Satu lagi masalah yang tidak sepatutnya kita lupakan di hati ialah kemestian bersifat lemah lembut dalam mencegah kemungkaran dan menyeru pelakunya supaya melakukan kebaikan. Rasulullah s.a.w. telah berwasiat kepada kita agar sentiasa berlemah lembut dan baginda telah menjelaskan bahawa Allah menyukai sifat tersebut dalam setiap perkara. Jika sesuatu perkara disertai dengan sifat ini, ia akan kelihatan cantik dan jika sesuatu perkara itu tidak disertai dengannya ia akan kelihatan cacat.
Di anatara kisah yang boleh dibawakan di sini ialah kisah yang disebut oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din bahawa seorang lelaki telah pergi berjumpa Khalifah al-Makmun untuk menegur dan menyuruhnya berlaku baik tetapi dia menasihatinya secara kasar. Dia berkata: “Wahai orang zalim, wahai orang yang melakukan maksiat… dan seumpamanya.” Al-Makmun merupakan orang yang pandai dan lemah lembut. Dia tidak akan membalasnya dengan seksaan sepertimana yang dilakukan oleh kebanyakan pemimpin. Bahkan beliau berkata kepadanya: “Wahai saudara, berlemah lembutlah, sesungguhnya Allah telah mengutuskan orang yang baik daripada kamu kepada orang yang lebih jahat daripada aku… . Allah telah memerintahnya supaya berlemah lembut. Allah telah mengutuskan Nabi Musa dan Harun yang lebih baik daripada kamu kepada Firaun yang lebih jahat daripada aku. Allah berfirman kepada mereka berdua:
اذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى (٤٣) فَقُولاَ لَهُ قَوْلاً لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى (٤٤)
Terjemahan: Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia berhajat atau takut.
[Taha: 43-44]
Alasan yang disertai dengan ungkapan penghargaan “semoga ia beringat atau takut” walaupun sebelum itu Allah S.W.T. telah menyebut ketaghutan (melampaui batas) Firaun “sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya” adalah dalil yang menunjukkan bahawa pendakwah tidak boleh berputus asa terhadap orang yang didakwahnya walau seteruk mana kekafiran dan keazalimannya selagimana dia menggunakan jalan yang lemah-lembut dan sopan, dan bukannya jalan kekerasan dan kekuatan.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Muhammad s.a.w. serta ahli keluarganya dan juga para sahabatnya.
Sumber: Fiqh Daulah Menurut Perspektif Islam, Dr. Yusuf Al-Qardhawi, Terjemahan: Ustaz Haji Juanda Haji Jaya, m/s 203-204, Penerbit: Maktabah al-Qardhawi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan