Halaman

Sabtu, 19 Disember 2009

Perubahan dan Harapan


وَالْعَصْر (۱) إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ (۲) إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (۳)

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.
[Al-Ashr: 1-3]

Masa adalah penting bagi kehidupan kita. Perubahan masa yang berlaku sedetik demi sedetik telah menyebabkan berlakunya petukaran hari, minggu, bulan dan tahun. Alam juga mengalami pertukaran siang dan malam. Begitulah kuasa Allah yang mengatur kehidupan ini. Masa yang berlalu ini tidak boleh dibiarkan tanpa mendapat nasihat, tazkirah, pengajaran dan sebagainya supaya kita tidak akan lupa pada tanggungjawab atau peranan kita hidup di atas muka bumi ini. Kehidupan ini tidak lain dan tidak bukan ialah kita hendaklah mengabdikan diri kepada Allah. Oleh hal yang demikian, jika pada zaman permulaan Islam Rasulullah S.A.W dan para sahabat berhijrah dari Mekah ke Madinah demi menegakkan Islam, maka kita pula mesti memahami konsep hijrah ini untuk berubah ke arah kebaikan.

Firman Allah:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُوْلَئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَةَ اللَّهِ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ (۲۱۸)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad pada jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
[Al-Baqarah: 218]

Kita mesti menyedari dan memahami bahawa kehidupan pada zaman ini banyak cabaran. Inilah zaman yang dikenali sebagai globalisasi atau dunia tanpa sempadan. Manakala cabaran itu pula ialah umat Islam terpaksa berdepan dengan ujian untuk mempertahankan akidah dan memelihara iman supaya tidak tergelincir daripada agama Allah. Hari ini banyak berita yang sampai kepada pengetahuan kita melalui media massa lazimnya adalah seperti keruntuhan akhlak, gejala sosial, kepincangan institusi kekeluargaan, jenayah, murtad, ajaran sesat, penyelewengan, kezaliman, peperangan  dan lain-lain. Golongan yang banyak terjerumus dengan perkara ini ialah golongan muda. Kehidupan mereka sangat menyedihkan kerana cara hidup yang tidak mengikut lunas-lunas agama. Mereka hilang arah, pedoman hidup dan melampaui batas. Sehubungan dengan itu, golongan muda perlu disedarkan daripada lena dan mimpi yang panjang kerana mereka merupakan aset yang sangat bernilai kepada agama, bangsa dan negara.   

Pemuda harapan agama, bangsa dan negara ini akan menggantikan pemimpin-pemimpin bagi generasi pada masa ini. Oleh itu, mereka ialah penentu jatuh atau bangunnya nasib agama Islam, bangsa dan negara. Pemuda hari ini seharusnya mengambil iktibar daripada kisah tujuh orang pemuda al-Kahfi. Mereka melarikan diri dan bersembunyi ke dalam gua demi mempertahankan akidah mereka kepada Allah. Mereka berusaha bersungguh-sungguh menyelamatkan iman daripada dicabuli oleh raja yang zalim pada masa itu. Seorang raja yang mengaku Tuhan dan menyuruh seluruh rakyatnya menyembahnya. Namun, ketujuh-tujuh orang pemuda itu meyakini bahawa Allah adalah raja segala raja yang mengatur dan mentadbir sekalian alam. Allah ialah Tuhan yang sepatutnya disembah. Oleh sebab keyakinan dan kecintaan mereka kepada Allah dalam menjatga agama-Nya sangat tinggi maka kehidupan mereka dijaga oleh Allah. Natijahnya, Allah sentiasa mencintai pemuda yang taat kepada ajaran-Nya. Sebagaimana kita menjaga agama Allah, maka Allah akan menjaga kita.

Jika benar kita mencintai Allah dan Rasul-Nya, maka buktikanlah cinta itu dengan menuruti segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Lakukanlah hal demikian tanpa ragu dan syak. Lakukan tanpa bertangguh-tangguh, menunda-nunda dan berdalih lagi. Lakukan dengan seikhlas hati yang datangnya dari dalam hati yang suci. Orang yang hatinya sentiasa mengingati Allah ialah orang yang mempunyai hati yang suci kerana dia tidak mahu hatinya dikotori dengan dosa yang akan menggelapkan hatinya. Sesungguhhnya hati yang bersih dan terang sahaja dapat menjalinkan hubungan yang rapat dengan Allah. Antara cara untuk mendapatkan ketenangan hati adalah seperti solat berjemaah, qiamullail, menghadiri majlis ilmu, membaca a-quran dan lain-lain lagi. Hati yang tenang dapat mempimpin kita untuk memilih perkara yang betul. Oleh sebab itu pemuda mesti mempunyai hati yang tenang bagi melawan nafsu, emosi dan perasaan yang sentiasa bergejolak. Iman al-Ghazali ada menyatakan bahawa perasaan orang muda ini ibarat air yang dimasak sedang menggelegak. Di sini, jelaslah bahawa peranan ilmu dan iman supaya hati sentiasa tenang adalah sangat penting bagi menangani keadaan jiwa yang tidak stabil. Wahai sekalian pemuda, carilah ilmu sehingga ke pengghujung hayatmu kerana dengan ilmu kamu dapat menambahkan amalanmu yang juga mampu meninggkatkan keimanan dan ketaqwaanmu kepada Allah!

Sehubungan dengan itu, adakah dengan duduk dan berdiam diri sahaja kita akan mendapat perkara yang kita inginkan? Adakah kita tidak perlu berbuat apa-apa jika mahu berubah supaya menjadi baik? Niat untuk berubah merupakan suatu permulaan yang baik bagi diri. Proses pembaikan tidak terhenti setakat itu sahaja tetapi mesti diusahakan, sebaik-baik dilakukan dengan segera. Seandainya dalam fikiran masih membayangkan banyak perkara baik yang mesti dilakukan itu susah maka ambillah pendekatan dengan tidak meninggalkan semua perkara tetapi buatlah satu perkara yang memang mampu dilaksanakan. Contohnya, tidak mampu membaca sekurang-kurangnya 100 ayat al-Quran sehari maka bacalah 10 ayat sahaja. Sebaik-baiknya mulakan dengan perkara yang paling utama walaupun sedikit tetapi berterusan.     

Dua nikmat yang sering membuatkan manusia lupa ialah nikmat sihat dan muda. Sihat dan muda merupakan dua nikmat yang saling berkait rapat. Manusia ketika muda merasakan hidup ini masih panjang lagi untuk sampai ke hari tua. Apabila tua tentunya akan menunggu saat kematian. Namun, ketika muda tidak berasa demikian. Adapun sihat, manusia mempunyai kekuatan untuk berbuat apa-apa yang disukainya seperti melancong, bersuka ria, mencari kekayaan dan sebagainya. Banyak perkara ketika muda dan sihat dilakukan untuk perkara-perkara yang menyeronokkan hatinya dan jauh sekali untuk mengingati Tuhan. Apabila sudah tua atau sakit barulah pada masa itu mahu mengingati Tuhan. Ketika diri tidak berdaya seperti kurang kewarasan, deria rasa, deria sentuh, deria penglihatan dan deria bersuara, maka pada masa itu barulah dia sedar bahawa dia mahu mengingati Tuhan. Alangkah lewatnya dia untuk berbuat perkara-perkara kebaikan kerana seluruh keupayaan diri tidak lagi optimum dan maksimum seperti masa muda dan sihat. Oleh hal yang demikian, orang muda sekarang haruslah kembali ke pangkal jalan. Mulakan kehidupan baru dengan kembali kepada Allah, iaitu bertaubat kepada-Nya dengan menyesali kesilapan-kesillapan yang lalu. Renungilah sedalam-dalamnya kerana sesungguhnya Allah mencintai orang-orang muda yang bertaubat kepada-Nya.    

Sesiapa yang merasakan dirinya seorang pemuda dan pemudi, marilah sama-sama berubah kepada kebaikan. Jadilah golongan yang sentiasa membela Islam supaya maruah dan kegemilangan Islam dapat dijulang dan dikembalikan semula di muka bumi ini. Marilah berusaha menegakkan perkara yang makruf dan mencegah yang mungkar supaya kita menjadi umat Islam yang berdaulat dan tidak ditindas oleh musuh-musuh kita. Sebenarnya, gelombang untuk mewujudkan suatu suasana yang dahsyat dan hebat bagi menentang musuh Allah memerlukan tenaga-tenaga kerja, buah-buah fikiran dan lain-lain adalah daripada golongan pemuda dan pemudi Islam. Apalagi yang ditunggukan! apalagi yang dilengahkan! Apalagi yang dimenungkan! Ayuh, berubah segera dan bersemangatlah demi mendaulatkan Islam! 

Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (۲۰۰)

Wahai orang-orang Yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi Segala kesukaran Dalam mengerjakan perkara-perkara Yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).
[Ali-Imran: 200]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan