Halaman

Jumaat, 4 September 2009

Kesibukan Manusia


“Ni yang malas nak keluar ni, asal keluar je jam…”

Petang itu, saya dalam perjalanan pulang selepas membeli barang di Kedai Formula berhampiran Pasar Borong Selayang. Sudah menjadi kebiasaan, di mana-mana laluan tentunya sibuk. Lagi-lagi orang balik dari tempat kerja. Waktu itu memang sibuk. Apabila berada dalam situasi begini rasa letih hendak menempuhnya. Bagaimanapun, mahu tidak mahu mesti ditempuhi juga. Sesungguhnya, kesabaran sangatlah teruji pada masa itu.

Kenderaan berhimpit-himpit meneruskan perjalanan. Mat-mat moto tentunya menyelit-nyelit supaya boleh lepas daripada kesesakan tersebut. Jalan yang dua lorong menjadi 3 lorong. 4 lorong menjadi 5 lorong. Begitulah seterusnya sehingga jalan menjadi semakin sempit dengan kenderaan kerana masing-masing mahu melepaskan diri daripada kesesakan tersebut. Selagi ada ruang selagi itu mahu mencelah. Yang penting lepas. Yang penting cepat sampai. Mungkin ini pada tanggapan segelintir mereka yang kurang prihatin. Namun, perkara yang biasa terjadi adalah semakin sesak.

Di Kuala Lumpur, kesesakan lalu lintas sudah menjadi kebiasaan. Beginilah kehidupan di Bandar. Setiap hari warga kota menempuhinya. Cuma tidak diketahui dalam situasi itu masih ada orang yang bersabar atau naik darah. Kesesakan yang berlaku biasanya pada waktu pagi (lepas subuh lagi), tengah hari, petang dan malam (masa waktu maghrib).

Pernah suatu ketika dahulu, pada waktu itu saya di alam pekerjaan, setiap hari saya bergelut dengan kesesakan tersebut. Pagi-pagi lagi kena keluar awal. Lepas solat subuh terus keluar pergi kerja. Walaupun sudah keluar awal pada sangkaan saya rupa-rupanya mereka lebih dahulu berada di jalan raya. Di lebuh raya Jalan Kuching kelihatan kenderaan seakan-akan berbaris atau beratur untuk menuju ke destinasi masing-masing. Alhamdulillah, saya ke tempat kerja dengan menunggang motosikal kerana itulah satu-satunya kenderaan yang saya ada. Pergi kerja dan balik kerja saya hadapi perkara yang sama. Suatu perjalanan yang melelahkan.

Apabila difikirkan kembali manusia ini sibuk bekerja. Bekerja kerana mencari rezeki. Maka dengan itu wujudlah berbagai-bagai persoalan dalam fikiran saya, “Hai, takkan cari rezeki je? Takkan sibuk dengan benda ni je? Kalau tengok keadaan yang berlaku tu macam masing-masing kejar harta. Nampak macam kita ni sibuk dengan hal dunia la. Bila nak sibuk dengan hal akhirat?”

Lama juga saya berfikir. Sesekali memikirkan hal amalan yang masih kurang dilakulan termasuklah juga kualiti amalan yang masih kurang sempuna. Sekali lagi timbul persoalan dalam minda, “Bila lagi nak buat? Tak boleh tangguh-tagguh ni, kan ke patut kita segerakan buat amalan baik.”

Dalam hati berkata, “Aku mesti berubah.” Firman Allah: 

...إِنَّ اللَّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ...   (١١)

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
(Ar-Ra’du : 11)

Kesimpulannya:
  • Mulai sekarang saya mesti berubah!
  • Mula sekarang saya mesti istiqamah!
  • Mulai sekarang saya mesti perbaiki amalan!
  • Mulai sekarang saya mesti perbanyakkan amalan!
  • Mulai sekarang saya mesti menjadi yang lebih baik daripada sebelumnya!
  • Mulai sekarang saya mesti ingat bahawa keihklasan kepada Allah dalam melakukan sesuatu perkara adalah yang utama!

Sekian, wallahua’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan