Orang-orang yang berilmu ialah orang yang ditinggikan darjatnya oleh Allah. Mereka tidak sama dengan orang jahil. Orang alim merupakan orang yang takut kepada Allah. Oleh hal yang demikian, orang alim akan sentiasa berusaha untuk mentaati segala perintah-Nya. Mereka adalah harapan bagi semua manusia supaya dapat dipimpin ke jalan yang diredhai-Nya kerana mereka pewaris Nabi s.a.w yang meneruskan perjuangan Islam. Bagi merealisasikan kerja-kerja ini penuntut ilmu mestilah menjalankan peranannnya sebagai pejuang Islam.
1. Perkara pertama yang perlu disedari oleh penuntut ilmu yang berperanan sebagai pejuang Islam ialah niat menuntut ilmu. Adapun niat itu berniat semata-mata hendak mencari keredhaan Allah supaya memperoleh pahala di akhirat, menghilangkan kejahilan daripada dirinya dan daripada seluruh orang yang jahil, menghidup dan menegakkan agama Islam. Ini kerana Islam dapat dikekalkan dengan ilmu yang juga merupakan roh Islam.
Sekiranya sebelum ini terleka sehingga niat suci menuntut ilmu berubah dan tersasar kepada material, maka ubah, perbaiki dan perbaharuilah niat yang sebenar dengan segera. Sesungguhnya perkara yang baik harus disegerakan. Jika bertangguh bimbang lupa untuk melaksanakannya. Penuntut ilmu mestilah sedar tentang matlamat mereka yang sebenar dengan jelas, iaitu menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh dan kemudian mengajarkan ilmu.
2. Perkara kedua ialah penuntut ilmu merupakan individu yang bertanggungjawab untuk menjadi penggerak, pemimpin dan sebagainya bagi gerakan Islam. Oleh itu, kegiatan yang dijalankan tentunya dengan cara berdakwah kepada masyarakat. Penyampaian dakwah kepada masyarakat menjadi lebih berkesan sekiranya masyarakat dapat menerima pendakwah tersebut. Sehubungan dengan itu, aspek yang mesti dijaga oleh penuntut ilmu ialah akhlak yang mulia. Hal ini kerana masyarakat sentiasa memerhati dan menilai tingkah laku sama ada baik untuk dijadikan contoh teladan.
Selain itu, aspek menjaga akhlak yang mulia ini akan wujud pada diri apabila ilmu yang dipelajari itu diamalkan dengan bersungguh-sungguh. Contohnya, solat lima waktu secara berjemaah di musolla dengan istiqamah akan menjadikan seseorang itu berdisiplin khususnya dalam menepati masa. Pendakwah yang beramal dengan ilmunya ialah orang yang menzahirkan perbuatannya daripada percakapannya, maksudnya melaksanakan perkara-perkara yang diucapkannya. Dengan itu dia termasuk dalam golongan orang yang berkata benar. Walau bagaimanapun, menjadi orang yang pemula untuk beramal soleh adalah lebih baik daripada menyuruh orang berbuat baik terlebih dahulu kemudian barulah dia hendak beramal.
3. Ketika belajar sudah tentu penuntut ilmu akan terlibat dengan persatuan pelajar. Melibatkan diri dalam persatuan samalah seperti berdakwah dalam suatu gerakan jemaah Islam. Setiap penuntut seharusnya berfikiran atau berminda positif untuk melibatkan diri atau aktif dalam persatuan. Jangan menganggap ini sesuatu yang membebankan. Biasalah apabila terlibat dengan persatuan maka masa kehidupan seharian akan digunakan untuk kerja-kerja persatuan mungkin dalam beberapa ketika atau sepenuh masa. Maklumlah, perjuangan Islam itu bukan untuk jangka pendek tetapi berpanjangan. Hal ini tidak akan selesai melainkan telah sampai penghujung hayat kita. Itu pun tugas-tugas tersebut akan diambil alih oleh orang lain. Perjuangan Islam ini mempunyai mata rantai yang bersambung hingga hari qiamat. Kini, tiba giliran kita pula untuk meneruskan kerja-kerja orang terdahulu.
Natijahnya, berpersatuan merupakan persediaan awal bagi seorang pendakwah untuk menghadapi pelbagai ujian. Sekiranya kita dipilih sebagai pemimpin pelajar maka ini sebenarnya peluang yang diberi oleh Allah untuk menjadi ketua yang beramanah. Berpersatuan juga mempunyai pelbagai kelebihan antaranya seperti melatih diri untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara, mengasah bakat kepimpinan supaya apabila keluar di gelanggang masyarakat pendakwah itu terbiasa dengan keadaan semasa dan melatih diri untuk bersabar maka inilah peluang untuk mendapat pahala yang banyak.
Sebagai penutup bicara, hendak ditegaskan sekali lagi bahawa penuntut ilmu berperanan sebagai pejuang Islam. Ini ialah amanah yang mesti dijaga dan masing-masing mesti berasa bertanggungjawab untuk melaksanakannya dengan sebaik mungkin.
Sekian, Wallahu'alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan