Kisah dimulai dengan ramainya umat Islam mengerjakan umrah di Makkah al-Mukarramah. Kelihatan pada tahun ini ramai umat Islam yang berkemampuan mengerjakan umrah pada bulan Ramadhan. Kebarangkalian inilah peluang untuk merebut fadhilat yang terdapat dalam bulan puasa. Selain menjalani ibadah puasa pada bulan ramadhan di samping itu mereka mengerjakan umrah di Makkah agar dapat memperbanyakkan amalan-amalan soleh.
Melakukan amalan yang soleh pada bulan ramadhan akan digandakan pahalanya, apatah lagi melakukan amalan yang soleh di Makkah sudah tentu lebih lagi. Mungkin ini cita-cita orang yang mengerjakan umrah pada bulan Ramadhan. Wallauha’alam, ini sekadar pandanganku sahaja.
Subhanallah, kadangkala pernah terlintas dalam hatiku ini ingin melakukan perkara-perkara, iaitu sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w dalam kehidupan seharian. Namun, ku tidak berdaya dan mempunyai kekuatan untuk melakukan semua sunnahnya. Bagiku cukuplah apa yang kumampu lakukan. Jika aku boleh, alhamdulillah. Turut hatiku supaya menjadi tenang dan gembira semula.
Bila teringatkan umat Islam yang berada di Makkah sedang mengerjakan umrah, aku jadi teringat mereka yang sedang bertawaf mengelilingi ka’bah. Ya, mereka mengelilingi Ka’bah semasa melakukan tawaf sebanyak tujuh kali. Arahnya lawan jam sama seperti bumi yang berputar pada paksinya mengelilingi matahari. Subhanallah, indahnya peraturan dan penciptaan Allah ‘azzawajjala.
Jadi, ingatlah ketika jemaah umrah bertawaf mengelilingi ka’bah, ketika itu juga bulan mengelilingi bumi. Ketika bulan mengelilingi bumi, ketika itu juga bumi mengelilingi matahari. Ketika bumi dan planet-planet lain mengelilingi matahari, ketika itu juga matahari mengelilingi galaksi. Ketika matahari mengelilingi galaksi, ketika itu juga galaksi mengelilingi suatu yang lebih besar daripadanya. Sesetengah orang berpendapat itu ialah arasy, wallahua’lam.
Subhanallah, ketika ini masing-masing sedang bergerak menuju ke destinasi yang telah ditetapkan. Dengan pergerakan ini maka wujudlah pertukaran siang dan malam, pertukaran musim, pertukaran pasang dan surut air laut dan sebangainya. Semua yang terjadi ini menghasilkan pertukaran masa. Semua yang terjadi ini adalah daripada kekuasaan, kebijaksanaan dan keagungan Allah s.w.t. Wallahua’alam.
Kita juga pun bergerak dengan menggunakan kaki, motosikal, kereta, kapal layar dan kapal terbang. Inilah dinamakan nikmat bergerak. Allah telah memberikan nikmat bergerak kepada kita yang seharusnya kita bersyukur kepada-Nya. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah sebanyak-banyaknya. Apabila teringatkan hal ini hatiku menjadi sukar untuk membayang betapa sungguh banyak nikmat-Nya kepada semua makhluk-Nya. Ya Allah, sesungguhnya aku masih kurang mengingati dan bersukur pada-Mu. Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku, kedua ibu bapaku, guru-guruku, sahabat-sahabatku, dan sekalian umat Islam yang hidup dan telah meninggal dunia.
Sekiranya kita serius menjadi hamba-Nya yang soleh sepanjang hayat ini maka kita akan sedar bahawa hari ini kita telah berada pada hari Isnin, 6 september 2010 bersamaan 27 Ramadhan 1431 hijrah. Allah, cepatnya masa. Ramadhan hendak sampai ke penghujungnya. 10 Ramadhan yang terakhir hendak sampai ke penghujungnya. Dalam 10 Ramadhan terakhir dijanjikan kepada orang yang berpuasa pelepasan daripada api neraka. Dalam 10 Ramadhan yang terakhir itu juga terdapat satu malam yang dinamakan lailatul Qadar. Satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Jika dihitung, kira-kira 83 tahun. Beribadah pada malam ini akan mendapat ganjaran yang besar dan banyak daripada Allah. oleh itu, marilah berlumba-lumba melakukan amal ibadah kepada Allah.
Namun kini, 10 Ramadhan yang terakhir semakin hampir kepada satu Syawal. Jika melihatkan keadaan masyarakat kita waktu beginilah mereka sibuk menyiapkan kelengkapan untuk menyambut hari raya seperti beli baju baru, buat atau beli kuih raya, beli parabot baru, cat rumah, balik kampung dan sebagainya. Waktu begini jugalah adalah masa keemasan atau peluang kepada peniaga-peniaga. Siang malam mereka akan bekerja keras untuk berniaga. Cari duit sebanyak-banyaknya. Dapatkan keuntungan yang berlipatkali ganda. Walaupun penat atau lelah itu tidak dihiraukan lagi yang penting selagi sihat dan masih bernafas bisnes tetap bisnes.
“Duit mesti dicari sebab masa raya ni la nak kena guna banyak duit. Nak beli tu la… nak beli ni la… nak bayar bil air api, sewa rumah, keta, topup, kad kredit… macam-macam lagi nak gunakan duit. Jadi, masa ni tak boleh la nak goyang kaki ke… nak rehat ke… tido ke…. Kena cepat, tak boleh lengah-lengah nanti rugi… rugi... dan rugi…. Kita mesti mau dapat banyak untung woo.” Ini antara dialog peniaga yang biasa kudengar.
Ini kisah orang yang bernasib baik, tapi jika orang yang ditimpa musibah seperti kebakaran, kecurian, kematian, banjir, gempa bumi, ribut taufan dan peperangan tentunya mereka sedang bersedih. Padaku, setiap yang berlaku sama ada baik atau buruk akan ku kembalikan atau ku serahkan kepada Allah. Jika gembira alhamdulillah, jika sedih innalillah. Jika gembira bersyukur, jika sedih bersabar.
Jadi, dalam kesempatan ini inginku memuhasabah diri bagaimana ibadah puasaku sepanjang bulan ramadhan. Adakah aku telah banyak kali mengkhatamkan al-Quran? Adakah aku cukup 5 waktu solat fardhu secara berjemaah? Adakah aku telah berusaha besungguh-sungguh untuk khusyuk ketika menunaikan solat? Adakah aku banyak mengingati Allah sepanjang seharian? Adakah aku menjaga pandangan, pendengaran, lidah, fikiran dan hatiku? Adakah aku melakukan qiamullail setiap malam? Adakah aku memperbanyakkan sedekah? Adakah aku telah melaksanakan kewajipanku sebagai seorang anak kepada kedua ibu bapaku dalam mentaati mereka? Adakah aku telah mengikhlaskan niatku untuk melakukan amalan soleh, kebajikan dan yang dituntut oleh agama?
Aku mengharapkan agar moga-moga ibadah puasa pada tahun ini lebih baik daripada tahun lepas. Moga-moga amalan baik ini diterima oleh Allah. Moga-moga keyakinanku kepada Allah adalah tetap, utuh dan teguh. Kita tidak tahu sama ada kita akan bertemu kembali dengan bulan Ramadhan pada tahun hadapan. Jadi, saki-baki hari-hari terakhir bulan ramadhan ini disempurnakan dengan menjalani ibadah puasa yang terbaik sehingga mencapai tahap taqwa. Amin amin ya Rabbal ‘alamin.
Ramadhan yang kian meninggalkan kita