pandangan saya je. mungkin pandangan orang lain berbeza kot. Terpulanglah kepada orang lain yang mempunyai pandangan yang berbeza-beza. Kalau saya, bila cari duit sendiri ni saya rasa saya lebih berdikari, reti hidup susah, tak goyang kaki, dan tak berpeluk tubuh dengan meminta-meminta. Saya lebih cenderung atau berat cari duit sendiri daripada mengharap orang lain. Saya lebih berat kepada suka berdikari.

Kalau minta sumbangan atau sponsor untuk Jemaah atau persatuan saya ok je, saya tak kisah sebab duit tu nanti akan digunakan untuk ramai orang atau pelajar, buat program dan sebagainya. Memang duit tu nanti untuk buat program. Bila buat program memang akan digunakan untuk ramai orang. Kalau yang ni saya rasa sedap hati nak minta sponsor walaupun terpaksa tebalkan muka menahan rasa malu dan segan. Saya fikir dengan duit yang disumbangkan itu maka manfaatnya lebih banyak dan besar kerana duit itu akan digunakan untuk pelbagai perkara kepada ahli jemaah atau orang ramai. Di samping itu, orang yang memberi sumbangan kewangan mendapat pahala atau ganjaran yang banyak di sisi Allah.

Pada saya kalau sumbangan kewangan hanya diberikan kepada seorang individu sahaja maka duit itu akan diguna atau dimanfaatkan olehnya sahaja. Saya rasa lebih baik bagi sumbangan kepada orang yang bilangannya ramai seperti persatuan, kumpulan, badan pertubuhan dan sebagainya daripada seorang sahaja. Sebab itu saya tak nak cari sponsor untuk kepentingan saya seorang saja. Saya rela dan sanggup bersusah-payah mencari duit sendiri dengan bekerja.

Walau bagaimanapun, menurut kawan saya bahawa kalau duit zakat itu adalah memang hak kita, maka sudah tentu duit zakat itu akan menjadi hak kita juga. Jangan risau la. Kalau itu dah rezeki kita, memang kita akan dapat juga rezeki tu. Maknanya kalau kita adalah orang yang layak mendapat zakat mengikut syarat-syaratnya maka semestinya akan ada bahagian kita untuk dapat zakat. Oleh hal yang demikian, bab hak ni pun kena jaga juga, kena berhati-hati, kena tahu hukum, kena faham syariah sebab takut nanti terambil ataupun sengaja ambil atau buat-buat tak faham ambil hak orang. Ini bab zakat la.

Baik, berbalik kepada tajuk tadi, sekarang ni dalam fikiran saya macam-macam kerja yang saya nak cari dan buat. Harap-harap menjadilah. Tak tahu mana satu nak buat dulu. Tapi still relaks, tenang lagi. Tak nak pening-pening dan serabut bila fikir benda-benda macam ni. Ok, saya akan aturkannya baik-baik, satu-persatu nanti. Saya fikir kalau boleh kerja tu mendatangkan hasil yang lumayan dan berganda. Oh, kali ni sebut berganda je! kalau boleh semuanya nak berganda. Bukan tamak. Tak tamak. Tak ada pun niat nak tamak. Jauh sekali bersifat demikian. Minta jauh. Saya fikir kerja-kerja yang hasilnya lumayan itu adalah untuk mengurangkan bebanan kewangan keluarga saya, meyakinkan saya mampu menyambung pelajaran dari mula sehingga tamat, membuktikan saya mampu berdikari, melatih saya supaya berjimat-cermat, pandai simpan duit dan menguruskan kewangan dengan baik, mentarbiyah saya supaya banyak bersabar, tekun, gigih, dan bersungguh-sungguh ketika bekerja, dan lain-lain.

Saya mesti ada sikap bersungguh-sungguh supaya perancangan ini tercapai. Mudah-mudah dengan sikap bersungguh-sungguh semasa bekerja dapat mengajar dan mentarbiyah saya sentiasa dan lebih bersungguh-sungguh semasa belajar nanti. Saya mesti menjadikan sikap ini sebagai pendorong dan motivasi kepada diri saya. Saya mesti ubah cara belajar yang kurang bersungguh-sungguh itu. Saya mesti fikir untuk dapatkan yang terbaik daripada makbul. Saya mesti fikir bahawa dapat makbul ini adalah prestasi yang lemah. Saya mesti hindarkan mindset daripada pemikiran yang bertolak-ansur dengan gred makbul. Saya mesti berfikir di luar kotak pemikiran. Saya mesti berfikir dengan pemikiran anjakan paradigma.

Jadi, berkait hal kerja ni memang nampak macam cari dunia tapi niat saya nak menuntut ilmu. Dengan ilmu yang tersimpan dalam dada tu nanti saya nak ajarkan kepada orang lain supaya mereka memahami agama, beramal dengan ilmu tu, dan dengan ilmu itu juga saya akan gunakan untuk memperjuangkan Islam. Oleh hal demikian, nampaknya niat saya ni dah jadi ibadah. Saya berharap agar perbuatan yang dilakukan ini menjadi amalan kebajikan di akhirat kelak. Sebagai kesimpulan dunia yang dicari mestilah tidak menyerap masuk ke dalam hati, atau menguasai dan merajai hati. Oleh itu, saya menyeru kepada diri saya sendiri dan anda semua marilah kita bersama-sama menggandakan usaha, menggandakan kerja, menggandakan ibadah, menggandakan ingatan tentang kematian dan menggandakan rasa cinta kepada akhirat supaya selamat sejahtera hidup di dunia dan di akhirat.

Sekian, Wallahu’alam