Halaman

Ahad, 16 Mei 2010

Pertimbangan Ketika Membuat Keputusan

Pernah suatu ketika seseorang itu berfikir dengan masa yang lama. Kadang-kadang tu nampak seperti termenung panjang. Melangut dengan pandangan mata yang terlepas jauh. Entah apa yang difikirkan. Entah apa yang dilihatkan.

Jika diselidiki dia sedang berfikir hendak membuat keputusan. Menentukan keputusan yang paling betul. Susah benar rupanya hendak membuat keputusan. Tidak boleh buat secara semborono. Tidak boleh bersikap acuh tak acuh.

Seringkali juga kelihatan gelisah. Tak tentu arah. Mundar-mandir langkahnya sampai tiada sesiapa yang pasti tempat yang ingin ditujuinya. Beginilah perkara yang terjadi ketika hendak membuat keputusan. Harus membuat pertimbangan supaya tepat dan wajar.

Banyak lagi gelagat yang boleh dilihat tapi cukup sekadar ini sebagai contoh keadaan yang dialami oleh seseorang ketika berhadapan dengan masalah hendak membuat keputusan. Begitu juga dengan saya, anda dan kalian semua mesti sering berhadapan dengan situasi ini.

Boleh dikatakan setiap perkara yang hendak dilakukan dalam kehidupan seharian kita mesti perlukan suatu keputusan. Contohnya, kita mendengar azan zohor berkumandang, pada masa itu kita sedang sibuk hendak menyiapkan kerja. Jadi, kita pun berfikir tentang perkara yang mesti hendak didahulukan. Ini sekadar contoh saja.

Contoh lain, ketika bersarapan di kedai makan. Pada mulanya kita mahu makan nasi lemak dan minum air teh o’ saja tapi apabila ternampak ada sejenis kuih yang enak, kita pun berkira-kira sama ada mahu ambil ataupun tidak. Jika ambil maka bayaran akan menjadi lebih daripada bajet asal.

Beginilah pertimbangan ketika membuat keputusan. Kalau salah takut mendatangkan masalah. Kalau dibiarkan tanpa membuat sebarang keputusan juga mendatang masalah bahkan lagi besar masalahnya tanpa diduga. Tidak boleh tidak mesti buat keputusan. Kata yang tegas mesti buat keputusan!

Pada pandangan saya keputusan yang dibuat mesti mengambil kira matlamat, objektif yang hendak dicapat, bilangan tenaga kerja, sumber kewangan, kesesuaian masa, tempat, keadaan, dan lain-lain. Kebiasaan yang dilakukan ialah memberi cadangan, idea dan pandangan. Banyak cadangan yang boleh dikumpulkan. Selepas itu, setiap cadangan dinilai baik buruknya, dan manfaat mudharatnya.

Tapi susah juga kalau nak buat keputusan syura. Kena pilih antara dua. Yang paling banyak undian itulah keputusannya. Kalau nak menyanggahi keputusan tersebut berasa tindakan itu adalah tidak wajar. Nak tak nak kena terima dengan hati yang terbuka. Sebenarnya perkara yang penting ketika hendak membuat undian ialah berfikir panjang dan mendengar hujah yang kuat, benar dan lagi bernas. Walaupun hujah tersebut tidak disepakati ramai tapi jika mempunyai kebenarannya harus diterima.

Jika mahukan keputusan yang tergesa-gesa maka adakah itu suatu tindakan yang betul? Jadi, sama-samalah fikirkan.

Apabila hal ini diamati, maka betapa sukarnya hendak membuat keputusan yang melibatkan kehidupan seharian tapi menjadi mudah jika ada jalan penyelesaiannya. Namun, jika tersalah langkah bimbang terjerumus kepada kebinasaan, kesusahan dan kecelakaan. Sama-samalah minta kepada Allah agar dijauhkan daripada kebinasaan, kesusahan dan kecelakaan. Hal ini kerana bertepatan dengan kebanyakan individu suka kepada keputusan yang wajar, adil dan saksama. Semoga setiap perkara yang dilakukan mendapat keredhaan Allah.

P/s: sebagai orang Islam kita diajar melakukan solat istikharah supaya Allah memberi ketenangan hati ketika membuat keputusan dan keputusan yang dibuat mendapat keredhaan-Nya.

Sekian, Wallahu’alam.

Jumaat, 14 Mei 2010

Salah

“Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.”

Peribahasa ni mungkin ada kaitan dengan tajuk penulisan yang hendak disampaikan. Kalau tak banyak mungkin sikit… kalau sipi-sipi pun mungkin kena mungkin tak kena… paling tidak pun terasa angin-anginnya.

Sebenarnya saya nak bercerita tentang perkara yang berkaitan dengan “salah”. Saya rasa di mana-mana kita pergi tentu kita akan berhadapan dengan perkara ini.

Salah... kalau bercakap tentang salah… semua manusia tak terlepas daripada membuat kesalahan dan kesilapan. Kena ingat la tentang ni. Tapi antara perkara yang tertekan ialah apabila kita berhadapan dengan orang yang suka menyalahkan orang lain. Seolah-olah orang tersebut hendak lepas tangan tarhadap masalah yang berlaku.

Memang nampak kesian kepada orang yang dipersalahkan. Nak tak nak dia pula yang kena jadi seperti orang yang bersalah atau kena mengaku salah atau erti kata lain mangsa keadaan. Oleh sebab tak mahu keadaan menjadi lebih tegang lagi maka terpaksalah si mangsa memohon maaf.

Tapi yang hairannya orang yang benar-benar buat salah berasa ego, tak mahu mengaku salah dan memohon maaf. Manusia yang bertamadun tak seharusnya mengamalkan sikap sedemikian kerana menjadikan orang lain sebagai kambing hitam. Dek angkara tersebut orang yang benar dihukum bersalah.

Beginilah hukuman manusia yang berat sebelah dan tak adil. Orang yang kuat, berpangkat, berbohong dan berkepentingan tidak akan disabit kesalahan walaupun terang-terang nampak bersalah. Siap dengan bukti, saksi dan diketahui ramai orang lagi. Bak kata peribahasa sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua.

Bila melihatkan situasi begini timbul rasa sedih dan kesian. Apa boleh buat sabar je la… ujian. Pada suatu hari nanti kebenaran pasti tiba, muncul, dibela, dan ditegakkan. Biasalah macam filem juga hero mesti kalah dulu nak dekat ending baru menang…

Individu yang suka menyalahkan orang lain ni boleh diibaratkan seperti kuman di seberang lautan nampak, gajah di depan mata tak nampak. Tak habis-habis nak cari kesalahan orang.

Semoga Allah memberi ganjaran yang besar kepada orang yang benar, tertindas, teraniaya dan dizalimi. Cumanya mesti kuat semangat, sabar, tabah dan tak berputus asa menempuh ujian ini. Satu lagi sentiasa dekatkan diri kepada Allah serta banyakkan berdoa kepada-Nya.

Selasa, 11 Mei 2010

Penyatuan Ummah

Pengetahuan Islam yang sempurna adalah sangat penting
kerana ia menjamin hidup yang bahagia dan sejahtera
bahkan kesedaran penganutnya terhadap Islam perlu dititikberatkan
supaya hati, jiwa, roh dan diri ummah ini
bersemangat, berperasaan dan bertindak untuk menjaga, memelihara,
membela dan mempertahankan kesucian Islam.

Kefahaman Islam adalah lebih penting
daripada mengharapkan kemenangan yang segera
jadi hanya menerusi usaha dakwah merupakan
wadah kepada penyatuan ummah
kerana apabila kita menjadi bersatu padu
dan menguatkan ikatan ukhuwah
maka membangun bersama Islam pasti berjaya.

Penyatuan ummah perlu dalam dakwah
apabila secara berjemaah tercapai suatu kejayaan
ayuh sedarkan diri
masing-masing menginsafi
bersama-sama menambah ilmu
bina kehidupan baru yang berlandaskan Islam.

Kini penyatuan ummah ada pelbagai kaedah
melalui semua saluran maklumat disampaikan
kita sebagai penerang bukannya penyerang
semua pihak mesti memainkan peranan
supaya dakwah Islam tidak dipersiakan

Kehidupan ummah mesti di landasan kebenaran
bahawa semua pihak bekerjasama dan bersefahaman
dengan mengikut syariat Islam yang telah ditetapkan
iaitu al-Quran dan as-Sunnah menjadi sandaran kehidupan

Mari kita singkap kembali zaman arab jahililiyah
ketika itu mementingkan asabiyah
namun berubah bila Nabi Muhammad dilantik menjadi rasul
setelah Malaikat Jibril menyampaikan wahyu
Rasulullah pun berdakwah dan menyeru
supaya manusia kembali menyembah Tuhan Yang Satu
dengan persaudaraan yang berpadu
ikatan silaturrahim bertambah erat
di samping pegangan agama yang kuat
akhirnya cahaya Islam menyinar hingga ke pelosok dunia.

Jangan hancurkan ummah
jagalah kesejahteraan ummah
justeru penyatuan ummah perlu dalam dakwah
apabila secara berjemaah tercapai suatu kejayaan.

Kemestian Sikap Lemah Lembut Dalam Mengubah Kemungkaran

Satu lagi masalah yang tidak sepatutnya kita lupakan di hati ialah kemestian bersifat lemah lembut dalam mencegah kemungkaran dan menyeru pelakunya supaya melakukan kebaikan. Rasulullah s.a.w. telah berwasiat kepada kita agar sentiasa berlemah lembut dan baginda telah menjelaskan bahawa Allah menyukai sifat tersebut dalam setiap perkara. Jika sesuatu perkara disertai dengan sifat ini, ia akan kelihatan cantik dan jika sesuatu perkara itu tidak disertai dengannya ia akan kelihatan cacat.

Di anatara kisah yang boleh dibawakan di sini ialah kisah yang disebut oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din bahawa seorang lelaki telah pergi berjumpa Khalifah al-Makmun untuk menegur dan menyuruhnya berlaku baik tetapi dia menasihatinya secara kasar. Dia berkata: “Wahai orang zalim, wahai orang yang melakukan maksiat… dan seumpamanya.” Al-Makmun merupakan orang yang pandai dan lemah lembut. Dia tidak akan membalasnya dengan seksaan sepertimana yang dilakukan oleh kebanyakan pemimpin. Bahkan beliau berkata kepadanya: “Wahai saudara, berlemah lembutlah, sesungguhnya Allah telah mengutuskan orang yang baik daripada kamu kepada orang yang lebih jahat daripada aku… . Allah telah memerintahnya supaya berlemah lembut. Allah telah mengutuskan Nabi Musa dan Harun yang lebih baik daripada kamu kepada Firaun yang lebih jahat daripada aku. Allah berfirman kepada mereka berdua:

اذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى (٤٣) فَقُولاَ لَهُ قَوْلاً  لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى (٤٤)

Terjemahan: Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia berhajat atau takut.
[Taha: 43-44]

Alasan yang disertai dengan ungkapan penghargaan “semoga ia beringat atau takut” walaupun sebelum itu Allah S.W.T. telah menyebut ketaghutan (melampaui batas) Firaun “sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya” adalah dalil yang menunjukkan bahawa pendakwah tidak boleh berputus asa terhadap orang yang didakwahnya walau seteruk mana kekafiran dan keazalimannya selagimana dia menggunakan jalan yang lemah-lembut dan sopan, dan bukannya jalan kekerasan dan kekuatan.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Muhammad s.a.w. serta ahli keluarganya dan juga para sahabatnya.

Sumber: Fiqh Daulah Menurut Perspektif Islam, Dr. Yusuf Al-Qardhawi, Terjemahan: Ustaz Haji Juanda Haji Jaya, m/s 203-204, Penerbit: Maktabah al-Qardhawi.

Membina Lelaki Sejati

Artikel ini diambil daripada Himpunan Risalah, Al-Syahid Hasan bin Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna rh.a.

Disiarkan dalam bilangan ke-17, akhbar Ikhwan al-Muslimin bertarikh 20 Jamadil Awal 1353 Hijrah.

Melalui artikel sebelum ini anda dapat saksikan Pertubuhan Ikhwan al-Muslimin merupakan jamaah yang terkehadapan dalam menjalankan program-program umum dan membina institusi yang berguna seperti masjid, sekolah, unit kebajikan, pengajian umum, ceramah, khutbah, nasihat dan kelab-kelab yang mengisi program berbentuk ceramah dan amali.

Namun suatu bangsa yang sedang berjuang ke arah kebangkitan semula dan berhadapan dengan zaman peralihan yang kritikal. Suatu bangsa yang mahu membina masa depannya di atas landasan yang mantap. Masa depan yang menjamin kesejahteraan dan keselesaan buat generasi baru. Bangsa yang mahu menuntut hak dan harga diri mereka yang telah dirampas. Bangsa ini sebenarnya memerlukan pembangunan yang berbeza.

Bangsa ini sebenarnya memerlukan pembangunan jiwa dan pemurnian akhlak. Anak bangsanya perlu dididik agar memiliki sifat kelelakian yang sebenar. Agar mereka mampu menghadapi segala rintangan di sepanjang jalan serta sedia menanggung segala kesulitan.

Lelaki adalah formula hidup sesebuah bangsa dan menjadi faktor utama yang menentukan kebangkitan mereka. Sejarah manusia sebenarnya adalah sejarah kelahiran lelaki-lelaki yang berketrampilan dan memiliki jiwa serta kemahuan yang tinggi. Kekuatan atau kelemahan sesebuah bangsa diukur sejauhmana bangsa ini mampu melahirkan lelaki-lelaki yang memiliki sifat-sifat kelelakian yang sebenar. Saya yakin dan sejarah membuktikan bahawa seorang lelaki mampu untuk membina sebuah bangsa jika dia memiliki sifat kelelakian yang sebenarnya. Dalam masa yang sama dia juga mampu menghancurkan bangsa ini jika sifat kelelakiannya dihalakan ke arah kehancuran bukan ke arah pembangunan bangsanya.

Sesebuah bangsa juga terpaksa melalui zaman-zaman peralihan sepanjang hidupnya sama seperti zaman-zaman peralihan yang terpaksa dilalui oleh setiap individu. Ada kalanya seorang manusia dibesarkan oleh ibu bapa yang kaya dan penyayang. Orang ini tidak pernah berhadapan dengan masalah yang mengganggu fikirannya atau menghiris hatinya. Dia juga tidak pernah diminta melakukan sesuatu yang memenatkan dan menyulitkan. Dalam masa yang sama, ada seorang lagi yang terpaksa membesar dalam keadaan yang sukar. Dia dibesarkan oleh ibu bapa yang miskin dan tidak berupaya. Setiap kali menjelang pagi, pelbagai masalah akan bermain di kepalanya. Pelbagai kerja yang perlu dilakukannya. Maha suci Allah yang melahirkan manusia dengan nasib yang berbeza.

Kita ditakdirkan untuk lahir dalam generasi yang sedang menjadi habuan pelbagai bangsa lain. Generasi yang sedang berjuang bermati-matian untuk hidup. Kemenangan pasti akan memihak kepada pihak yang kuat dan terkehadapan.

Suasana yang ada juga memaksa kita menghadapi peninggalan masa silam yang sangat getir dan kita merasai kepahitannya. Kitalah yang bertanggungjawab memecahkan belenggu dan halangan serta menyelematkan diri kita dan anak-anak kita. Di samping itu kita perlu mengembalikan kemuliaan dan kegemilangan kita serta menghidupkan semula tamadun dan ajaran agama kita.

Takdir juga telah menentukan kita terpaksa menempuhi era peralihan yang sengit. Di zaman di mana pelbagai gelombang fikiran, aliran fahaman dan kepentingan peribadi mencorak individu, bangsa, kerajaan, pertubuhan dan dunia seluruhnya. Akibatnya fikiran dan jiwa manusia menjadi keliru dan tidak menentu. Manusia ibarat pengemudi kapal yang hanyut di tengah gelombang, tercari-cari arah tujunya. Malangnya tiada sebarang petanda yang dapat dilihat dengan jelas. Segala-galanya kelihatan kelam. Di sepanjang jalan, di tengah malam yang gelap gelita ini kedengaran suara sayup-sayup memekik memanggilnya. Hanya ada satu perkataan sahaja yang tepat menggambarkan situasi manusia di ketika itu iaitu “gawat”.

Begitulah kita ditakdirkan untuk berhadapan dengan semua situasi ini. Ia meminta kita supaya berusaha menyelamatkan bangsa ini yang sedang diancam bahaya.

Sebuah bangsa yang sedang dilanda masalah seperti masalah kita ini, sebuah bangsa yang sedang bangkit melaksanakan tugas seperti tugas kita ini, sebuah bangsa yang sedang memikul tanggungjawab seperti tanggungjawab kita ini, bangsa ini tidak boleh sama sekali mengubat hatinya dengan ubat pelali atau bergantung hanya kepada impian dan angan-angan. Sebaliknya mereka perlu mempersiapkan diri untuk mengharungi perjuangan yang panjang dan sengit. Pertembungan yang hebat antara hak dan batil, antara yang berguna dan yang tidak, antara pemilik dan perampas, antara orang yang mengikut arus dan yang menongkah arus, antara orang yang ikhlas dan orang yang khianat. Bangsa ini perlu memahami bahawa jihad bererti bersusah payah dan bersusah bererti berpenat lelah. Jihad bererti berakhir masa untuk berehat kecuali setelah selesai perjuangan ini. Pada pagi esoknya barulah mereka boleh bergembira.

Persediaan yang diperlukan oleh bangsa ini dalam mengharungi jalan yang berliku ini hanyalah dengan jiwa yang beriman, tekad yang jitu, kejujuran, kesediaan berkorban dan berani menghadapi kesusahan. Tanpa persediaan ini mereka tidak akan mampu menang dan kegagalan pasti memihak kepada mereka.

Walaupun situasi kita hari ini adalah seperti yang anda tahu. Malangnya kita masih memiliki jiwa yang layu, lemah dan manja. Pipinya begitu halus hingga bias terluka dihembus bayu. Jari jemarinya bisa terguris disentuh sutera. Para pemuda dan pemudi kita yang merupakan generasi harapan di masa hadapan lebih tertarik dengan fesyen mewah atau makanan yang sedap atau hiasan yang menawan atau kenderaan mewah atau kerjaya yang hebat atau gelaran yang tiada nilainya. Walaupun ia bermakna mereka terpaksa menggadai segala kebebasan diri mereka atau kehormatan mereka atau terpaksa hilang segala hak bangsa mereka.

Lihatlah golongan muda ini, raut wajah mereka memperlihatkan semangat muda mereka. Gaya mereka memperlihatkan ketangkasan mereka. Air muka mereka begitu jernih. Mereka menempuh pintu ketua jabatan sambil borang permohonan kerja tersisip di lengan mereka. Anda dapat lihat bagaimana mereka akan menggunakan apa sahaja cara. Mereka akan meminta bantuan yang berpangkat rendah dan tinggi. Mereka akan menggunakan perantaraan kerani dan pegawai kementerian untuk mencapai hasrat mereka bagi memperoleh kerja. Saudara pembaca yang dikasihi, apabila pemuda ini bernasib baik, apabila apa yang dicitakannya tercapai dan berjaya menjawat jawatan rasmi ini, apakah dia akan bersedia meninggalkan kerja ini demi mempertahankan harga dirinya walaupun terpaksa berhadapan dengan seksaan?

Hari ini, diri kita memerlukan rawatan yang rapi, perubahan yang menyeluruh dan pemulihan dalam pelbagai aspek akibat semangat kita telah yang luntur, akhlak kita yang tercemar dan sikap mementingkan diri kita. Harapan besar yang diimpikan oleh para penggerak perubahan di tambah pula dengan situasi kritikal yang melanda umat ini menuntut kita supaya segera memulihkan diri kita. Kita bina semula roh kita setelah sekian lama ia dilanda kemarau dan setelah pelbagai peristiwa menggugat kekebalan dan keutuhannya. Tanpa kekuatan rohani dan pemulihan jiwa ini kita tidak akan mampu melangkah ke hadapan walau selangkah.

Jika anda dapat memahami hakikat ini dan anda bersetuju bersama saya bahawa inilah ukuran sebenar yang menentukan kemajuan sesebuah bangsa, ketahuilah matlamat utama yang disasarkan oleh pertubuhan Ikhwan al-Muslimin ialah pentarbiyahan yang sebenar. Mendidik umat ini supaya memiliki peribadi yang mulia dan akhlak yang luhur dan agung. Di samping itu, ia menghidupkan semula semangat yang akan merangsang sesebuah bangsa untuk mempertahankan maruah mereka, bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kegemilangan mereka, bersedia mengharungi segala susah payah demi mencapai cita-cita mereka.

Anda mungkin bertanya apakah cara yang digunakan oleh Ikhwan al-Muslimin untuk memulihkan semula jiwa manusia serta memantapkan akhlak mereka? Apakah Ikhwan pernah menggunakan kesemua cara ini? Sejauhmana kejayaan mereka?

Bertemu lagi di lain masa, dengan izin Allah.


Sumber: Himpunan Risalah, Al-Syahid Hasan bin Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna rh.a.

"Membina Ummah Berkualiti"

Semoga Semangat Belajar!

Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar.

Sengaja tulis perkataan belajar banyak kali. Tujuannya supaya semangat belajar saya kekal lama. Maintain. Tak tergugat oleh mana-mana anasir.

Sebut tentang belajar maka teringat tentang fokus atau tumpuan. Oleh hal yang demikian, fokus pada belajar mesti lebih utama. Mesti ada ‘rasa’ nak belajar. Ops, jika ada rasa saja tak cukup jadi yang penting mesti kena buat. Mesti ada usaha dan kerajinan.

Nak menulis ni pun kena belajar. Pada saya tulis artikel kemudian post ke blog ni juga adalah salah satu perkara yang berkaitan dengan belajar. Belajar menulis supaya suatu hari nanti jadi mahir menulis.

Contoh lain, nak jadi ketua bagi sesebuah organisasi pun kena belajar juga. Bagaimana nak mengurus organisasi, nak pimpin anak-anak buah, beri arahan, rancang gerak kerja, buat keputusan dan sebagainya.

Pada saya setiap perkara yang nak dilakukan mesti mula dengan belajar. Belajar ilmu agama supaya faham tentang agama. Belajar membaca, menulis dan mengira (orang kata 3M) supaya selepas tu pandai membaca, menulis dan mengira.

Eh, terkeluar perkataan pandai! Ini maknanya belajar supaya jadi pandai. Manusia pada asalnya bermula daripada tak tahu tetapi bila dah belajar jadi pandai pula.

Sebut fasal pandai, banyak perkara yang boleh dikatakan tentang pandai tapi saya suka dan nak sebut perkara yang baik-baik je. Haaa macam… pandai mengaji, pandai memimpin, pandai berucap, pandai memancing, pandai memasak, pandai mengemas rumah, pandai beramah mesra, pandai memandu, pandai menolong orang, pandai buat kerja, pandai memujuk, pandai buat lawak, pandai mengajar dan banyak lagi.

Alangkah bahagianya hidup ni bila ada orang-orang pandai mengajarkan ilmunya kepada orang yang kurang pandai.

Selagi boleh belajar teruskan belajar. Seperti kisah seorang penuntut ilmu yang merasakan dirinya susah memahami ilmu. Namun, selepas menyaksikan peristiwa titisan air yang dapat melekukkan batu yang pejal maka dia menjadi lebih bersemangat dan rajin menuntut ilmu sehingga menjadi alim.

Ramai guru yang menyatakan bahawa kalau nak mendapatkan ilmu mesti bersungguh-sungguh belajar, rajin ulang kaji pelajaran, rajin baca buku dan banyak bertanya kalau tak faham.

Dalam sebuah buku yang berjudul Syarah Taklim al-Muta’allim pada fasal 3 bertajuk ‘Memilih Ilmu, Guru, Teman dan Ketabahan’ ada menyatakan bahawa dalam menuntut ilmu hendaklah tetap tabah dan sabar dalam menghadapi berbagai-bagai bahaya dan ujian mental yang muncul dalam menuntut ilmu.

Hal ini kerana syarat hendak sukses atau berjaya mesti menghadapi cubaan. Oleh itu, sesiapa yang ingin berhasil maksud dan tujuan menuntut ilmu harus bersabar menghadapi banyak cubaan.

Sebuah syair Sayyidina Ali bin Abi Talib Karramalluhu Wajhah:

اَلَا لَاتَنَالُ الْعِلْمَ اِلَّا بِسِتَّةٍ         سَأُنْبِيْكَ عَنْ مَجْمُوْعِهَا بِبَيَانٍ
ذَكَاءٍ وَحِرْصٍ وَاصْطِبَارٍ وَبُلْغَةٍ     وَاِرْشَادِ اُسْتَاذٍ وَطُوْلِ زَمَانٍ
Ertinya:
Ingatlah, kamu tidak akan memperoleh ilmu pengetahuan kecuali dengan enam perkara; yang akan kujelaskan secara ringkas.

Iaitu; kecerdasan, cinta kepada ilmu, kesabaran, bekalan biaya, petunjuk guru, dan masa yang lama.

Maksudnya bahawa penuntut ilmu tidak akan berhasil kalau tidak menempuhi enam fakror, iaitu:

1. Cerdik dan bijaksana.
2. Cinta untuk menghasilkan ilmu.
3. Kuat kesabaran dan menahan hati daripada segala kepenatan, bala ujian dan cubaannya.
4. Cukup belanja untuk menyara kehidupannya tanpa memerlukan usaha mencari rezeki yang bergantung kepada orang lain kerana keperluan hajat tersebut boleh mengelisahkan hati sehingga tidak mampu menghasilkan ilmu dan kemuliaan.
5. Mendapat petunjuk guru atas jalan yang betul.
6. Masa yang lama, maksudnya dalam belajar memerlukan waktu yang lama dan tidak berhasil dalam waktu yang sebentar.

Selagi boleh belajar teruskan belajar. Semoga dengan tulisan ini menjadikan saya khususnya dan pembaca umumnya supaya lebih bersemangat semasa belajar.

Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar. Belajar.

Semoga Semangat Belajar!

Sabtu, 8 Mei 2010

Serba Salah

اللَّهُمَّ اَلْهِمْنِى رُشْدِى وَأَعِذْنِى مِنْ شَرِّ نَفْسِى
Ya Alah, berilah aku ilham petunjuk dan peliharalah aku dari kejahatan”

Semenjak dua menjak ni saya berasa kekurangan dan kekeringan idea untuk menulis. Rasa susah nak dapatkan idea yang bernas, baik dan benar. Serba salah dibuatnya.

Nak kata kurang membaca tak juga. Nak kata kurang menulis pun tak juga. Nak kata malas berfikir pun tak juga. Sebab bila dapat idea baru je saya cepat-cepat tulis pada kertas. Tak pun simpan note dalam hp. Cuma sekarang ni saya rasa masalah pada nak kembangkan idea je.

Puas cungkil dan gali untuk mencari idea… memikir… bagaimana nak menghasilkan artikel yang isi penulisannya adalah baik, bermutu, bermaklumat, bermanfaat dan berilmiah.

Kadangkala timbul perasaan bimbang dalam diri jika tulisan saya menyalahi fakta yang sebenar, berbaur fitnah, menyinggung perasaan orang, sukar difahami, picisan, tak matang, dan kebudak-budakan.

Apabila memikirkan hal itu saya menjadi bingung dan berhati-hati ketika menulis supaya tak melakukan kesilapan tersebut. Namun, jika saya tak berlatih menulis dari sekarang tentu saya sukar nak menjadi penulis yang mahir pada suatu hari nanti.

Oleh hal yang demikian, saya beranggapan bahawa saya sedang belajar menulis artikel yang perlu membuat latihan dengan bersungguh-sungguh dari semasa ke semasa.

Sehubungan dengan itu semangat, kerajinan, keyakinan keberanian mencuba adalah perlu untuk meneruskan cita-cita ini. Insya-Allah. Mencuba perkara yang baik digalakkan tapi yang sebaliknya mesti dicegah sama sekali.

Semoga dengan menulis ni menjadi salah satu usaha saya menyampaikan dakwah, perkara yang baik dan bermanfaat. Selain itu, saya ingin menjadi antara individu Islam yang terlibat dalam usaha membanyakkan maklumat berbentuk agama, nasihat dan ilmiah melalui saluran ini. Amin.